Monday, April 26, 2010

Tanya Sama Itu Hud-hud

Tiba-tiba, kebelakangan ini saya ketagihan mendengar lagu-lagu M. Nasir. Muak barangkali dengan lirik mudah melankolis sama ada dalam aliran mainstream di radio mahupun nasyid-nasyid yang berbentuk pop.


Lantas saya mendownload dengan penuh jayanya lagu "Tanya sama itu hud-hud" ciptaan dan nyanyian M. Nasir. Ternyata, lagu tersebut meski berentak rancak, berjaya membuatkan saya mengalami goosebumps. Kenapa? Jom kita tengok lirik lagu tersebut:

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Pernah dengar tak hadith Rasulullah s.a.w tentang umat Islam yang terpecah kepada 73 golongan, dan daripada kesemua ini hanya satu golongan yang terselamat dari neraka iaitu golongan (jemaah) yang mengikuti sunnah Rasulullah dan sahabatnya (lihat Sunan Abu Daud no 4429)

Maknanya, yang sampai itu bermaksud yang selamat. Hanya ada satu jalan untuk selamat iaitu dengan mengikuti sunnah Rasulullah dan para sahabat. Agak-agaknya la kan, kita ni mengikut sunnah baginda tak? Hmm...

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Rangkap ini diekstrak daripada syair Parsi - Musyawarah Burung (Mantiq Al-Tayr) tulisan Farid ud-Din Attar. Dalam syair tersebut, beribu-ribu burung terbang untuk mencari raja mereka, Simurgh. Daripada beribu-ribu burung tadi, hanya tiga puluh yang berjaya. Kejayaan mereka membolehkan mereka sampai kepada tahap mengenali sang raja. Bukan mudah untuk sampai ke tahap tersebut kerana mereka perlu menghadapi 7 lembah. Sebenarnya, advencer burung-burung ini adalah perjalanan penulis syair tersebut dalam mencari makna dan hakikat hidup. Untuk maklumat lanjut, boleh klik sini.

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Algojo itu adalah orang yang ditugaskan mencabut nyawa. Kalau di penjara, beliau mungkin orang yang memegang butang yang menjadi pemegang lantai di bawah tali gantung. Tapi hakikat sebenar, yang ditugaskan mengambil nyawa itu adalah malaikat maut. Andainya dia tiba dan mahu menjalankan tuga, boleh tak kita nak kata kat dia", "Oohhh nanti dulu!"?

Lihat dunia dari mata burung
Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih

Dua rangkap yang atas tu jelas dan terang, menyuruh kitaberfikir antara melihat dari mata burung, open minds dan berpandangan jauh atau sekadar mahu melihat seperti katak di bawah tempurung. Hanya melihat tempurung dan diri sendiri. Itupun kalau ada cahaya. Kalau tak ada? Gelap gelitalah jawabnya. Maka, pilihlah dengan akal dan iman yang dianugerahkan.

Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Mula-mula saya kurang faham dengan rangkap ini. Tetapi akhirnya menemui satu blog. Penulis blog menyatakan bahawa,
"Singkap kembali sejarah Rasullullah membawa cahaya pada Zaman Jahiliah... Rasullullah mengajarkan Islam pada masyarakat yang jahil... Maka dalam keadaan jahil itu wujudlah satu sistem yang sempurna... Namun dunia kini sudah jauh berubah, sistem yang sempurna itu sudah tidak diguna pakai... Tempatnya diambil alih oleh undang-undang ciptaan manusia sendiri yang terlalu banyak kekurangan, terkadang itu banyak kontroversi berlaku dan kuta berada DI SINI!"

Ada betulnya kata beliau. Semasa kekalutan jahiliyah, peraturan Islam yang dibawa oleh Rasulullah mengubah keadaan masyarakat. Namun setelah peraturan tersebut diubah-ubah, ia mengundang kekalutan. Dan di mana kita berada? Di sini, di dunia yang penuh kalut ini.

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu
Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

Boleh tak merayu di saat akhir kehidupan. Waktu itu baru nak bertaubat, baru nak merayu, baru nak bersaksi dengan kalimah kebenaran (syahadah)? Sempat tak?

"Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerna dia yang terbangkan ku ke mari"

Yang ni, kena baca Musyawarah Burung. Boleh baca di sini. Oleh kerana burung hud-hud yang mendakwa tentang kewujudan raja si Muraq dan menerbangkan kawanan burung ke tempat yang dituju, maka kena tanya pada dia lah tentang semua persoalan yang timbul dalam lirik ini.

Hm, amacam? ada rasa gementar tak? Semoga kita juga berjaya temui hakikat kehidupan. Berjaya mengenal Pencipta sekaligus mengenali diri sendiri. InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Sunday, April 18, 2010

The Other I

Baru-baru ini dalam satu temu bual dengan sebuah stesen radio swasta, Faizal Tahir telah memperkatakan tentang kewujudan alter ego yang membuatkan personalitinya berubah, berbeza antara Faizal Tahir di atas pentas dengan Faizal Tahir secara peribadi. Alter ego ini juga digunakan sebaik mungin untuk beliau beraksi dengan lincah sedangkan diri sebenar beliau adalah seorang yang pendiam.

Alter ego atau "the other I" dalam bahasa Latin membawa maksud persona ke dua yang terdapat dalam diri seseorang. Dikatakan juga bahawa orang yang memiliki alter ego ini mempunyai dua kehidupan, yang biasanya mempunyai sifat yang agak kontra. Contoh yang paling mudah adalah Clark Kent yang mempunyai Superman sebagai alter egonya.


Biasanya alter ego ini amat berguna untuk membolehkan seseorang itu relevan dengan persekitarannya, membolehkan ia berfungsi sebaik mungkin. Ambil saja contoh Spiderman yang merupakan alter ego kepada Peter Parker. Parker adalah orang biasa yang tiada sebarang keistimewaan. Tidak menonjol malah sering pula dipandang rendah. Namun apabila alter egonya mengambil alih, Parker sebagai Spiderman mendapat perhatian, menonjol, malah dianggap sebagai hero.


Meskipun begitu, alter ego ini tidak diklasifikasikan sebagai Multiple Personality Disorder (MPD). Ini kerana alter ego dicipta oleh diri seseorang itu sendiri secara sedar manakala MPD pula biasanya terlahir di luar sedar, akibat trauma atau kisah silam yang terpendam dalam pemikiran seserang.

Namun begitu, adakah kewujudan alter ego dalam diri seseorang merupakan satu kepura-puraan yang juga melahirkan sifat hipokrit? Apakah personaliti yang ditampilkan untuk membolehkan seseorang itu menyerlah dalam institusi masyarakat diklasifikasikan sebagai munafik?

Dalam kehidupan biasa, alter ego digunakan bagi membolehkan seseorang itu bergaul dan bertindak seperti orang kebanyakan. Sebagai contoh, orang yang pendiam mahupun pemendam sering tampil di khalayak dalam keadaan ceria. Namun begitu, jika difikirkan kembali, yang mana satukah alter ego dan yang mana satu personaliti sebenar? Mahu atau tidak, perlu diakui bahawa alter ego bukanlah satu kepura-puraan. Ia adalah sebahagian daripada diri seorang manusia malah punya kelebihan yang boleh membawa manfaat yang lebih besar.

ps: alter ego saya semakin menguasai diri dan saya tidak sukakannya!


Monday, April 05, 2010

Sombong?


Antara panduan Imam Ghazali. Yang boleh digunapakai. Untuk aku. Dan barangkali juga mungkin untuk kamu. Agar kita tidak berlaku sombong dan angkuh antara satu sama lain.

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita. Kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat berbanding kita.

3. Jika bertemu dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyaknya ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.

4. Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui.

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin pada suatu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya. Malah, mungkin akan menjadi insan yang lebih mulia berbanding kita.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan di dalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memeluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni Allah.

Dan....
Percayalah.

Pangkat dan harta bukan harga seorang manusia. Cuma iman dan amalnya saja yang membezakan antara kita. Selain daripada itu, kita tetap sama hina dan bakal kembali ke dalam tanah semula.

Pujian bukan untuk manusia. Pujian itu cuma untuk Allah semata. Jangan sekali-kali terasa riak dan angkuh dengan kehebatan dan kelebihan diri. Tiada satu pun yang boleh dibanggakan. Semoga kesombongan dan keangkuhan itu bukan milik aku dan bukan milik kamu juga.

Kerana ia hanya milik Yang Maha Hebat.

Saturday, April 03, 2010

BAIK bagi kamu?

Berikan saya definisi BAIK. Ramai yang apabila saya tanyakan soalan ini mengatakan definisi baik itu terlalu luas. Tapi, saya sangat suka dengan jawapan seorang kawan saya. Katanya, baik itu bermaksud:
B-bila
A-aku
I-ikut
K-Kamu

Siapa AKU? Anggap saja AKU itu adalah diri kita sendiri. Dan siapa pula KAMU? Jika kita seorang anak, maka baik itu bermakna kita menurut kata ibu ayah kita. Jika kita seorang isteri, kita menurut kata suami kita. Jika kita kawan, kita menurut kata kawan kita. Begitukah? Atau itu sebenarnya bukan bermaksud BAIK tetapi BODEK!

Anak yang baik bukan hanya menuruti ibu ayahnya. Tetapi juga menjaga saat mereka tua, tidak menderhaka dan mematuhi keduanya selagi mana perintah mereka tidak melanggar suruhan Allah. Begitu juga dengan isteri. Isteri yang baik bukan hanya menurut kata suami. Tetapi turut melayaninya dengan ikhlas, selagi ia tidak melanggar arahan Allah. Berbeza sedikit dengan status kawan. Kawan yang baik bukan semata-mata membenarkan kata-kata kawannya tetapi mengatakan yang benar. Yang menegur dengan baik, yang bersedia menjadi cermin diri kepada kawannya. Yang sedia membantu kawannya menjadi lebih baik.

Siapapun kita, apapun status kita, kita semua sukakan sesuatu yang baik. Tetapi jangan pernah terlupa, kita semua hamba Allah. Oleh itu, tentu sekali yang sepatutnya kita baik adalah kepada Allah. Benar-benar menuruti-Nya. Kerana Dialah punca segala kebaikan.

Pegang kuat-kuat dalam hati bahawa kesempurnaan itu hanya ada pada Allah. Namun begitu, sebagai ciptaan yang PALING BAIK, kita sentiasa punya ruang untuk menjadi lebih baik, sekali gus bergerak ke arah kesempurnaan.

ps: semoga hari ini lebih baik dari semalam dan semoga hari-hari akan datang lebih baik dari masa silam..insyaAllah

Wednesday, March 31, 2010

Allah Knows


When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows
Allah knows

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows
Allah knows

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows
Allah knows
And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows
Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows
Allah knows

When you gaze with love in your eyes
Catch a glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows
Allah knows

When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows
Allah knows

You see we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs, never fret never frown
Allah knows
Allah knows

Every grain of sand,
In every desert land, He knows.
Every shade of palm,
Every closed hand, He knows.
Every sparkling tear,
On every eyelash, He knows.
Every thought I have,
And every word I share, He knows.
Allah knows

song by Zain Bhikha

Tuesday, March 02, 2010

Little sister of mine


Dia suka buat suara kartun setiap kali menjawab panggilan saya. Dia tak pernah tolak permintaan saya bila saya minta dia urutkan tangan dan kaki saya yang selalu kebas bila bercuti di rumah. Dia jarang melawan cakap saya, taat dan mendengar kata. Dia cantik dan menawan. Dia sopan, menjaga aurat, menjaga solat lima waktunya. Dia bijak, sentiasa skor dalam peperiksaannya. Dia adik saya.

Wan Nurhazrina Wan Hasan. Namanya dipilih oleh ibu sebagai Wan Norhazrin. Tapi saya berkeras pada ayah yang mengisi borang daftar kelahiran untuk mengejanya sebagai Wan Nurhazrina. Alasannya, Nur lebih baik daripada Nor. Dan A dihujung nama supaya nama saya dan nama adik ini akan sekata. Dia satu-satunya anak dalam keluarga Wan Hasan yang lahir di Selangor, tadika di Selangor, bersekolah di Selangor. Dia anak selangor jati. Tapi rasanya bukan penyokong Selangor.

Lahir pada 3 Mac 1996, waktu itu saya sudah darjah 4. Saya ingat lagi, waktu itu waktu isyak. Ibu saya menjerit dari dalam kamar kecil. Ayah sedang berjemaah di surau tak jauh dari rumah kami. Saya tinggalkan ibu dengan adik lelaki di rumah, berlari pantas ke surau untuk memanggil ayah. Ayah sedang solat. Menunggu seketika di beranda surau. Selesai imam memberi salam, saya panggil ayah. Saya khabarkan padanya, ibu mahu bersalin. Ayah memimpin tangan saya. Berlari menuju ke rumah. Ayah pimpin ibu masuk ke dalam kereta. Ayah pandu dengan laju, tetapi cermat menuju ke Hospital Ampang Puteri, hospital yang terdekat dengan rumah kami waktu itu.

Misi berikan ibu kerusi roda. Ayah hubungi Wak Rahman, jiran kami yang pernah mengasuh saya dan abang ketika saya masih tadika. Wak ambil saya dan adik lelaki untuk dibawa pulang ke rumah. Malam itu, adik lelaki yang berumur 3 tahun tidur bersama saya. Ayah menemani ibu di wad. Bayi dalam kandungan ibu tidak mahu keluar sedangkan ibu sudah kesakitan.

Dia membesar dengan penuh kasih sayang. Dia bayi yang cantik. Manja, sangat manja. Dia bagaikan mengetahui dirinya akan menjadi anak bongsu. Saya tak dapat nafikan, saya selalu mencemburui dirinya dulu. Perhatian ayah dan ibu tertumpah padanya. Abang jauh waktu itu. Kami berpindah ke Rawang dan abang bersekolah asrama di Kajang. Akibatnya, saya tidak rapat dengan keluarga. Saya merasakan ayah dan ibu hanya mengasihi adik-adik, dan saya tiada tempat dalam keluarga itu.

Keadaan berubah saat saya menjejakkan kaki ke Matrikulasi. Saya ingat lagi pada hari saya harus pergi. Saya ucapkan selamat tinggal pada adik. Saya katakan padanya, selepas ini tiada lagi orang untuk dijadikan temannya berkelahi. Dia menangis. Dan saat itu saya sedar, betapa saya kasih amat pada dirinya.


Hari ini dia sudah menjadi gadis remaja. Selamat hari lahir, adik. Kakak doakan agar adik menjadi gadis solehah, yang bijak, yang santun, anak yang baik, yang selalu berbakti untuk mama dan abah.

Friday, February 26, 2010

Berlian sebentuk di jari sendiri, belah rotan di jari orang juga pujaan hati


Acap kali guru saya bercerita tentang betapa sengsaranya seorang manusia yang hatinya tidak dapat melihat kesenangan orang lain. Semua yang indah ada pada orang. Semua yang hebat ada pada orang. Sedang dalam tak sedar, dirinya punya banyak kesenangan, keindahan dan kemewahan.

Begitulah manusia. Tidak pernah rasa cukup, tidak pernah rasa puas. Sering membandingkan nikmat-nikmat yang dimiliki orang dengan dirinya sendiri. Sering pula tidak sedar bahawa limpahan kurniaan Allah padanya melebihi daripada apa yang ada pada orang lain.

Tak salah sebenarnya untuk kita membandingkan diri kita dengan orang lain. Apatah lagi kalau kita rasakan orang itu punya banyak kelebihan. Sebagai contoh, membandingkan diri kita dengan rakan yang punya pointer lebih tinggi. Dan tentu sekali berusaha untuk mencapai pointer setingginya. Atau barangkali membandingkan diri kita dengan orang yang lebih kaya daripada kita. Dan berusaha untuk mengumpul kekayaan sepertinya. Dalam pada itu, jangan pula berusaha menjatuhkan sahabat kita yang tinggi pointernya dengan cara mengkhianati atau membawanya berfoya-foya. Apatah lagi dengan tujuan menjatuhkan pointernya. Jangan pula mengkhianati si kaya dengan melakukan sabotaj atau pergi merompak di rumahnya atau harta kekayaannya. Dengan tunjuan menjatuhkan dirinya.

Tak salah untuk cemburu pada orang yang lebih hebat daripada kita, jika orang itu memang benar-benar hebat. Tapi salah besar kalau kita dengki pada orang yang barangkali hebat atau barangkali tak sehebat mana cuma orang itu menikmati kehidupannya dengan baik. Kerana sifat dengki itu amat memenatkan. Apakan tidak, sifat dengki ini membuatkan kita tidak senang duduk melihat kejayaan orang lain, kesenangan orang lain mahupun kebahagiaan orang lain. Setiap masa hanya berfikir, bagaimana caranya untuk menjatuhkan si fulan dan si fulan?

Kadang-kadang kita tak sedar bahawa apa yang kita miliki lebih baik lagi daripada yang dimiliki orang lain. Macam mana nak sedar jika kita tak pernah mahu menghargai. Macam mana nak sedar jika kemilau berlian pada jari sendiri ditutupi selut cemburu dan hasad dengki. Sedangkan orang lain yang cuma memiliki belah rotan itu sering menggilap dan merawatinya sepenuh hati dengan penuh rasa bahagia.


Barsyukur dengan apa yang kita ada dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menjaga, memelihara dan merawatinya.

ps: quote daripada Dr. Fadzila Azni, "Every privilage comes with obligation"..tak kisah la privilage tu datang dalam bentuk belah rotan mahupun yang bertatah berlian..dua-dua pun nikmat kan? :)