Friday, January 14, 2011

Belasungkawa (condolence)

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.)

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Surah al-Baqarah, 2:155-157


Kawan,

Kalau apa yang kau hadapi sekarang dapat hilang dengan hanya kata-kataku, sejuta ayat akan aku karangkan untukmu.

Kalau pedih dan sedih yang kau lalui sekarang dapat terhapus hanya dengan air mataku, seratus tempayan akan aku tangiskan untukmu.

Tapi manakan mampu aku membasuh lukamu. Maaf, kerana hanya mampu melihat dukamu dari jauh dan merasai kecewamu dari jauh. Maaf, aku tidak tahu ayat apa harus aku karangkan dan air mataku juga cuma akan menjadi bebanan.


Kawan,

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

Surah Ali-Imran, 3:139

Takziah buatmu sekeluarga.

Friday, December 31, 2010

Sayonara 2010

this is my december
this is my time of the year

this is my december
this is all so clear

this is my december
this is my snow covered home
this is my december
this is me alone

and i
just wish that i didn’t feel
like there was something i missed
and i
take back all the things i said
to make you feel like that

Terngiang-ngiang lagu My December by Linkin Park bila mengenangkan tak berapa jam lagi Disember akan pergi, diganti dengan Januari 2011. Bermuhasabah diri memikirkan perjalanan hidup sepanjang 2010. Boleh pula muhasabah diri dengan lagu Linkin Park kan?

Hari ini, Alhamdulillah, satu lagi seminar telah berjaya dianjurkan oleh ISDEV, tempat saya menyambung belajar. Disember menjadi bulan yang penuh ilmu buat saya. Bermula dengan wacana oleh Prof. Alyasa’ dari Aceh, diikuti pula dengan IDMAC dengan tema Transformasi Zakat, saya bertindak sebagai editor untuk kertas-kertas kerja yang dibentangkan. Kemudian pertemuan dengan Prof. Syed Naquib al-Attas. Disambung pula dengan syarahan Dr. Afifi al-Akiti, anak Melayu satu-satunya yang menjadi pensyarah di Oxford University. Dan yang terakhir, seminar tentang kontrak pembinaan berteraskan Islam pada siang tadi.

Prof. Syed Naquib al-Attas

Semuanya tentang Islam, dari pelbagai perspektif yang tak terjangkau dek fikiran saya. Kalau Prof. Alyasa’ menggalakkan pendengarnya membuka mazhab, melaksanakan tajdid (pembaharuan) dan mengikut arus kemodenan, Prof. Naquib pula menekankan agar ‘stick to what you believe and what has been thought to you’, jangan mudah terpengaruh dan sentiasa berpegang teguh sama ada kepada tauhid Allah dan sunnah Rasulullah mahupun ajaran-ajaran ilmuan Islam tersohor yang lainnya. Nampak benar kebimbangan Prof. Naquib dengan fenomena Muslim scholars yang semakin terpengaruh dengan dakyah Barat.


Dr. Afifi al-Akiti

Dr. Afifi pula membuka ruang untuk saya bermuhasabah diri. Memikirkan kembali, bagaimana untuk berubah dan bagaimana untuk mengubah persekitaran saya menjadi lebih baik, atau barangkali yang terbaik dari apa yang pernah berlaku ke atas diri saya. Kata Dr. Afifi, ada dua fenomena ketamadunan dalam dunia. Satunya, yang terjadi terhadap dunia Islam. Mulanya bangkit gemilang. Hingga ketika zaman kegemilangan Islam itu, ilmu-ilmu mahu diajarkan kepada ‘the barbarian’ ie. Orang-orang di Eropah. Setelah memiliki kemuncak kegemilangan, masyarakat Muslim jatuh. Empayar Islam musnah dan hasilnya, fenomena kedua dalam ketamadunan dunia – kebangkitan Eropah. Kalau tamadun Islam dari the golden ages to the dark ages, tamadun Eropah (atau Barat) pula dari the dark ages to the golden ages. Dr. Afifi tekankan agar renung dan fikir kembali kualiti yang ada pada umat Islam ketika zaman kegemilangan tamadun Islam.

Apa yang ada pada mereka, yang tiada pada kita? Mungkin ia ada pada anda..tapi ia masih belum ada pada saya. Jadi kalau anda tahu apakah ia yang menjadikan mereka gemilang, kongsi-kongsilah bersama saya. Supaya nanti kita semua, umat Islam dapat gemilang kembali.

2011 ini, saya menginjak ke umur 25 tahun. Apa rasanya masuk ke umur 25? Apa rasanya menjadi pelajar ijazah tinggi ketika berumur 25? Maniskah pahit kah? Saya gementar untuk mengetahui rasanya. Mampukah saya ber-adab sebaiknya?

Kata Prof. Naquib, salah satu cabang adab adalah meletakkan ilmu pada tempatnya dan menghormati ilmu. Guru saya pula menambah, adab itu bermaksud bertindak dan memperlakukan seseorang sesuai dengan kedudukannya. Apa yang saya faham daripada kata-kata mereka, kalau punya ilmu yang tinggi, bertindaklah dan bertingkah lakulah seperti orang yang berilmu, hormati ilmu itu dengan tidak bertindak dangkal ie. Sampai orang kata, “iye ke dia ni pensyarah u?”, “kata belajar tinggi, tapi perangai macam setan!” (oopss..ini cuma untuk memudahkan pemahaman. Saya tak bermaksud mahu menggunakan bahasa yang kasar. Kalau ada yang tersinggung, maaf ye).Menurut guru saya juga, adab membawa erti kita melayani seseorang sesuai dengan tahapnya. Kalau dengan orang berilmu ada caranya. Kalau dengan orang tua ada caranya dan kalau dengan kanak-kanak ada caranya. Tak boleh pukul rata saja.

Dr. Afifi pula menerangkan keindahan perkataan adab dan lawannya, biadab. Katanya, biadab itu asal dari perkataan adab. Walaupun perkataan adab berasal dari bahasa Arab, perkataan biadab kalau dieja melalui sebutan (pronounciation) English, ejaannya akan menjadi be-adab, yang bermaksud ADA ADAB! Jadi jika kita biadab, sila-silalah pastikan kita mengADAkan ADAB itu.

Terus terang, saya terkejut bila kedua-dua Muslim scholar warga Malaysia ini bercakap tentang adab pada dua masa yang berbeza. Mungkin juga, ini teguran Allah buat saya. Mungkin Dia mahu saya lebih beradab. Beradab dengan ilmu, beradab dengan diri sendiri dan beradab dengan persekitaran saya. Mampu kah saya untuk beradab sebaiknya, sesuai dengan tempat saya berada sekarang? Terus-terang saya katakan, kadang-kadang saya masih terasa mahu enjoy, mahu suka-suka, mahu lepak-lepak, mahu buat apa yang pernah saya buat dulu. Tapi mungkin, mungkin saja ini yang terbaik buat saya. Mungkin dah tiba masa untuk sikap immature yang tebal pada diri saya dibuang. Mungkin dah tiba masa untuk saya lebih matang dan menjadi lebih teguh. Kalau ini masa yang terbaik untuk saya melaksanakannya, insyaAllah saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berubah.

Maafkan saya, Prof dan semua pensyarah. Maafkan saya, kakak-kakak RISDEV, maafkan saya, adik-adik MISDEV. Kalau selama ini saya tidak beradab.

Alhamdulillah, terima kasih Prof. Naquib, terima kasih Dr. Afifi...terima kasih semua.

Jumpa lagi di 2011!

Thursday, December 09, 2010

Bertanya kepada Hud-hud

Imej oleh Arconic

Ini kali ketiga saya post kan entri "Tanya Sama Itu Hud-hud" dalam blog ini. Beberapa minggu lalu saya menerima mesej dari sesorang yang bertanyakan makna rangkap 'lang mensilang kui mensikui'. Pada entri sebelum ini saya tidak meletakkan makna di sebalik rangkap tersebut. Alhamdulillah, hasil dari perbincangan kami, saya memperoleh maknanya. Namun, perlu sentiasa tahu bahawa ini hanyalah interpretasi peribadi. Tidak semestinya betul, tidak semestinya sama dengan makna sebenar yang difikirkan oleh M. Nasir ketika beliau menuliskan lirik lagu ini. Terima kasih buat Akh Abdelgadir Tageldin kerana perkongsiannya. Terima kasih juga buat semua yang sudi membaca entri Tanya Sama Itu Hud-hud, mempromosikannya dan membincangkannya sehingga pelbagai makna tersirat dapat semakin difahami.

Tujuh puluh tiga pintu
Tujuh puluh tiga jalan
Yang sampai hanya satu jalan

Pernah dengar tak hadith Rasulullah s.a.w tentang umat Islam yang terpecah kepada 73 golongan, dan daripada kesemua ini hanya satu golongan yang terselamat dari seksaan neraka iaitu golongan (jemaah) yang mengikuti sunnah Rasulullah dan sahabatnya.
Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah. (lihat Sunan Abu Daud no 4429).

Maknanya, yang sampai itu bermaksud yang selamat. Hanya ada satu jalan untuk selamat iaitu dengan mengikuti sunnah Rasulullah dan para sahabat. Agak-agaknya la kan, kita ni mengikut sunnah baginda tak?

Beribu-ribu Margasatua
Mencari raja si Muraq
Yang sampai hanya tiga puluh

Rangkap ini diekstrak daripada syair Parsi - Musyawarah Burung (Mantiq Al-Tayr) tulisan Farid ud-Din Attar. Dalam syair tersebut, beribu-ribu burung terbang untuk mencari raja mereka, Simurgh. Daripada beribu-ribu burung tadi, hanya tiga puluh yang berjaya. Simurgh juga bermaksud 30 (سی = tigapuluh, مرغ = burung. Tetapi kalau cari makna simurgh سیمرغ, maknanya pheonix).

Kejayaan mereka membolehkan mereka sampai kepada tahap mengenali sang raja. Bukan mudah untuk sampai ke tahap tersebut kerana mereka perlu menghadapi 7 lembah. Sebenarnya, advencer burung-burung ini adalah perjalanan penulis syair tersebut dalam mencari makna dan hakikat hidup. Raja yang ditemui adalah diri mereka sendiri. Untuk maklumat lanjut mengenai perjalanan tersebut, boleh klik sini.

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu

Algojo itu adalah orang yang ditugaskan mencabut nyawa. Kalau di penjara, beliau mungkin orang yang memegang butang yang menjadi pemegang lantai di bawah tali gantung. Tapi hakikat sebenar, yang ditugaskan mengambil nyawa itu adalah malaikat maut. Andainya dia tiba dan mahu menjalankan tugas, boleh tak kita nak kata kat dia, "Oohhh nanti dulu!"?

Lihat dunia dari mata burung
Atau lihat dari dalam tempurung
Yang mana satu engkau pilih

Dua rangkap yang atas tu jelas dan terang, menyuruh kita berfikir antara melihat dari mata burung, with an open mind dan berpandangan jauh atau sekadar mahu melihat seperti katak di bawah tempurung. Hanya melihat tempurung dan diri sendiri. Itupun kalau ada cahaya. Kalau tak ada? Gelap gelitalah jawabnya. Maka, pilihlah dengan akal dan iman yang dianugerahkan.

Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini

Mula-mula saya kurang faham dengan rangkap ini. Tetapi akhirnya menemui satu blog. Penulis blog menyatakan bahawa,
"Singkap kembali sejarah Rasullullah membawa cahaya pada Zaman Jahiliah. Rasullullah mengajarkan Islam pada masyarakat yang jahil. Maka dalam keadaan jahil itu wujudlah satu sistem yang sempurna. Namun dunia kini sudah jauh berubah, sistem yang sempurna itu sudah tidak diguna pakai. Tempatnya diambil alih oleh undang-undang ciptaan manusia sendiri yang terlalu banyak kekurangan, terkadang itu banyak kontroversi berlaku dan kita berada DI SINI!"

Ada betulnya kata beliau. Semasa kekalutan jahiliyah, peraturan Islam yang dibawa oleh Rasulullah mengubah keadaan masyarakat. Namun setelah peraturan tersebut diubah-ubah, ia mengundang kekalutan. Dan di mana kita berada? Di sini, di dunia yang penuh kalut ini.

Satu lagi interpretasi untuk rangkap ini yang saya temui dalam satu forum yang menggunakan entri saya dalam forum tersebut. Menurut forumer tersebut:
It refers to 'ordo ab chao', 'order out of chaos', or 'staged events'. Macam 9/11, nampak macam chaos tapi sebenarnya semua dah pre-plan, untuk attack Iraq/Afghanistan/war against terror.

Ooh... Sang Algojo
Ooh... nanti dulu
Berikan ku kesempatan akhir ini
Untuk menyatakan kalimah/kisah sebenarnya
Berikan aku kesempatan akhir ini
Lai lai la lai la lai

Boleh tak merayu di saat akhir kehidupan. Waktu itu baru nak bertaubat, baru nak merayu, baru nak bersaksi dengan kalimah kebenaran (syahadah)? Baru nak kata, yang kita bersaksi sebenar-benar Tuhan hanyalah Allah. Sempat tak?

Tanya sama itu hud-hud
Lang mensilang
Kui mengsikui
Kerana dia yang terbangkan ku ke mari

Interpretasi saya sendiri, rangkap ini membawa maksud burung-burung saling terbang menuju ke destinasi yang ditunjukkan oleh burung hud-hud. Helang dengan cara helang. Kui dengan cara kui. Saya kurang pasti kui ini burung apa tetapi menurut seorang rakan saya, kui ini nama lain untuk burung tekukur (salah satu spesis dove).
Berikut pula adalah interpretasi Akh Abdelgadir mengenai rangkap ini:

It can be translated as "Eagle flying across". And I think M. Nasir adapted the word from "Silang" which means across. It should be interpreted might be as:

Eagle flying across mountains (or hills or obstacle or valleys) and in this sense it might be a direct reference to the "Conference of the Birds story" in Arabic its "Mantiq Ul-Tair" as these birds flew over several valleys to reach the King "Si Muraq"

Apa pun, untuk faham maksud lagu ini kena baca Musyawarah Burung. Boleh baca di sini. Kalau dapat baca naskah penuh tentu sekali lebih bagus. Perlu ingat juga, lirik lagu ini bukanlah seratus peratus mengenai hud-hud dan perjalanannya. Ia juga menyelitkan keadaan dan konflik semasa dan adaptasi peribadi M. Nasir sendiri.

Sejujurnya, saat membaca bait lirik lagu-lagu yang ditulis oleh M. Nasir saya terfikir siapa beliau sebenarnya. M. Nasir dan rakannya, Allahyarham Loloq sering menulis lirik berunsur sejarah dan elemen sufisme.

Apapun, untuk diri saya sendiri, tulisan M. Nasir melalui lirik lagunya berupaya membuatkan saya berfiikir. Mengenai hidup, mengenai diri, mengenai ciptaan-ciptaan Allah. Semoga kita semua berjaya temui hakikat kehidupan. Berjaya mengenal Pencipta sekaligus mengenali diri sendiri. InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Monday, December 06, 2010

Hijrah

Hari baru untuk tahun 1432 hijrah saya bermula dengan supervision bersama penyelia utama dan keluarganya serta penyelia bersama. Nasihat demi nasihat. Kata-kata semangat, dorongan dan peringatan.

Satu tahun telah berlalu dengan kegagalan. 1431 hijrah, saya rasa saya telah gagal. Sebagai seorang pelajar, sebagai seorang anak, sebagai seorang hamba, sebagai seorang khalifah. Saya gagal mengemudi diri sendiri. Langkah saya tersasar. Saya kabur dengan pesona kesenangan dan kenikmatan.

Mudahnya bercakap. Bila tengok semula entri-entri yang saya letakkan dalam blog ini, apakah saya melakukan setiap yang saya katakan? Adakah segala nasihat dan panduan yang tercatit dalam blog ini saya laksanakan? Maaf, saya manusia hina.

Belajar untuk apa? Baru beberapa hari lepas saya menulis entri itu dan hari ini, pada tahun baru ini saya tanyakan kembali kepada diri sendiri. Bagaimana niat saya? Bagaimana nawaitu saya?

Malam tahun baru ini, saya ingin gali semula azam yang pernah saya buat pada 2 tahun lepas ketika saya baru mula mengenal cinta kepada ilmu.

Astaghfirullah, ya Allah ampunkan hamba-Mu. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah..terima kasih Tuhan. Atas nikmat yang Kau berikan dan segala musibah yang Kau hindarkan. Alhamdulillah.

Salam maal hijrah. Selamat tahun baru hijrah!

Friday, December 03, 2010

Belajar untuk apa?

Assalamualaikum,

2010 sudah semakin menghampiri penghujung. Menjadikan tempoh saya berada di USM ini melebihi tempoh 5 tahun. Dari umur belasan tahun, hingga kini sudah hampir ke pertengahan usia 20-an. Tiba-tiba terasa tua.

Semalam, saya ke kafe Ibu di Desasiswa Tekun. Beliau menegur, "Hai Anak! Lamanya Anak belajar. Bila mahu habis?"

"3 tahun lagi, insyaAllah"

"Baguslah, belajar tinggi-tinggi. Nanti gaji banyak. Mak mesti suka Anak dapat gaji banyak."

Saya cuma tersenyum sambil menyerahkan bayaran untuk makanan yang saya beli. Terfikir pula apa sebabnya kita belajar?


Kebanyakan rakyat Malaysia khususnya yang berada di kawasan bandar sudah mula dihantar ke pra-sekolah sejak usia 5 tahun. Malah ada juga yang telah dihantar ke sekolah main-main (play-school) sejak usia 3 tahun. Bila sudah 7 tahun masuk ke sekolah rendah. Dalam masa yang sama, dihantar juga ke sekolah agama. Bila sudah 13 tahun, masuk ke sekolah menengah. Tamat SPM, sambung ke tingkatan 6 atau matrikulasi atau mana-mana IPT untuk program sijil atau diploma. Selepas itu sambung pula ke ijazah sarjana muda. Tamat saja sambung pula program sarjana. Selepas peroleh sarjana, memburu PhD pula.

Kalau belajar tanpa henti, insyaAllah sebelum umur 30tahun sudah peroleh Doktor Falsafah. Soalnya, untuk apa kita belajar sejak gigi susu masih cantik putih hingga gigi bongsu tumbuh di celah rahang? Adakah semata-mata untuk segala macam skrol ijazah? Ataupun mengejar pangkat tinggi? Atau kita mengharapkan dengan adanya skrol-skrol ijazah ini kita akan peroleh gaji besar dan penghormatan? Mendapat anugerah dan puji-pujian?

Saya tergamam bila timbul isu pemalsuan gelaran Doktor Falsafah 'Dr.' Fazley. Sampai macam tu sekali keinginan pada ijazah tersebut sampai sanggup memalsukannya. Apabila disoal, katanya sedang membuat PhD. Wah, kalau begitu, bersepahlah para 'Dr.' di Malaysia ini. Di USM saja calon Doktor Falsafah sudah bertimbun.


Isu pemalsuan ijazah bukanlah perkara yang baru. Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini sudah bermacam berita yang timbul. Tak perlu berpenat lelah belajar, tak perlu bersusah payah menulis tesis. Bayar saja. Hari ini hulurkan duit, minggu depan sudah peroleh skrol pengijazahan. Itu yang sindiket. Kalau di IPTA lain pula ceritanya.

Pernah satu ketika dulu, wartawan Berita Kampus USM mendedahkan kisah pelajar-pelajar PJJ (Pengajian Jarak Jauh) mengupah pelajar undergraduate sepenuh masa untuk membuat tugasan. Saya sendiri pernah ditawarkan RM300 untuk menyelesaikan tugasan mereka. Tapi tak perlu berfikir panjang, terus saya menolak. Apa guna menyambung belajar jika tugasan diselesaikan oleh orang lain? Tamat belajar nanti, apa agaknya yang akan kita dapat? Apa agaknya yang kita belajar?

Kebanyakan malah menjadi trend dalam kalangan orang Melayu untuk menyambung belajar setinggi mungkin. Tapi sayang, ijazah yang diperoleh hanya untuk mendapatkan kenaikan pangkat dan gaji. Ramai juga yang menyambung belajar kerana mahu mengejar rakan-rakan yang juga menyambung belajar. Jadinya, belajar tinggi-tinggi sekadar ikut-ikutan.

Belajarlah setinggi yang boleh. Belajarlah sampai akhir hayat kita. Tapi kan lebih baik kalau kita belajar bukan semata-mata untuk pangkat, gaji atau kemegahan. Bukan juga kerana ikut-ikutan. Kan lebih baik kalau kita belajar untuk Allah. Sebab kita mahu tahu dan mahu memahami ilmu yang Allah ciptakan. Kita mahu mengenal Allah dengan lebih mendalam melalui ilmu-ilmunya. Belajar itukan proses mencari ilmu. Dan ilmu itukan datang dari Allah.

Belajar itu bagus. Tapi untuk apa kita belajar sebenarnya?

"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Mulia. Yang mengajar (manusia) dengan kalam. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." [al-'Alaq, 96:4-5]

Monday, November 29, 2010

Ketika Tangan dan Kaki Berkata


Akan datang hari mulut dikunci
Kata tak ada lagi

Akan tiba masa
Tak ada suara dari mulut kita

Berkata tangan kita
Tentang apa yang dilakukannya
Berkata kaki kita
Ke mana saja dia melangkahnya
Tidak tahu kita bila harinya
Tanggung jawab tiba...

Rabbana
Tangan kami
Kaki kami
Mulut kami
Mata hati kami
Luruskanlah
Kukuhkanlah
Di jalan cahaya
Sempurna

Mohon karunia
Kepada kami
HambaMu
Yang hina

by Allahyarham Chrisye

Ya Allah, peliharalah aku. Bantulah aku. Menjauh dari dosa. Menjauh dari maksiat. Menghindar dari murka-Mu. Di dunia dan di hari kesaksian kelak.
Ya Allah, hinalah aku tanpa belas dan kasih-Mu.

Saturday, November 06, 2010

Messed up!

Sejak minggu lepas saya sibuk print segala macam artikel dan laporan yang dah terlalu lama bersarang dalam external hard-disk. Sebelum ini sekadar membaca dari skrin laptop ni je. Tapi, lepas penyelia kata nak tengok kategori untuk literature review, barulah kelam kabut nak print dan extract setiap maklumat. Haish! perangai last minute dari dulu masih tak boleh tinggal. Padan muka kat diri sendiri. Kan dah kelam kabut.

Tapi pelik juga kan. Dalam dok kelam kabut masih sempat menaip entri untuk post ini. Sebenarnya saja nak membebel. Nak lepaskan tekanan. Roomate tak ada. Minggu depan kot baru pulang ke USM untuk viva master. Jiran sebelah menyebelah pun tak ada. Ada yang pergi interview kerja. Ada yang buat field work. Ada yang balik rumah. Jadi saya pun membebel lah di sini sorang-sorang :)Aktiviti saya sejak semalam, kemas bilik - sepahkan balik - makan - kemas bilik - sepahkan balik. Bersepah dengan artikel. Kena buat sistem failing lepas ni. Dan tak lupa, sambil-sambil tu layan lagu MC Mong kuat-kuat. Tapi yang part Bahasa Inggeris je la. Yang Bahasa Korea tu tak reti. Masa degree dulu, kalau duduk sorang-sorang di hostel, Linkin Park dan Good Charlotte jadi pilihan telinga. Takpun lagu-lagu IndoPop. Tapi sejak sambung belajar, semua dah didelete. Konon-konon nak layan nasyid je la. Sekali bila dengar nasyid, semangat makin lama makin tak membara. Sudahnya, saya berpaling ke K-Pop. Sesekali dengar J-Pop. Tak faham pun liriknya. Sekadar dengar je.

Cakap fasal K-Pop ni, seorang rakan saya terkejut bila tahu saya juga meminati drama dan hiburan dari Korea. Sebenarnya, dah lama saya mengikuti drama bersiri Korea dan Jepun. Cuma sekarang ni drama dari Jepun dah semakin tak menarik. Jadi lebih cenderung kepada Korea. Saya tak berapa berkenan dengan rancangan dari Barat. Kalau dulu, semasa menengah rendah, fail yang saya bawa setiap hari ke sekolah bertampal poster Takuya Kimura dan Takashi Sorimachi. Sekarang dah tak buat dah. Biasalah, kata orang 'zaman jahiliyah'. Waktu tu lelaki idaman muncul dalam bentuk artis dan selebriti. Dah tu, takkan nak minat pada tok siak pula kan? Macam remaja-remaja lain, waktu itu sibuk mencari-cari idola. Dan biasanya, tentulah kita tertarik dengan orang yang kita rasa 'cool'. Selalunya, yang 'cool' ni pula hadir sebagai artis dan selebriti.

Bercakap tentang idola ni, beberapa hari lepas, terbaca tentang fenomena Maher Zain di majalah i-Islam. Katanya, Maher Zain sangat sesuai untuk dijadikan idola oleh anak-anak muda. Beliau berpendidikan tinggi, berakhlak baik dan Islamik.

Kakak-kakak, jangan tergoda dengan MZ ni ye. Tercemar jalan dakwahnya nanti

Nasihat saya, tak perlulah terlalu taksub dengan idola. Teladan terbaik kita, Rasulullah SAW. Tak salah kalau nak contohi orang. Tapi yang baik-baik sudah la ye. Yang buruk tu jangan ikut. Maklumlah, setiap manusia tu tak ada yang sempurna. Allah bagi status maksum tu pada nabi je. Untuk kita pula, Allah dah bagi iman dan akal. Makanya, gunakanlah sebaik mungkin ye.

ps: pernah nak tindik kening masa form 2 sebab taksub dengan vokalis band (rahsia!). Sudahnya Allah bagi saya kulit sensitif, telinga pun tak boleh ditindik subang. Padan muka. (Alhamdulillah, kalau tak, menyesal kot sekarang ni)