Tuesday, March 03, 2009

Rezeki, antara nampak dan tidak

Rezeki kadang-kadang tak disangka. Memang sukar untuk dijangka. Kadang-kadang kita rasa jalan kita sempit. Hantar curriculum vitae sana, hantar resume sini, tak juga dipanggil. Rupa-rupanya Allah sengaja sempitkan jalan. Dia tutupkan peluang yang lain. Supaya kita dapat pergi lebih jauh lagi. Dan terus kepada tujuan yang telah Dia tetapkan. Peluang untuk pergi lebih jauh itu satu rezeki yang tidak kita ketahui hikmahnya.

Ada orang murah rezeki. Belum konvo sudah dipanggil ke temuduga. Baru satu temuduga sudah peroleh kerja. Murah rezeki, kata kita. Ada yang lainnya. Belajar pun belum tamat. Pensyarah sudah melamar menjadi pembantu penyelidik atau pegawai penyelidik. Kemudian terus menyelesaikan sarjana. Murah rezeki, kita kata. Ada pula yang baru tamat belajar sudah dikitbah (pinang). Dapat pula bakal suami bekerja besar, punya gaji besar, berumah besar, berkereta besar. Senang kata materinya serba lengkap. Itu lagilah kita dok kata murahnyaaaa rezekiiiii.

Tapi itulah orang kita dan kita-kita semua sekali. Yang hebat-hebat, bagus-bagus, wang dan kemewahan melimpah ruah itulah cuma yang dikata sebagai rezeki. Hingga kita terlupa bahawa setiap pemberian Allah itu adalah satu rezeki.

Secebis bencana, satu rezeki yang membuat kita mengingati dia. Sedikit sakit, satu rezeki buat penyembuh dosa-dosa kecil. Sekelumit halangan, satu rezeki yang menjadikan kita lebih berusaha dan menghargai jerih perih kita. Cuma tinggal pada kita. Mahu membuka mata atau tidak. Cuma tinggal pada kita. Mahu bersyukur atas segala pemberian Allah pada kita atau sekadar menceceh, merungut mahu itu ini. Dugaan kita bukan seberat para anbiya. Cukup setimpal dengan kemampuan kita. Itu janji Allah. Tidak Dia berikan pada hambanya ujian yang tak termampu ditanggung.

Jangan lupa untuk berusaha sebaik, sekeras dan sehabis mungkin. Kemudian, hasilnya kita serahkan pada Dia Yang Maha Mengetahui. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan manusia yang bertakwa. Semoga pemberian Allah itu satu anugerah, jaluran jalan buat kita berjalan mendekati redhaNya. Dan bukanlah satu bentuk istidraj. Hukuman dalam bentuk kenikmatan duniawi yang menjauhkan kita daripada cinta dan kasihnya.

ps: mohon didoakan sesama kita, saudara seIslam. Moga tidak tersasar dalam perjuangan. Moga tidak lalai dengan kesenangan. Moga sentiasa bernaung dengan keteguhan iman. Moga peroleh redha ar-Rahman. Ameen.

4 comments:

Anonymous said...

aminn...semoga CINTA kasihNYA sentiasa bersama kita. dunia ini medan ujian. menguji iman para ciptaanNYA. Semoga kasih sayang kita sentiasa berkekalan. dengan RahmatNYa. BerkatNYA. Insyallah. ingat-mengingati. pesan memesan. ke atas kesabaran dan kebenaran.

itulah sahabat yang sejati.

terima kasih sahabatku!

ARYN said...

betul tu..ayah aku kembali ke rahmatullah satu ujian dr NYA..sesungguhnya mmg betul..ada hikmah di atas pemergiannya

ghimau said...

amin ...

wan-niza said...

aminn jugak lg skali
same2 la kite slg mengingatkan ye