Tuesday, May 19, 2009

Antara Kita

taklimat di Bilik EOC, Lapangan Terbang Bayan Lepas

Peluang bermusafir dalam sebuah rombongan berjumlah 29 orang daripada keluarga besar ISDEV memberi saya peluang untuk mengenali ahli keluarga ISDEV dengan lebih mendalam. Tidak hanya ahli yang terlibat secara langsung dengan ISDEV tetapi juga kalangan isteri para pensyarah yang turut menyertai kembara ilmu tersebut. Terasa rapat, terjalin kasih sayang. Bertuah rasanya menjadi anak sulung Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam (MISDEV) di ISDEV. Perhatian dicurahkan kepada kami, tanpa berbelah bagi (manja rupanya anak sulung ni).

Sesi suai kenal bermula sejak di Lapangan Terbang Antarabangsa P. Pinang lagi. Kami berkumpul di Bilik EOC untuk mendengar taklimat ringkas daripada guru yang sangat kami hormati, merangkap Pengarah ISDEV, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh. Seorang demi seorang pelajar diperkenalkan. Para pensyarah juga memperkenalkan isteri masing-masing kepada kami. Tapi tahu sajalah. Keterujaan menaiki kapal terbang nyaris membuatkan kami tidak mampu mengingat nama-nama yang diperkenalkan. Tak mengapa, masih punya seminggu untuk lebih mengenali.

pemandangan dari tingkap kecil pesawat QZ 8075 Air Asia Indonesia

Penerbangan ditunda hampir dua jam. Jadual asal berlepas dari Penang ke Medan pada jam 1815 tertunda kepada 2020. Tapi sekali lagi, burung besi yang dinanti tak kunjung tiba. Bosan, ya. Tapi begitulah lumrah kehidupan. Kan Allah telah menyatakan, "Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian." Masa yang berlalu saat menanti tidak akan hadir kembali. Ia berlalu..tanpa dapat kita hentikan. "Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran." Waktu menunggu begini sememangnya menguji kesabaran. Apatah lagi yang menanti di Medan. Di sana, majlis sedang berlangsung. Perasmian Seminar Wakaf Antarabangsa sedang dilakukan. Tentu sekali guru saya menjadi tetamu kehormat. Sedangkan kami sedang menanti separuh sabar di Bayan Lepas. Alhamdulillah, suara pramugari (atau siapa saja) akhirnya mengumumkan penerbangan kami. Berpusu-pusu menyerahkan tiket dan menuju ke kapal terbang milik syarikat Air Asia Indonesia.Ketika di balai berlepas sebelumnya, seorang teman sekelas bertanyakan perasaan saya menaiki kapal terbang sebelum ini. Kata saya, saya kurang gemar menaiki kapal terbang. Saya paling menggemari lautan. Saya mengagumi pelayaran. Tapi bukan penerbangan. Mungkin kerana pengalaman penerbangan domestik sebelum ini yang tidak berapa enak untuk dikenang. Ketika dalam penerbangan, cuaca buruk. Kilat sabung-menyabung. Terpancar cahayanya pada ruang kecil tingkap di sebelah tempat duduk. Teman yang bertanya tadi mula pucat. Saya katakan padanya, "Sekarang faham kan kenapa wan tak suka naik flight." Dia mengangguk, memejam mata sambil mulut kumat-kamit bertasbih. Saya mula merasa loya. Perut yang kosong ditambahkan lagi dengan gegaran-gegaran kapal terbang kecil yang kami naiki membuatkan saya pening. Suara pramugari mengumumkan agar kamar kecil tidak digunakan. Tali pinggang keselamatan diminta agar sentiasa terpasang.

Tetapi tahukah kawan, Tuhan itu lebih mengetahui. Kalau saja bukan ini pengakhiran kita, maka sedasyat manapun penerbangan yang ditempuhi takkan ada ajal yang menjemput kalau bukan itu yang ditetapkanNya. Kami selamat tiba Bandara (bandar udara) Polonia hampir sejam kemudian dengan waktu tempatan pada waktu kami berlepas (waktu di Medan lewat hampir 1 jam dengan waktu di Malaysia).

kak Radieah, saya dan Mei (isteri pelajar ISDEV dari Thailand) di kediaman pelajar ISDEV Medan

Kami disambut dengan penuh ramah. Saya terharu melihat sambutan pelajar-pelajar ISDEV dari Medan menerima ketibaan kami sedangkan kami tidak pernah seramah itu kepada mereka. Setakat yang saya ketahui, mereka semua merupakan para dosen (pensyarah) di universitas-universitas yang banyak bertebaran di serata Sumatera Utara. Sombong? tidak sedikitpun muncul pada riak wajah mereka. Sedangkan mungkin perasaan itu yang sedang menakluki jiwa kecil kami dari Malaysia ini. Kenapa saya katakan begitu?

Menjadi lumrah rakyat Malaysia menghadirkan diri ke negeri tetangga yang satu ini dengan niat mahu memborong segara macam souvenir. Sehingga saat teman-teman menunjuk sambil bercerita tentang barang yang dibeli, saya merasakan betapa berlagaknya kita. Mampu membeli, bukan mengagumi hasil tangan mereka tetapi sebaliknya menunjuk-nunjuk betapa kita mampu untuk membeli. Satu kerugian saya kira, jika kerajinan, kreativiti dan inisiatif yang dilakukan rakyat Indonesia berpendapatan rendah ini tidak dapat kita hayati. Perkara ini tidak terlepas daripada diri saya. Saya juga sibuk tawar menawar. Meski tidak punya skil, tapi saya lakukan juga demi dua pasang kain ela yang dipesan oleh teman sebilik di USM. Hajat orang kan amanah juga.

MPV yang setia mengangkut kami di Medan

Jarak Penang ke Medan tidak jauh. Kata para pensyarah saya, jaraknya hampir sama dengan jarak ke Kuala Lumpur. Atau barangkali lebih dekat lagi. Tapi kedekatan ini tidak tergambar dengan gaya hidup yang kita lalui sehari-hari. Mana-mana kota pun pasti punya kelemahan. Tapi kelemahan itu tidak mampu menutup kelebihan kota Medan. Meski terasa gerun dijegil penjual di Parapat, hati tersenyum melihat keramahan peniaga di Pulau Samosir. Meski terganggu dengan anak kecil yang meminta sedekah di celahan kereta yang berhenti tatkala lampu merah sedang menyala, minda gembira menyaksikan anyaman raga yang penuh kreativiti pada motosikal si pengangkut barang (kreatif!). Kadang meremang melihat Si Ojek Beca (saya tidak tahu istilah ini betul atau tidak..ia seperti beca tapi menggunakan motosikal) mengangkut anak kecil berseragam sekolah dasar (sekolah rendah) dengan muatan berlebihan. Tetapi bila melihat ketabahan mereka bersekolah walau dengan fasiliti yang minimal, saya jadi tersentuh. Saya sendiri malas belajar. Apatah lagi ketika sekolah dulu. Ke sekolah cuma untuk bermain. Tiba-tiba teringat kes saya dipanggil menghadap GPK HEM ketika darjah 6. Sebab apa? hehe tak payah la tau. Tapi saya memang nakal dulu. Kalau tidak masakan dua kali perlu menghadap guru bermisai tebal itu.

Antara pelajar ISDEV di USM dengan pelajar ISDEV di Medan, memang tidak begitu rapat sebelum ini walaupun mereka kerap sekali menghadirkan diri ke USM. Tetapi hubungan antara kami menjadi begitu erat tatkala kunjungan ini dilakukan. Antara pelajar ISDEV dengan ahli bersekutu ISDEV juga tidak begitu rapat. Ikatan ini juga menjadi akrab sepanjang keberadaan kami di Medan. Bermusafir dalam kumpulan besar ini bukan hanya menjalinkan kasih sayang (opss jangan salah faham ya!) antara keluarga ISDEV di USM dengan mereka di Medan tetapi juga membuka ruang untuk kami ahli rombongan untuk saling mengenali, memahami dan menyayangi antara kami sendiri. Yang muda terasa dikasihi. Yang tua (hehe guru-guru yang dihormati dan dikasihi, jgn marah ya dengan istilah ini) dihormati. Malah disanjung dan lebih dicintai. Terbuka hijab antara dua generasi.

Antara kita mungkin ada perbezaan. Pasti ada perbezaan. Apatah lagi kita hadir dengan latar yang pelbagai, cara yang bermacam. Pemikiran dan gaya hidup juga berbeza ragam. Tapi yang pastinya, kehidupan bukan tentang menggali perbezaan tetapi mencari titik penyatuan agar kita dapat hidup bersama dalam kehidupan yang harmoni. Kebersamaan ini tambah indah saat ia dipasak dengan akidah dan keimanan yang teguh. Mempercayai bahawa kita semua datang dari Allah dan suatu hari nanti kita akan kembali jua kepadaNya. Persaudaraan dan ikatan antara kita yang diikat dan dijalin oleh Allah membuahkan kemanisan kasih sayang yang sungguh membahagiakan. Hingga akhirnya, perjalanan ini bukan hanya sekadar menghadiri seminar atau membentangkan kertas kerja berkenaan wakaf tetapi juga menghasilkan putik cinta ukhuwah dalam keluarga ISDEV juga cinta pandang pertama saya dengan bumi Medan (bukan dengan prianya ya!). InsyaAllah, jika diizinkan Allah, tanah Sumatera ingin sekali lagi saya jejaki.


pemandangan di Danau Toba

ps: Alhamdulillah dah tak sakit perut!

1 comment:

empty_silent said...

wahhh...berjalan sakan kt medan.. :-D