Monday, May 11, 2009

Siapa saya?

Itu yang ditanyakan oleh teman sebilik ketika menetap di Hotel Royal Perantis pada malam terakhir kami di Medan.
Saya adalah saya. Sekadar hamba Allah yang masih bertatih untuk memahami rencah hidup dunia. Sedang dalam masa yang sama, ditimpa kemelut kehidupan. Saya kira ini perkara biasa. Tiada yang luar biasa tentang diri saya.

Kata ibu, saya anak yang degil. Tak punya ciri-ciri wanita Melayu tetapi punya kemahuan dan azam yang kuat. Saya tidak tahu. Tapi mungkin barangkali saya memang degil. Kadang-kala, degil itu perlu. Untuk diri saya sendiri, degil itu saya gunakan untuk memastikan saya tetap teguh untuk belajar.

Kata abang, saya adik yang 'seni'. Suka pada muzik, suka pada kesenian, suka pada hasil seni tangan, juga suka pada kesusasteraan. Ya, saya memang sukakan seni. Waktu di aliran Hayat di Matrikulasi, seorang teman pernah bertanya kenapa tidak masuk ke aliran sastera ketika di sekolah? Saya memang menyukainya. Tapi tak punya bakat ke arah itu. Meski markah 100% sering saya peroleh untuk bahagian Komsas (Komponen Sastera) ketika di tingkatan 5, markah keseluruhan peperiksaan Bahasa Melayu tetap rendah. Saya bermasalah dengan tatabahasa. Juga bermasalah untuk mengolah ayat. Kata Kak Shereza, teman sekelas saya, saya terlalu lurus. Terus menulis tentang apa yang ingin diperkatakan tanpa kemahiran mengolah ayat untuk menimbulkan keinginan untuk orang lain membacanya.

Kata adik, saya kakak yang garang. Biasanya, kata-kata saya lebih dituruti berbanding abang. Saya juga tempat mereka mengadu. Meminta untuk dipenuhi keinginan. Pulang sesekali, adik-adik berebut mahu berdamping. Ya, saya kakak yang garang. Tapi saya juga memanjakan mereka.

Kata rakan saya, saya seorang yang pemarah. Darjah kemarahan saya boleh naik dengan mudah, meski hal-hal yang kecil. Saya memang mudah marah. Saya marah jika perlu berulang kali menyatakan perkara yang sama. Saya marah saat dibohongi. Saya marah apabila berdepan dengan orang yang tidak tahu menghormati sesama manusia.

Kata beberapa teman, saya orang yang pelik. Menyukai yang tidak disukai orang lain, juga berminat pada sesuatu yang bukan dalam lingkungan saya. Saat rakan-rakan menyanyikan lagu pop band dari Barat, saya lebih senang dengan Sheila on 7 dari Jogja. Saat teman-teman asyik menonton Harry Potter, saya pula menonton filem Iran dan Indonesia. Ketika teman-teman sibuk mencari bacaan tentang mikrobiologi untuk memahami projek tahun akhir, saya pula sibuk menelaah Salina karya A. Samad Said.

Siapa saya? Pertanyaan itu hadir daripada seorang kakak buat diri saya kerana sikap keanak-anakan saya sepanjang kami di Medan (dan sepanjang beliau mengenali saya). Sedangkan blog ini ditulis dengan keadaan beremosi dan berbaur kesedihan. Masalah di Malaysia, usahlah saya marakkan di seberang. Itu tekad saya. Pemergian saya ke Medan sebagai seorang pelajar. Saya mahu belajar sebanyak mungkin. Sepanjang perjalanan, kantuk yang meraja tidak saya layan. Mata saya buka seluas-luasnya untuk melihat tanah orang. Saya simpan dahulu peranan saya sebagai pelakon pentas dunia yang punya masalah dan konflik kehidupan. Alhamdulillah, meski masalah timbul semula sekembalinya saya di Malaysia, masalah itu semakin lapang untuk saya depani.

Sebelum tidur, beliau katakan bahawa teman adalah orang yang mengenali diri kita. Tapi bagi diri saya, teman-teman bukanlah orang yang mampu mengenali diri kita sepenuhnya. Kerana teman itu hadirnya bersilih ganti. Datang dan pergi, sama seperti manusia lain yang hadir dalam kehidupan seorang anak manusia. Teman barangkali boleh menjadi refleksi diri, tapi biasanya hanya pada satu sisi.

Saya cuma manusia biasa. Diciptakan Allah dengan pelbagai perasaan, pelbagai emosi. Kadang-kadang terlepas laku. Seringkali pula terlepas kata. Keinginan dalam kehidupan selalu buat saya sendiri keliru. Mempersoalkan, siapa saya? Sejujurnya, saya juga tidak dapat mengenali diri saya sepenuhnya. Allah jua Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mengenali.

Wallahualam.

2 comments:

Radieah Mohd Nor said...

Assalamu'alaikum.

Kak Radieah lebih mengenali Niza, bila Niza menulis. Ya, mungkin blog ini adalah diari hidup Niza yang tak mampu diluahkan dengan perbuatan...atau pertuturan.

Walupun kita manusia biasa. Tapi persoalannya kenapa orang lain pandang kita luar biasa? Macam tu juga dengan Niza.Orang lain pandang Niza... manusia luar biasa.

Jadi seiringkanlah pandangan orang itu dengan pandangan Allah. Insya Allah nanti Dia akan kenalkan siapa diri kita...

Cendiakiawan muslim ada mengatakan bahawa sahabat itu adalah cermin bagi diri kita. Walaupun sahabat itu silih berganti...tetapi percayalah, ia berganti supaya Niza lebih mengenali diri Niza dengan pendangan posisi manusia yang berbeza...kerana pandangan manusia tidak sama.

Oleh itu, pandai-pandailah memilih kawan. Kerana Nabi kata tiga perkara yang akan membawa kebahagiaan dunia salah satu daripadanya ialah sahabat yang baik.

Paling penting... jadi diri sendiri sesuai dengan kematangan melalui ilmu yang dipraktikkan. Matang tidak semestinya perlu selalu bersikap 'dewasa' tetapi kadang-kala perlu juga bersikap keanak-anakkan..Supaya manusia di sekeliling kita mudah mesra dengan kita.

Sekadar pandangan...
"Siapa yang mengenali dirinya, dia akan mengenali Tuhannya"

Siiru a'la barakatillah.
(Berjalanlah engkau dengan diberkati oleh Allah S.W.T)

Wassalam

wan-niza said...

Waalaikumussalam w.b.t

Syukran Kak Radieah
ya, blog ni sebahagian daripada saya. InsyaAllah, sedang memperbaiki diri.

Sebenarnya keanak-anakan itu cuma timbul sesekali, saat saya terasa lelah menjadi dewasa.

Oh ya! terima kasih utk catatan yang melekat pada buku saya.

Cantik pada Allah, itu yang dikejar. InsyaAllah, semoga rahmatNya sentiasa menaungi kita, semoga Dia mengizinkan kita berjalan bersama keberkatanNya. :)