Sunday, March 20, 2011

7 Hari

Assalamualaikum~

Alhamdulillah, saya baru saja pulang dari Medan, Indonesia pada hari Khamis lalu. Kali ini merupakan kali ke 3 saya menyertai musafir ISDEV ke Medan. Tujuan utama perjalanan ini adalah untuk mengikuti seminar oleh pensyarah-pensyarah saya dan juga untuk membentangkan kertas kerja saya sendiri.

Pada 2 musafir sebelum ini, saya selalu mengambil kesempatan untuk bermuhasabah diri dan menenangkan fikiran. Biasanya saya akan dilanda masalah atau krisis sebelum saya bertolak ke Medan. Begitu juga kali ini. Saya ke Medan dengan hati yang berat. Jiwa saya separuh tertinggal bersama keluarga besar di Perak kerana ketika saya di Medan, keluarga besar "Wan" berkumpul di kampung di Jalong, Sg Siput, Perak. Menurut ibu saya, hanya beberapa cucu yang tidak hadir dan salah seorangnya adalah saya.

Menariknya, walaupun sebelum kami bertolak ke Medan saya tidak begitu gembira dan agak keberatan, namun setelah kami di sana, saya mula berasa seronok. Malah, lebih seronok berbanding musafir-musafir yang pernah saya ikuti sebelum ini. Kenapa ya? Barangkali kerana saya tidak fikir apa-apa. Saya hanya menikmati setiap detik ketika saya di Medan, tanpa berasa risau akan gempa dan tsunami yang ketika itu melanda Jepun, mahupun ancaman hujan asid akibat ledakan nuklear dan pencemaran radioaktif Jepun. Saya serahkan nasib saya kepada Allah, sepenuhnya tanpa berfikir apapun. Membentang kertas kerja juga jadi lebih mudah berbanding kertas kerja lain yang pernah saya tulis sebelum ini. Barangkali kerana ini antara kertas kerja terburuk pernah saya tulis.

Semasa kertas kerja tersebut ditulis, saya menyedari betapa bodoh dan ceteknya ilmu saya. Lumrah orang belajar, makin belajar makin tidak tahu. Tapi memandangkan masa yang suntuk, saya tulis jugalah apa-apa yang termampu. Jadinya, saya pasrah saja kalau saya dihentam selepas pembentangan. Saya berserah bulat-bulat kepada Allah. Apa nak jadi, jadilah. Yang menariknya, soalan-soalan yang timbul selepas saya membentangkan kertas kerja bukanlah soalan menghentam tetapi soalan yang membina. Malah audiens nampak seperti berminat dengan topik yang saya utarakan. Barangkali kerana yang mengikuti pembentangan saya merupakan mahasiswa Fakultas Ekonomi, maka mereka faham tentang apa yang saya perkatakan. Alhamdulillah.


Saya bersama seluruh ahli musafir yang berjumlah lebih 40 orang berada di Medan Indonesia selama 7 hari dari 11 Mac hingga 17 Mac lalu. Hari kedua diisi dengan seminar di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU). Sehari suntuk kami disajikan dengan hidangan intelektual yang menguji kekuatan otak dan hati. Bukan mudah nak memberi tumpuan apabila wajah anda disuluh lampu spotlight sambil mendengar pembentangan 6 ilmuan dari pagi sampai ke petang. Spotlight tersebut dinyalakan ke arah penonton barangkali kerana keadaan dewan yang agak suram menyukarkan krew rakaman untuk merakam seminar tersebut.


Hari ke-3 kami bertolak ke Parapat. Di sini letaknya Danau Toba. Setiap kali ke Medan, setiap kali jugalah kami ke Danau Toba. Di tengah-tengah danau yang katanya terhasil akibat letusan gunung berapi ini terletak sebuah pulau bernama Samosir. Samosir ye, bukan samosa. Majoriti penduduk di sini berketurunan Batak, beragama Kristian. Mazhab apa, tak tahulah. Dua hari di Parapat, shopping apa yang patut (juga yang tak patut) dan menikmati keindahan kawasan pelancongan tersebut, kami kemudian bertolak kembali ke Medan.


Keesokan harinya, kami membentangkan kertas kerja di Workshop Antarbangsa (antarabangsa) Pembangunan Berteraskan Islam (WAPI) yang diadakan di UMSU. Program tersebut berjalan sehari suntuk. Kami cuma berhenti rehat untuk makan tengah hari (makan dalam bilik pembentangan) dan solat Zohor di masjid UMSU. Setelah tiga kali menyertai dan mengikuti workshop ini, saya rasakan audiens kali ini adalah yang terbaik! Mereka mengambil nota dan menumpukan perhatian kepada setiap pembentangan. Respon dan soalan-soalan yang diberikan juga cukup baik. Barangkali hanya untuk bilik kami sahaja, kerana dengar cerita perbincangan di bilik lain lebih banyak disertai oleh ahli-ahli ISDEV sendiri berbanding audiens dari UMSU.


pemandangan sekitar Pajak Ikan

Hari terakhir sebelum hari kami berangkat pulang, kami semua diberi peluang satu hari untuk membeli-belah di sekitar Medan. Oleh kerana kami dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil mengikut kenderaan MPV, maka tempat-tempat untuk bershopping berbeza mengikut kenderaan.

Kumpulan kami bermula dengan berkunjung ke Zulaikha - kedai yang menjual kek lapis dan bika ambon khas Indonesia. Kemudian ke kedai buku Wali Songo dan seterusnya ke kedai buku Gramedia (juga terdapat di Malaysia, salah satu nya di the Mines). Selepas makan tengah hari dan solat jamak taqdim Zohor-Asar di Masjid Agung, kami berangkat pula ke Pajak Ikan Lama, salah satu lokasi membeli belah khusus untuk ibu-ibu. Lebih kurang macam Jalan TAR la. Saya sepatutnya membeli kain untuk dibuat baju kurung untuk ibu dan juga adik saya. Tapi memandangkan saya kurang arif tentang fabrik dan tekstil, maka segera saya hantar sms kepada ibu, "Mama, kain banyak sangat. Tapi mahal-mahal. Macam untuk orang kahwin. Kakak tak reti beli. Takpe ye kalau tak beli." dan wang ratusan ribu rupiah yang saya simpan untuk membeli kain itu saya gunakan untuk membeli al-Quran (dan novel hehe).

hasil 'shopping'an kami, macam orang pulang haji!

Dan esoknya, hari Khamis, 17 Mac kami pun bertolak ke Bandara (bandar udara) Polonia untuk kembali ke Pulau Pinang. Alhamdulillah, sekitar pukul 12 tengah hari, kami selamat sampai di Bayan Lepas.

Esoknya, hari Jumaat ISDEV menganjurkan Majlis Malam Graduasi untuk meraikan graduan-graduan ISDEV peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berkonvokesyen pada hari Sabtu, 19 Mac di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal. Saya ditugaskan untuk menjadi MC bagi majlis tersebut. Sebelum ini saya cuma pernah menjadi moderator untuk workshop sahaja. Jadinya, bila ditugaskan menjadi MC ni, terketar lah juga. Sampai tersasul-sasul menyebut nama pensyarah sendiri.

Begitulah perjalanan hidup saya dalam tempoh 7 hari yang lalu. Hari ini sudah hari Ahad. Esok, akan bermula minggu baru. Dan saya harus mengisi masa yang Allah anugerahkan dengan lebih efisyen lagi. InsyaAllah.

Doakan saya ya! Sampai jumpa lagi ^^

Tuesday, March 08, 2011

Kalah tak semestinya tewas


Dalam kehidupan seharian, kita selalu berdepan dengan pelbagai persaingan. Dalam pelajaran, dalam pekerjaan, dalam perniagaan. Sama ada mengejar tempat tertinggi, pangkat, mahupun kuasa. Semua ini melibatkan pertandingan. Tak kisah lah sama ada secara adil ataupun tidak, pertandingan tetap akan berlangsung dan pemenang tentu sekali akan diperoleh oleh mereka yang terhebat. 'Survival of the fittest', menjadikan manusia dengan apa cara sekalipun mahu menang. Mahu menewaskan pesaingnya. Sebagai seorang manusia, kita sendiri tentu tak terlepas daripada mahu menang bukan? Ini perkara biasa. Sejak tadika lagi kita sudah biasa dengan pertandingan yang melibatkan persaingan ini.



Namun persepsi saya berubah beberapa minggu lepas. Ia bermula apabila saya menonton 2 Days 1 Night, rancangan hiburan-dokumentari Korea di KBS World. Pertandingannya antara Comedian (Hodong-Suguen) VS Singer (Sunggi-Jiwon-Jongmin). Bermula pada saat mereka masuk ke dalam kemah masing-masing untuk tidur, kedua-dua pasukan perlu bertahan di dalam kemah sehingga 5 petang untuk membolehkan mereka mendapat sarapan pagi. Pasukan yang keluar dahulu dari kemah akan kalah.

Menjelang tengah hari, Jiwon memberi idea agar kumpulan Singer pulang saja ke rumah dan bersarapan sendiri dengan syarat pihak produksi rancangan tersebut tidak memberitahu tentang kepulangan mereka kepada kumpulan Comedian. Menjelang petang, Hodong mula berasa pelik kerana keadaan terlalu sunyi dan waktu itu baru mereka sedar lebih separuh dari krew produksi telah pulang bersama-sama kumpulan Singer. Comedian menjadi pemenang pertandingan tersebut, mendapat sarapan pada waktu mereka sepatutnya makan tengah hari, dan mereka pulang lewat ke rumah. Malah kemenangan itu tak memberi rasa menangpun. Berbeza dengan kumpulan Singer. Walaupun mereka kalah, tapi mereka tidak berasa tewas. Mereka dapat pulang lebih awal dan paling penting dapat mengenakan hyung (abang) mereka.



Kalau kita susur balik sejarah peperangan, Sultan Muhammad al-Fateh, sultan yang membuka Konstantinopel (kini Istanbul) juga pernah mengalah dengan Maharaja Rom. Baginda Sultan mengundurkan tenteranya dari Orland ketika 30 ribu tenteranya berdepan dengan 100 ribu tentera Rom. Tentera-tentera Islam waktu itu tidak puas hati. Kerana mereka rela mati di medan perang daripada malu mengundur dari medan perang. Tapi kata Sultan, tentera mesti mengikut kata sultannya!

Sebenarnya mengalahnya Sultan Muhammad al-Fateh bukan kerana berasa takut atau kalah dengan tentera Rom. Tapi pengundurannya untuk memastikan tenteranya dalam keadaan cemerlang, dan serangan akan dilakukan di Kota Konstantinopel, bukan di perkampungan Orland itu. Baginda mahu bersedia dengan sebaik mungkin agar tenteranya tidak syahid kerana tindakan melulunya tetapi syahid dengan kemenangan pada pihak Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya"

Kisah seterusnya, kita semua tahu. Hadis Rasulullah SAW mengenai pembuka Kota Konstantinopel telah menjadi realiti. Konstantinopel diIslamkan, menjadi Istanbul (yang bermaksud Islam sepenuhnya) di bawah pemerintahan Sultan Muhammad al-Fateh dalam Empayar Uthmaniyah.

Jadi, kalau kita kalah sekarang, tak semestinya kita tewas. Malah, sebagai seorang Muslim (yang Islam), tentu sekali kita mahu menjadi seorang Mukmin (yang beriman) jadi kita kena percaya yang kekalahan itu lebih baik buat kita berbanding kemenangan sebab Allah tahu yang terbaik untuk kita. Bangkit semula, dan jangan tewas dengan kekalahan itu. Sebab kemenangan bukan ada pada hadiah. Kemenangan itu ada dalam hati kita.

OK? ^^

Monday, February 14, 2011

al-Amin

riwayat hidup Rasulullah s.a.w dalam puisi (A. Samad Said)

Hari yang berlalu seperti pilu, malam yang berganti seperti sepi. Setiap khabar sekitar Baginda, bangun dan tidurnya, cakap dan senyapnya, terkhabar dalam resah, ditafsir dan ditamsil pelbagai warna. Dan Nabi, dalam lemah dan resahnya, masih tetap berulang-alikke masdid mengimami solat berjemaah, dan hinggalah pada satu ketika, Baginda sendiri terasa amat lemahnya, lalu kepada Aisyah diperintah supaya Abu Bakar mengimami solat, dalam khusyuk yang sama, Aisyah, entah mengapa, kurang selesa menerimanya.

Seperti terkejut Umar bin Al-Khattab, dipandangnya Nabi dibaca wajah, pemimpin yang sangat cergas berfikir nasib ummah ditafsirkannya. Berkira dan beralas, diseluk ke dalam batin, ditenung mata Baginda, dan dengan yakin tapi ketar, Umar cuba mengingatkan : benar kita dalam gawat, benar ummah dalam kacau, tapi tidakkah telah diwariskan mereka dengan al-Quran, tidakkah kitab yang demikian sempurna, tidakkah segala ayat di dalamnya jawapan setiap masalah, pimpinan setiap tindak. Lalu sesama sahabat, depan Nabi, berhujahlah mereka.

Berkisah dan berhujah, sihat suasana yang dicari, dewasa hati ummah. Dan sementara mereka kuyup dalam jernih bicara, Nabi, dalam usia enam puluh tiga, lemah yang segar, dengan mata tetap bercahaya, rambut putih sekelompok dua, mula mengulangi keyakinan dan mimpinya. Telah bermimpi Baginda akan syurga, telah dicapainya buah anggur. Khalayak yang amat menyayangi Baginda, mendengar khabar sedemikian, faham dalam sedihnya, kerana amat tahu, Baginda lebih dan ghairah berkata tidak lagi tentang dunia, segala-gala mula ke akhirat impinya.

Masih khalayak di keliling katil, Aisyah paling hampir dipanggil, dan, dalam bisik, ditanyakan ke mana milik delapan dinarnya, dan dengan tegas, dipinta supaya disedekah. Malam menjadi lebih bertanya, awan yang ghaib dipercayai ada, langit masih penuh rahsia, dan unggas yang lena diyakin wujud. Malam lanjut dengan resah, nafas Nabi seperti teriring, dan khalayak ketar dan pilu, bauran ganjil dalam syahdu. Dan seperti tenang nampaknya Nabi, suhu badan seperti berkurang, berkat ubat dari Asma’, dan Nabi, seperti biasa, pinta ke masjid dirinya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia. Hari panas ketika itu, alam mempunyai ceritanya sendiri, dan gurun masih penuh rahsia. Nabi meminta bejana air, diseluk ke air dan diusap wajahnya, berkata tenang datangnya ajal dan rela. Di pangkuan isteri kepalanya, berkata ia sukar diterka, dan tengah hari Rabiulawal tahun 11 Hijrah Nabi yang mulia menghembus nafas akhirnya.

Hari panas ketika itu, mentari mempunyai kisahnya sendiri, dan langit masih penuh rahsia.

Hari panas ketika itu, aduh Nabi sudah tiada.


ps: Salam Maulidur Rasul. Ayuh, sama-sama berselawat buat Nabi, ahli keluarganya serta para sahabat. Semoga kita menjadi umat yang baik, yang akan bersama-samanya di akhirat nanti

Saturday, February 12, 2011

Allah Knows..

When you feel all alone in this world
And there's nobody to count your tears
Just remember, no matter where you are
Allah knows
Allah knows

When you carrying a monster load
And you wonder how far you can go
With every step on that road that you take
Allah knows
Allah knows

No matter what, inside or out
There's one thing of which there's no doubt
Allah knows
Allah knows
And whatever lies in the heavens and the earth
Every star in this whole universe
Allah knows
Allah knows

When you find that special someone
Feel your whole life has barely begun
You can walk on the moon, shout it to everyone
Allah knows
Allah knows

When you gaze with love in your eyes
Catch a glimpse of paradise
And you see your child take the first breath of life
Allah knows
Allah knows

When you lose someone close to your heart
See your whole world fall apart
And you try to go on but it seems so hard
Allah knows
Allah knows

You see we all have a path to choose
Through the valleys and hills we go
With the ups and the downs, never fret never frown
Allah knows
Allah knows

Every grain of sand,
In every desert land, He knows.
Every shade of palm,
Every closed hand, He knows.
Every sparkling tear,
On every eyelash, He knows.
Every thought I have,
And every word I share, He knows.
Allah knows

Zain Bikha & Dawud Wharnsby Ali



al-Fatihah untuk Arwah Tok Teh Harun, datuk saudara yang tak tumpah seperti datuk sendiri. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman dan dicintai Allah

Monday, February 07, 2011

Tuhan..di mana?

AMARAN
Entri ini perlu dibaca hingga habis jika anda sudah mula membacanya. Jika malas, sila jangan baca langsung.

Saya mula belajar tentang Tuhan waktu di tadika dulu. Saya selalu bertanya, Tuhan itu di mana? Orang-orang dewasa akan menunjuk langit, "Tuhan di atas sana". Saya selalu bayangkan, Tuhan itu sedang bersemayam di atas singgahsana indah dengan hiasan indah di Negeri Atas Kayangan, nun di atas awan. Seperti dalam kisah Jula Juli Bintang Tiga.

Imaginasi kanak-kanak yang tiada batasan membawa saya membayangkan kapal terbang merentasi lapisan troposfera. Akankah terlanggar singgahsana itu?

sumber encik wiki

Saya juga pernah membayangkan bagaimana rupa Tuhan. Punya matakah, punya telingakah? Bukankah Dia melihat, bukankah Dia mendengar?

Waktu kecil dulu, orang-orang dewasa selalu katakan pada saya, jangan berbohong, jangan mencuri. Nanti Tuhan potong lidah. Nanti Tuhan potong tangan. Hingga saya terfikir Tuhan itu selalu membawa gunting besar yang tajam, berwajah ngeri dan suka memotong tangan dan lidah kanak-kanak yang berbohong dan suka mencuri. Waktu itu, saya takut pada Tuhan. Saya juga takut pada orang dewasa.

Sejak kecil lagi saya sudah terdedah dengan imej-imej Tuhan yang menjadi sembahan orang bukan Islam. Saya biasa melihat patung Budha sama ada yang gemuk mahupun yang kurus. Begitu juga dengan Dewi Guanyin yang jelita. Saya biasa melihat dewa dewi Hindu yang banyak tak terbilang, dewa dewi Greek yang pelik tak terkata dan tak lupa patung Jesus yang tersalib dan Marry yang berkelubung. Hingga saya terfikir jika Tuhan itu seperti kaum yang menyembahnya, bagaimana agaknya rupa Tuhan orang Melayu seperti saya?

Perjalanan mencari Tuhan telah saya lalui hampir 20 tahun. Soalan-soalan di atas bermula sejak saya mula belajar doa makan, doa tidur dan belajar bersolat di taman asuhan kanak-kanak Islam, TASKI ketika berumur 5 tahun. Dan proses ini masih belum berhenti walaupun saya kini hampir berumur 25 tahun.

Namun satu perkara yang saya benar-benar yakin dan pasti, imej Tuhan yang saya bayangkan dulu tidak secebispun serupa dengan Tuhan yang benar. Saya tahu, sezarahpun Dia tidak serupa dengan makhluk-makhluk ciptaanNya.

Dia tidak duduk, berdiri atau baring seperti Budha. Dia tidak tersalib seperti Jesus atau berkelubung seperti Mary. Dia tidak berambut ular atau berbadan sasa seperti dewa dewi Greek. MataNya tidak menjegil, tanganNya tidak banyak seperti dewa dewi Hindu.

Kerana Tuhan yang saya percaya adalah Allah. Yang Maha Esa. Satu. Berkuasa.

Allah - yang mempunyai sifat Yang Maha Sempurna. Yang langsung tidak menyerupai mana-mana ciptaanNya. Dia tidak sama dengan apapun. Dia ada. Tapi bukan di mana-mana. Bukan juga pada bila-bila. Tiada batas tempat. Tiada batas waktu.

Menurut Dr. Atikullah, pensyarah saya, "Allah itu, bila sampai kamu tidak dapat memikirkan 'bagaimana' Dia, maknanya kamu sudah mengenal Dia".

Allah, hanya Dia Tuhan Yang Satu. Saya cuba mengenal Dia. Masih dalam proses. Masih. Semoga nanti saya seperti Hud-hud dan 29 burung yang lain, yang berjaya menemui 'raja'nya.

Adakah saya sudah mencapai 'kebodohan tahap tinggi' yang dikatakan oleh Andrea Hirata dalam Laskar Pelangi?

Wallahu'alam.

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan- pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar dan Melihat.
[Asy-Syuura, 42:11]


Friday, January 14, 2011

Belasungkawa (condolence)

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya-lah kami kembali.)

Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Surah al-Baqarah, 2:155-157


Kawan,

Kalau apa yang kau hadapi sekarang dapat hilang dengan hanya kata-kataku, sejuta ayat akan aku karangkan untukmu.

Kalau pedih dan sedih yang kau lalui sekarang dapat terhapus hanya dengan air mataku, seratus tempayan akan aku tangiskan untukmu.

Tapi manakan mampu aku membasuh lukamu. Maaf, kerana hanya mampu melihat dukamu dari jauh dan merasai kecewamu dari jauh. Maaf, aku tidak tahu ayat apa harus aku karangkan dan air mataku juga cuma akan menjadi bebanan.


Kawan,

Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.

Surah Ali-Imran, 3:139

Takziah buatmu sekeluarga.

Friday, December 31, 2010

Sayonara 2010

this is my december
this is my time of the year

this is my december
this is all so clear

this is my december
this is my snow covered home
this is my december
this is me alone

and i
just wish that i didn’t feel
like there was something i missed
and i
take back all the things i said
to make you feel like that

Terngiang-ngiang lagu My December by Linkin Park bila mengenangkan tak berapa jam lagi Disember akan pergi, diganti dengan Januari 2011. Bermuhasabah diri memikirkan perjalanan hidup sepanjang 2010. Boleh pula muhasabah diri dengan lagu Linkin Park kan?

Hari ini, Alhamdulillah, satu lagi seminar telah berjaya dianjurkan oleh ISDEV, tempat saya menyambung belajar. Disember menjadi bulan yang penuh ilmu buat saya. Bermula dengan wacana oleh Prof. Alyasa’ dari Aceh, diikuti pula dengan IDMAC dengan tema Transformasi Zakat, saya bertindak sebagai editor untuk kertas-kertas kerja yang dibentangkan. Kemudian pertemuan dengan Prof. Syed Naquib al-Attas. Disambung pula dengan syarahan Dr. Afifi al-Akiti, anak Melayu satu-satunya yang menjadi pensyarah di Oxford University. Dan yang terakhir, seminar tentang kontrak pembinaan berteraskan Islam pada siang tadi.

Prof. Syed Naquib al-Attas

Semuanya tentang Islam, dari pelbagai perspektif yang tak terjangkau dek fikiran saya. Kalau Prof. Alyasa’ menggalakkan pendengarnya membuka mazhab, melaksanakan tajdid (pembaharuan) dan mengikut arus kemodenan, Prof. Naquib pula menekankan agar ‘stick to what you believe and what has been thought to you’, jangan mudah terpengaruh dan sentiasa berpegang teguh sama ada kepada tauhid Allah dan sunnah Rasulullah mahupun ajaran-ajaran ilmuan Islam tersohor yang lainnya. Nampak benar kebimbangan Prof. Naquib dengan fenomena Muslim scholars yang semakin terpengaruh dengan dakyah Barat.


Dr. Afifi al-Akiti

Dr. Afifi pula membuka ruang untuk saya bermuhasabah diri. Memikirkan kembali, bagaimana untuk berubah dan bagaimana untuk mengubah persekitaran saya menjadi lebih baik, atau barangkali yang terbaik dari apa yang pernah berlaku ke atas diri saya. Kata Dr. Afifi, ada dua fenomena ketamadunan dalam dunia. Satunya, yang terjadi terhadap dunia Islam. Mulanya bangkit gemilang. Hingga ketika zaman kegemilangan Islam itu, ilmu-ilmu mahu diajarkan kepada ‘the barbarian’ ie. Orang-orang di Eropah. Setelah memiliki kemuncak kegemilangan, masyarakat Muslim jatuh. Empayar Islam musnah dan hasilnya, fenomena kedua dalam ketamadunan dunia – kebangkitan Eropah. Kalau tamadun Islam dari the golden ages to the dark ages, tamadun Eropah (atau Barat) pula dari the dark ages to the golden ages. Dr. Afifi tekankan agar renung dan fikir kembali kualiti yang ada pada umat Islam ketika zaman kegemilangan tamadun Islam.

Apa yang ada pada mereka, yang tiada pada kita? Mungkin ia ada pada anda..tapi ia masih belum ada pada saya. Jadi kalau anda tahu apakah ia yang menjadikan mereka gemilang, kongsi-kongsilah bersama saya. Supaya nanti kita semua, umat Islam dapat gemilang kembali.

2011 ini, saya menginjak ke umur 25 tahun. Apa rasanya masuk ke umur 25? Apa rasanya menjadi pelajar ijazah tinggi ketika berumur 25? Maniskah pahit kah? Saya gementar untuk mengetahui rasanya. Mampukah saya ber-adab sebaiknya?

Kata Prof. Naquib, salah satu cabang adab adalah meletakkan ilmu pada tempatnya dan menghormati ilmu. Guru saya pula menambah, adab itu bermaksud bertindak dan memperlakukan seseorang sesuai dengan kedudukannya. Apa yang saya faham daripada kata-kata mereka, kalau punya ilmu yang tinggi, bertindaklah dan bertingkah lakulah seperti orang yang berilmu, hormati ilmu itu dengan tidak bertindak dangkal ie. Sampai orang kata, “iye ke dia ni pensyarah u?”, “kata belajar tinggi, tapi perangai macam setan!” (oopss..ini cuma untuk memudahkan pemahaman. Saya tak bermaksud mahu menggunakan bahasa yang kasar. Kalau ada yang tersinggung, maaf ye).Menurut guru saya juga, adab membawa erti kita melayani seseorang sesuai dengan tahapnya. Kalau dengan orang berilmu ada caranya. Kalau dengan orang tua ada caranya dan kalau dengan kanak-kanak ada caranya. Tak boleh pukul rata saja.

Dr. Afifi pula menerangkan keindahan perkataan adab dan lawannya, biadab. Katanya, biadab itu asal dari perkataan adab. Walaupun perkataan adab berasal dari bahasa Arab, perkataan biadab kalau dieja melalui sebutan (pronounciation) English, ejaannya akan menjadi be-adab, yang bermaksud ADA ADAB! Jadi jika kita biadab, sila-silalah pastikan kita mengADAkan ADAB itu.

Terus terang, saya terkejut bila kedua-dua Muslim scholar warga Malaysia ini bercakap tentang adab pada dua masa yang berbeza. Mungkin juga, ini teguran Allah buat saya. Mungkin Dia mahu saya lebih beradab. Beradab dengan ilmu, beradab dengan diri sendiri dan beradab dengan persekitaran saya. Mampu kah saya untuk beradab sebaiknya, sesuai dengan tempat saya berada sekarang? Terus-terang saya katakan, kadang-kadang saya masih terasa mahu enjoy, mahu suka-suka, mahu lepak-lepak, mahu buat apa yang pernah saya buat dulu. Tapi mungkin, mungkin saja ini yang terbaik buat saya. Mungkin dah tiba masa untuk sikap immature yang tebal pada diri saya dibuang. Mungkin dah tiba masa untuk saya lebih matang dan menjadi lebih teguh. Kalau ini masa yang terbaik untuk saya melaksanakannya, insyaAllah saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berubah.

Maafkan saya, Prof dan semua pensyarah. Maafkan saya, kakak-kakak RISDEV, maafkan saya, adik-adik MISDEV. Kalau selama ini saya tidak beradab.

Alhamdulillah, terima kasih Prof. Naquib, terima kasih Dr. Afifi...terima kasih semua.

Jumpa lagi di 2011!