
Ramadhan sudah sampai ke penghujung. Tradisi orang Melayu, bermaaf-maafan di Hari Raya Aidilfitri. Indahnya jika Ramadhan tinggalkan kita dalam keadaan kita yang telah suci, sesuci fitrah lahir kita. Barulah sesuai dengan 'Aidilfitri' yang kita semua semangat sangat nak sambut.
Hari itu (tengah-tengah Ramadhan), tidak tahu macam mana saya dan seorang rakan 'ter'bersembang tentang persahabatan. Kata kawan saya, beliau tidak percaya dengan persahabatan. Atas sebab itu, beliau tidak gemar bersahabat, tidak ramai sahabat malah sengaja tidak mesra dengan orang kerana tidak berminat untuk membuat sahabat. Lebih mudah berseorangan daripada menyimpan koleksi sahabat yang kelak akan melukakan diri kita.
Saya tidak terkejut dengan kata-kata beliau kerana saya juga pernah menghadapi situasi yang sama. Puncanya mudah, dendam bercampur serik. Ia terhasil daripada tragedi tikam-menikam dari belakang. Ala, orang Putih kata 'backstabbed'. Dan yang melakukan adalah orang yang paling bersahabat dengan kita. Senang kata, kawan baik sendiri (atau sekurang-kurangnya orang yang kita anggap kawan baik walaupun dia tak anggap pun kita ni kawan baik dia). Tanpa sedar, dendam dan serik tadi telah bertukar menjadi prejudis, bertukar menjadi tidak peduli. Kemudian ia memakan diri kita sendiri malah tanpa kita sedari ia telah melukakan orang-orang disekeliling kita.
Solusi saya padanya mudah. Dan ini adalah cara saya mengatasi masalah saya dengan orang-orang yang dikatakan sebagai sahabat ini. Juga boleh digunakan jika ada yang berbuat salah pada kita.
1. Anggaplah mereka saudara kita
Kalau anda bergaduh dengan adik, abang ataupun kakak anda, esok lusa baik semula kan? Kalau mereka minta pertolongan, adakah anda berkira? Kalau mereka berhutang seringgit dua, adakah anda menuntutnya? Lebih mudah kan jika kita anggap sahabat itu adalah saudara kita. Jika dia ada bersama kita, kita hargainya dan jika dia tiada bersama kita pun tidak mengapa. Tidak perlu berkepit 24/7, tidak perlu cemburu jika dia mahu bersahabat dengan orang lain.
2. Dia saja yang buat salah? KITA?
Sekali kita terfikir salah yang sahabat kita lakukan pada kita, seratus kali kita kena ingat kesalahan yang kita buat pada dia dan pada semua orang di muka dunia. Saya teringat dialog dalam filem Sang Murabbi yang saya beli di Medan tempoh hari, "Ada dua perkara yang harus kau ingat sepanjang hidupmu dan ada dua perkara pula yang haru kau lupakan. Ingat setiap kesalahan yang kau lakukan pada orang-orang dan ingat setiap kebaikan yang dilakukan orang-orang kepadamu. Lupakan kebaikan yang kau lakukan pada orang-orang dan lupakan kesalahan orang-orang terhadapmu". Toksahlah dok pendam lama-lama salah orang pada diri kita. Kalau terasa nak pendam juga, nak dendam juga, nak balas juga, ingat balik salah dan dosa kita. Sibuk kata orang banyak salah banyak dosa pada kita. Dia manusia kan? Tentu tidak sempurna. Sama juga dengan kita. Kita pun manusia. Tentu ada salah silap kita pada dia dan orang lain.
3. Terima qada' & qadar Allah
Jangan salah konsep ye. Terima qada' dan qadar ni bukan bermaksud pasrah. Biarlah~ lantaklah~ apa nak jadi pun jadi lah~. Bukan ye. Apa yang saya maksudkan di sini adalah benda yang lepas jangan dikenang (wah! macam filem Melayu lama pulak). Kalau tidak kerana salah yaang sahabat kita dah buat pada kita, adakah kita akan berada pada tahap ini? Teringat satu quote yang saya terbaca dalam salah satu novel tulisan Hlovet, "Anything that doesn't kills you, will makes you stronger". Dah tentu, selepas terluka dengan kesilapan orang pada diri kita, kita bersedih kemudian kita bangkit. Kita teruskan kehidupan. Kita jadi lebih kuat, malah mungkin lebih berjaya. Ini yang berlaku pada saya. Selepas terluka, Allah buka jalan yang saya sendiri tak pernah termimpi untuk melaluinya. Jauh, jauh lebih baik daripada apa yang pernah saya dan sahabat-sahabat saya kejarkan satu ketika dulu.
4. Hidup pasti akan mati. Dunia ini sementara je~
Apa yang kita lalui, yang kita rasa dan kita depani di dunia ini semuanya pinjaman. Keseronokan, kegembiraan, kesedihan, kemarahan, kebencian dan segala perasaan yang Allah anugerahkan buat kita suatu masa nanti akan temui pengakhiran juga. Jadi kenapa perlu bersusah payah untuk hidup dengan kebencian berlama-lama? Esok lusa, mati juga kan? Rasa-rasanya, kalau kita asyik marah dan membenci, asyik menyimpan dendam, Allah sayang pada kita tak? Kalau kita sibuk mendera diri dengan perasaan yang buruk, Allah sayang kita tak? Kita pun tak sayang diri sendiri, kenapa Allah nak sayang kita? Kalau kita tak sayang diri kita, macam mana kita nak jumpa sahabat yang baru yang sayang kita lebih lagi dari sahabat lama yang pernah mengecewakan kita? Kan lebih seronok jika kita maafkan semua salah silap orang pada kita, hidup dengan gembira dan bahagia, kemudian dikasihi Allah. Lalu mati dengan hati yang mulia dan bertemu Allah dengan jiwa yang suci. Sounds ideal right? Macam impossible je. Tak mungkin, tak bererti mustahil. InsyaAllah, buka hati dan lapangkan minda. Satukan kedua-duanya dan mohonlah pada Allah Yang Memiliki Hati, hati kita dan hati sahabat-sahabat kita untuk kita maafkan mereka, maaf dengan sesungguhnya.
Hidup ini, tak pernah terlepas dengan segala macam ujian. Ada ujian kenikmatan. Ada ujian kesusahan. Terimalah yang nikmat itu sebagai amanah dan kesusahan itu sebagai hadiah. Macam Ramadhan yang baru sahaja kita lalui. Ada susah di dalamnya yang sebenarnya Allah sediakan sebagai hadiah untuk mereka yang berpuasa dan ada nikmat di dalamnya yang Allah berikan ketika waktu berbuka dan 1 Syawal sebagai amanah untuk kita galas dan laksanakan.
Maafkanlah, maafkanlah dengan sepenuh hatimu. Semoga ia ikhlas, semoga ia diterima Allah.
Salam Aidilfitri semua, taqabalallahu minna wa minkum minal aidin wal faiziin. Semoga di hari kemenangan ini kita juga menang melawan amarah dan berjaya mensucikan hati. Dan semoga, semua amalan yang baik yang pernah kita lakukan ketika Ramadhan diterima Allah dan dapat untuk kita istiqamah melakukannya di sebelas bulan akan datang, sehingga bertemu kembali Ramadhan seterusnya. InsyaAllah, jika Allah izinkan.
Saya juga ingin mohon kemaafan. Khilaf dan segala kekurangan saya. Maafkanlah saudaramu ini ya!
Selamat hari raya!