Friday, June 11, 2010

Malaikat Kecil


Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. DIa berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil
keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya " Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat . Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang. Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!



Percayalah anda juga adalah malaikat kecil itu. Tetapi malangnya kita tidak pernah istiqamah dalam setiap dakwah yang kita lakukan. Kita terlalu cepat mengalah.. dek kerana ujian yang tidak seberapa.

ps: diambil dari weblog ABI (http://abiisdev.blogspot.com) buat perkongsian rakan-rakan di sini

Monday, June 07, 2010

Jalan Yang Hilang


Apa sebenarnya yang aku mahu dalam kehidupan ini? Adakah kemahuan itu merupakan keperluan? Adakah ini jalan yang tepat? Yang manakah jalan yang tepat? Aku telah temui jalan itu, tetpi kenapa sekarang aku seperti sedang kesesatan?

Sebenarnya, jalan itu telah ada, terang, dan nyata. Tapi seakan-akan kehilangannya. Bukanlah tersesat. Tapi, ia seperti satu jalan lurus yang panjang dan setelah memulakan langkah untuk melalui jalan itu, tiba-tiba ia berkabus. Kabus kehampaan, kabus yang menghasilkan satu keadaan vakum dan pegun.

Terasa kosong, dan hampa.

Mungkin inilah yang sedang dihadapi oleh seorang rakan saya. Air matanya bergenang saat meluah rasa.

Saya cuma boleh mendengar. Solusi tiada pada saya. Saya tahu, dia sendiri tahu cara yang terbaik untuk bangkit kembali. Dengan mata yang sembab akibat menangis saat bersujud, dia menyatakan bahawa dia tahu yang dia berada jauh dari Sang Pencipta. Mungkin, kekosongan itu terjadi kerana kejauhan tersebut. Dan ingatan kepada Yang Maha Pencinta itu hanya terhasil saat ditimpa musibah.


Bukankah musibah itu kini menjadi satu kenikmatan? Saat kita telah jauh, kita diberi peluang untuk kembali dekat pada-Nya. Bukankah ia satu hadiah yang tidak ternilai? Kerana musibah itu kini mendekatkan kita dengan Dia. Kerana Dia tidak membiarkan kita jauh dan hanyut. Kerana Dia memberi kita peluang melalui musibah itu untuk memperbetulkan diri kita.

Menangislah untuk Tuhanmu. Kerana hidup ini dan kematian nanti, tidak lain dan tidak bukan hanya untuk Allah. Mintalah pada-Nya.

"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat." (al-Fatihah, 1:5-7)

Monday, May 17, 2010

Guru Oh Guru


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Sunday, May 16, 2010

Cikgu!


Semasa bergelar pelajar sekolah dulu, saya bukanlah pelajar yang baik. Masih saya ingat, semasa pelajar-pelajar yang bakal menduduki PMR perlu bersalaman dengan semua guru, guru Matematik yang pernah mengajar semasa tingkatan 1 menarik tangannya pantas, tidak mahu dicium. Bukan saya seorang yang diperlakukan begitu, rakan-rakan seangkatan yang sama nakal turut menghadapinya. Mujur juga, subjek tersebut dapat saya hadapi dengan baik ketika PMR. Mungkin itu kelebihannya bertukar guru setiap tahun. Buat salah pada satu guru, tahun seterusnya setelah sedikit matang, belajarlah dengan lebih baik.

Itu hanya secebis kecil fragmen dalam kehidupan saya dengan insan bernama guru. Sejujurnya, memang ada guru yang berjaya mencarik luka dalam hati saya. Namun, jutaan terima kasih juga buat mereka kerana luka itulah buat saya masih ingat mereka. Kerana luka itulah yang mengajar dan mendewasakan. Kini, saya percaya dan yakin kelukaan itu bukan sengaja diada-adakan. Pasti tujuannya untuk mendidik.

Tidak kurang juga guru-guru yang terlalu baik dan ajarannya sangat berkesan dan dekat dengan hati saya.

Sekolah Rendah
Ustazah Salwa yang mengajar alif ba ta hingga khatam al-Quran, yang selalu membacakan kisah-kisah sirah. Yang merawat luka ketika terjatuh saat bermain dengan rakan-rakan. Pn. Rohani, guru kelas 2 Anggerik (SKA) yang selalu percaya dengan anak didiknya yang walaupun berada di kelas terkebelakang masih boleh berjaya. Pn. Sarah, guru Matematik 6 Usaha kerana mengajarkan Matematik yang sangat indah dan tersusun.

Sekolah Menengah
Cikgu Rizal dan Cikgu Anwar yang pernah menjadi rebutan pelajar-pelajar 1 Amanah di SMKDAR (kerana mereka guru sandaran, baru tamat STPM ketika itu). Barangkali sudah jadi pegawai besar kini. Pn. Mazlah, guru Sains 2 Harapan (SEMEKAR) yang berjaya membuatkan saya memahami sifat cahaya dan lensa. Ustazah Wan Najibah (Pendidikan Islam, 2 Harapan, 3 Harapan, 4 Cekal) yang selalu bersabar dengan kerenah saya yang suka ponteng kelas PAFA dan melewatkan hafazan tetapi masih berani menjadikan saya sebagai wakil sekolah untuk Kuiz Agama Daerah Gombak. Pn. Kartini, (Matematik 3 Harapan) yang bersabar mengajar saya silibus tingkatan 1 hingga 3 dalam masa 1 tahun. En. Jamil (Sejarah, 3 Harapan & B. Melayu 4 Cekal) yang berjaya membuatkan saya berminat dengan Sejarah melalui kaedah berceritanya. Mr. Teh Tat Leong (Matematik Tambahan 4 & 5 Cekal) yang bersemangat dan tidak pernah malu menyatakan, "Saya baru belajar mencari formula menggunakan kalkulator," dan mengajarkannya kepada kami, yang selalu berusaha membumikan teorem dan fungsi Matematik kepada kehidupan sebenar, yang selalu menceriakan kelas dengan permainan Matematik dan hadiah-hadiah unik (paling best kalau dapat stem!), yang tidak pernah memandang warna kulit dan berjaya mendidik saya untuk biasa dengan DEADLINE! Pn. Azizah (B. Melayu 5 Cekal) yang memperkenalkan Faisal Tehrani dan Abdullah Hussein, yang membuatkan saya mencintai bahasa ibunda sendiri, yang selalu menceritakan pengalamannya ketika menuntut di USM (hingga saya terpengaruh untuk memilik KMPPinang untuk pra-u). Pn. Azean (B. Inggeris, 5 Cekal) yang membuatkan saya suka pada B. Inggeris dan mahu menggunakannya (B. Inggeris saya sungguh teruk sehingga membuatkan guru BI ketika Tingkatan 3 memanggil ayah saya kerana risau saya akan berjaya subjek lain tetapi gagal subjek tersebut).

Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) - H5P5
En. Azman (Biologi) yang selalu menunjukkan bukti kekuasaan Tuhan melalui kehidupan dan penciptaan makhluk-Nya. Pn. Jamaliah dan Pn. Nik (Matematik) yang selalu dedikasi tanpa mengira masa dan tak pernah jemu menghadapi pelajar yaang apabila diajar akan faham tetapi saat disuruh membuat tutorial, semuanya hilang. En. Rizal (BI) yang berjaya memaksa anak-anak Kelantan bertutur dalam BI.

USM - School of Biological Sciences
Dr. Rasyidah yang menarik minat saya untuk memilih Mikrobiologi sebagai major. Prof. Zubeir (kini Dato') yang meperkenalkan Biostatistik. Dr. Azizan (kini di UMK) dan Dr. Razif yang mengajar Microb's Physio dengan cara yang SANGAT unik! Dr. Joe (Tengku Sifzizul, kini di UMK) penasihat akademik dan pensyarah Immunologi yang selalu kata, "kenapa turun ni Wan?" saat pointer saya jatuh berturut-turut sejak semester 2 tahun 1. Dr. Amir yang menjadi penyelia latihan industri dan pensyarah Environmental Microbes yang selalu bersabar dengan ke-tidak-minat-an saya. Dr. Sudesh Kumar & Mr. Kesaven yang selalu membantu dan memberi tunjuk ajar sepanjang melakukan Projek Tahun Akhir dan memperkenalkan saya kepada journal akademik.

USM - ISDEV
Prof. Syukri yang percaya kepada saya. Dr. Fadzila Azni yang selalu berjaya mengesan perubahan emosi saya. Dr. Zahri, Dr. Zakaria yang mengajarkan kepentingan dan kelebihan muamalat Islam. Serta semua pensyarah di ISDEV, termasuk Doctoral Fellow dan penyelidik ISDEV yang selalu sudi berkongsi Ilmu dan menjawab pertanyaan-pertanyaan yang kadang kala kurang munasabah daripada saya. Juga buat Dr. Tajul dari Grad. School of Business yang mengajarkan tentang tekad dan kerja keras.

Terima kasih buat semua yang mendidik saya dari kecil hingga kini. Terima kasih, semoga Allah s.w.t sentiasa merahmati para guru saya.

Tuesday, May 04, 2010

Can't Take It With U - Zain Bhikha feat Dawud & Abdul-Malik

Saya terjumpa dengan MV ini ketika merayap di Youtube. Lagu yang rancak catchy, sangat sesuai untuk anak muda khususnya yang sibuk mengejar harta benda dan gilakan barangan berjenama (oh my PRADA!). MV ini agak lucu dengan mimik dan reaksi Akh Zain dan Akh Dawud (yet sarcastic!). So, enjoy the clip and don't forget to think and feel the lyric o_O

No You Can’t Take It with You When You Go
Oh No You Can’t Take It with You When You Go
Can’t Understand Why You Keep Holding On
Just Cos You Can’t Take It With you, No You Can’t Take It with You
Yes, You Can’t Take It with You When You Go,
Oh When You Go

I See You Pride Yourself In Your New Car
Chatting On Your Compact Nokia
And You Love Your Expensive Clothes
But You Can’t Take It With You When You Go,
Oh When You Go

No You Can’t Take Your Big Screen TV
Nor your Variety Of DVDs
No You Can’t Take You Designer Shoes
Everything You Have, You Gonna Lose

Cos there’s One Thing That Matters, When You Walking Down That Street
Is the Good and Bad You Sent Forth, In Your Book of Deeds
So Make Sure That You’re Ready, To Receive It in Your Right Hand
And Take Your Place among the Righteous Of Man

You plan to be richer,you stash to be bigger.
But man get the picture, you can’t take it with ya.
Your cell phones, head phones, flat screens, ring tones,
Big homes, gemstones, power from big loans, collections of new shoes,
Connections of Bluetooth, vacations where you cruise the young ones go OOH!
You go shop for robots or gold watch or what not.
Your CDs of hip hop, your lap tops. Just STOP! & let go.

When you die say bye-bye. What is best is inside.
Fill the scale up with deeds so you best when you part,
Put the wealth in your hand; take it out of your heart.
Give thanks for the wealth that your Lord will bestow.
But no! That you can’t take it with you when you go.

Monday, April 26, 2010

Tanya Sama Itu Hud-hud

Tiba-tiba, kebelakangan ini saya ketagihan mendengar lagu-lagu M. Nasir. Muak barangkali dengan lirik mudah melankolis sama ada dalam aliran mainstream di radio mahupun nasyid-nasyid yang berbentuk pop.


Lantas saya mendownload dengan penuh jayanya lagu "Tanya sama itu hud-hud" ciptaan dan nyanyian M. Nasir. Ternyata, lagu tersebut meski berentak rancak, berjaya membuatkan saya mengalami goosebumps. Kenapa? Jom kita tengok lirik lagu tersebut:

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Pernah dengar tak hadith Rasulullah s.a.w tentang umat Islam yang terpecah kepada 73 golongan, dan daripada kesemua ini hanya satu golongan yang terselamat dari neraka iaitu golongan (jemaah) yang mengikuti sunnah Rasulullah dan sahabatnya (lihat Sunan Abu Daud no 4429)

Maknanya, yang sampai itu bermaksud yang selamat. Hanya ada satu jalan untuk selamat iaitu dengan mengikuti sunnah Rasulullah dan para sahabat. Agak-agaknya la kan, kita ni mengikut sunnah baginda tak? Hmm...

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Rangkap ini diekstrak daripada syair Parsi - Musyawarah Burung (Mantiq Al-Tayr) tulisan Farid ud-Din Attar. Dalam syair tersebut, beribu-ribu burung terbang untuk mencari raja mereka, Simurgh. Daripada beribu-ribu burung tadi, hanya tiga puluh yang berjaya. Kejayaan mereka membolehkan mereka sampai kepada tahap mengenali sang raja. Bukan mudah untuk sampai ke tahap tersebut kerana mereka perlu menghadapi 7 lembah. Sebenarnya, advencer burung-burung ini adalah perjalanan penulis syair tersebut dalam mencari makna dan hakikat hidup. Untuk maklumat lanjut, boleh klik sini.

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Algojo itu adalah orang yang ditugaskan mencabut nyawa. Kalau di penjara, beliau mungkin orang yang memegang butang yang menjadi pemegang lantai di bawah tali gantung. Tapi hakikat sebenar, yang ditugaskan mengambil nyawa itu adalah malaikat maut. Andainya dia tiba dan mahu menjalankan tuga, boleh tak kita nak kata kat dia", "Oohhh nanti dulu!"?

Lihat dunia dari mata burung
Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih

Dua rangkap yang atas tu jelas dan terang, menyuruh kitaberfikir antara melihat dari mata burung, open minds dan berpandangan jauh atau sekadar mahu melihat seperti katak di bawah tempurung. Hanya melihat tempurung dan diri sendiri. Itupun kalau ada cahaya. Kalau tak ada? Gelap gelitalah jawabnya. Maka, pilihlah dengan akal dan iman yang dianugerahkan.

Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Mula-mula saya kurang faham dengan rangkap ini. Tetapi akhirnya menemui satu blog. Penulis blog menyatakan bahawa,
"Singkap kembali sejarah Rasullullah membawa cahaya pada Zaman Jahiliah... Rasullullah mengajarkan Islam pada masyarakat yang jahil... Maka dalam keadaan jahil itu wujudlah satu sistem yang sempurna... Namun dunia kini sudah jauh berubah, sistem yang sempurna itu sudah tidak diguna pakai... Tempatnya diambil alih oleh undang-undang ciptaan manusia sendiri yang terlalu banyak kekurangan, terkadang itu banyak kontroversi berlaku dan kuta berada DI SINI!"

Ada betulnya kata beliau. Semasa kekalutan jahiliyah, peraturan Islam yang dibawa oleh Rasulullah mengubah keadaan masyarakat. Namun setelah peraturan tersebut diubah-ubah, ia mengundang kekalutan. Dan di mana kita berada? Di sini, di dunia yang penuh kalut ini.

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu
Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

Boleh tak merayu di saat akhir kehidupan. Waktu itu baru nak bertaubat, baru nak merayu, baru nak bersaksi dengan kalimah kebenaran (syahadah)? Sempat tak?

"Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerna dia yang terbangkan ku ke mari"

Yang ni, kena baca Musyawarah Burung. Boleh baca di sini. Oleh kerana burung hud-hud yang mendakwa tentang kewujudan raja si Muraq dan menerbangkan kawanan burung ke tempat yang dituju, maka kena tanya pada dia lah tentang semua persoalan yang timbul dalam lirik ini.

Hm, amacam? ada rasa gementar tak? Semoga kita juga berjaya temui hakikat kehidupan. Berjaya mengenal Pencipta sekaligus mengenali diri sendiri. InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Sunday, April 18, 2010

The Other I

Baru-baru ini dalam satu temu bual dengan sebuah stesen radio swasta, Faizal Tahir telah memperkatakan tentang kewujudan alter ego yang membuatkan personalitinya berubah, berbeza antara Faizal Tahir di atas pentas dengan Faizal Tahir secara peribadi. Alter ego ini juga digunakan sebaik mungin untuk beliau beraksi dengan lincah sedangkan diri sebenar beliau adalah seorang yang pendiam.

Alter ego atau "the other I" dalam bahasa Latin membawa maksud persona ke dua yang terdapat dalam diri seseorang. Dikatakan juga bahawa orang yang memiliki alter ego ini mempunyai dua kehidupan, yang biasanya mempunyai sifat yang agak kontra. Contoh yang paling mudah adalah Clark Kent yang mempunyai Superman sebagai alter egonya.


Biasanya alter ego ini amat berguna untuk membolehkan seseorang itu relevan dengan persekitarannya, membolehkan ia berfungsi sebaik mungkin. Ambil saja contoh Spiderman yang merupakan alter ego kepada Peter Parker. Parker adalah orang biasa yang tiada sebarang keistimewaan. Tidak menonjol malah sering pula dipandang rendah. Namun apabila alter egonya mengambil alih, Parker sebagai Spiderman mendapat perhatian, menonjol, malah dianggap sebagai hero.


Meskipun begitu, alter ego ini tidak diklasifikasikan sebagai Multiple Personality Disorder (MPD). Ini kerana alter ego dicipta oleh diri seseorang itu sendiri secara sedar manakala MPD pula biasanya terlahir di luar sedar, akibat trauma atau kisah silam yang terpendam dalam pemikiran seserang.

Namun begitu, adakah kewujudan alter ego dalam diri seseorang merupakan satu kepura-puraan yang juga melahirkan sifat hipokrit? Apakah personaliti yang ditampilkan untuk membolehkan seseorang itu menyerlah dalam institusi masyarakat diklasifikasikan sebagai munafik?

Dalam kehidupan biasa, alter ego digunakan bagi membolehkan seseorang itu bergaul dan bertindak seperti orang kebanyakan. Sebagai contoh, orang yang pendiam mahupun pemendam sering tampil di khalayak dalam keadaan ceria. Namun begitu, jika difikirkan kembali, yang mana satukah alter ego dan yang mana satu personaliti sebenar? Mahu atau tidak, perlu diakui bahawa alter ego bukanlah satu kepura-puraan. Ia adalah sebahagian daripada diri seorang manusia malah punya kelebihan yang boleh membawa manfaat yang lebih besar.

ps: alter ego saya semakin menguasai diri dan saya tidak sukakannya!