Friday, July 17, 2009

Bacalah...

Dengan nama Tuhanmu
Wahyu pertama yang disampaikan melalui Jibril a.s kepada Rasulullah.

Besar sebenarnya pengaruh membaca. Ada orang gemar membaca novel. Ada yang suka pada biografi. Ada juga yang cintakan fiksyen sains. Macam-macam jenis bacaan yang boleh dibaca. Terpulang pada selera masing-masing. Minat membaca sebenarnya boleh menjadi satu kegilaan. Kalau dalam istilah psikologi, ketagihan kepada buku ni tidak terhad pada hanya ketagih membaca tetapi juga ketagih untuk membeli dan menjaga buku sepenuh hati (a.k.a bercinta dengan buku).

penulisan 'mesti baca' saya sekarang

Saya teringat pada seorang lelaki yang mengadu di forum tentang ketagihan berbelanjanya pada buku. Dalam sebulan beliau berbelanja antara RM200 hingga RM300 semata-mata untuk buku. Sebenarnya ini bukan perkara yang pelik bagi saya kerana saya juga punya ketagihan membaca dan biasanya saya lebih gemar membeli sendiri buku dari memijam daripada orang lain. Tak 'feel'. Tapi tidak lah sampai beratus-ratus berbelanja untuk buku. Kalau dulu, saya hadkan kepada sebuah buku sebulan. Itupun dah membuatkan ibu saya pening kerana kehabisan rak untuk meletak buku. Satu perkara lagi yang saya perasan, mereka yang tertarik berlebihan pada buku ni biasanya lebih bahagia berada dalam kedai buku berbanding kedai baju (dan kedai-kedai lainnya). Kalau teman saya mengajak shopping di Queensbay, selepas bermaraton dan jika teman saya tidak membeli apa-apa dan hanya melakukan window shopping, biasanya saya akan mula rasa pening dan mual. Terutamanya kalau terlalu banyak masuk ke kedai kasut. Saya kurang pasti kenapa, tapi memang saya mudah rasa pening dan mual kalau masuk ke kedai kasut berulang kali. Untuk meredakan tekanan, Borders menjadi tempat pilihan. Duduk bersila di celah rak sambil membaca buku percuma. Ah~ nyaman!. Dan keluar pula dari Boarders dengan membawa buku (lain). Membahagiakan!

Sebenarnya, buku pilihan saya lebih kepada novel. Tapi tak terhad kepada genre tententu. Cuma saya kurang berminat dengan yang terlalu fiksyen dan penuh khayalan. Macam novel LOTR mahupun Harry Potter (walaupun novel Harry Potter ada dalam koleksi saya). Bukanlah nak memuji kelebihan novel, tapi saya lebih gemarkan novel berbanding buku motivasi. Mungkin disebabkan ketika membaca buku motivasi saya merasakan seperti dileteri. Tapi buku motivasi juga ada dalam rak buku saya. Ketika menjengah ke bilik seorang pensyarah, saya ternampak novel Ayat-ayat Cinta. Jujurnya, saya memang tak pernah menyangka beliau akan membaca karya Kang Abik tersebut. Ingatkan pensyarah lelaki tak berminat dengan novel cinta (walaupun novel Islami). Kata pensyarah saya, beliau memang gemar membaca novel. Kerana novel akan mencetuskan keinginan untuk berfikir.

Membaca memang punya banyak kelebihan. Selain menjadi 'teman' di kala kesunyian, membaca juga membolehkan sifat simpati dan empati disemai dalam diri seorang manusia. Selain itu, boleh juga mengembara merentasi dunia. Saya ingat lagi perasaan ketika pertama kali membaca novel Disebalik Kehijauan Matanya karya Dr. H.M.Tuah Iskandar yang berkisar tentang seorang pelajar lelaki Melayu yang belajar di Isle of Wales, UK. Waktu itu saya baru tingkatan 1. Dari buku tersebut saya mengenali bahawa novel juga boleh dijadikan medium dakwah. Dari buku tersebut juga saya mula menyimpan rasa ingin belajar di luar negara. Saya juga masih ingat dengan perasaan mebaca novel Hasrat yang saya lupa siapa penulisnya. Novel tentang pelajar-pelajar di Rusia yang ditangkap kerana membuat perhimpunan aman selepas solat Jumaat itu benar-benar membuka mata saya mengenai tanggungjawab mahasiswa. Waktu itu saya di matrikulasi. Selepas pada itu saya berjinak-jinak dengan karya Faisal Tehrani: Cinta Hari-hari Rusuhan. Kisah cinta dua kasta antara pelajar di UM ketika era pelajar-pelajar universiti gemar berpiket. Juga diselitkan kisah Rusuhan Baling. Selepas karya tersebut, saya mula mengumpul karya FT yang lain. Cuma sekarang ni dah terhenti. Selepas Karbala, corak penulisan FT sudah tidak serasi dengan diri saya. Lantas dalam masa yang sama saya berpaling kepada novel-novel Indonesia. Melalui Kang Abik (Habiburrahman el-Syirazi) saya mengenali dunia pelajar Indonesia di Mesir juga belajar tentang kepimpinan dan keazaman serta serba sedikit ilmu fiqh (lihat Ketika Cinta Bertasbih). Melalui Andrea Hirata pula saya belajar tentang perjuangan mengejar mimpi. Oh ya. Sekarang di USM sedang hangat dengan Laskar Pelangi. Rasanya lebih baik bacaan dari LP diteruskan kepada Sang Pemimpi. Kalau anda terpesona dengan Lintang dalam LP, saya lebih terpesona dengan Arai dalam Sang Pemimpi. Serta perjuangan Arai (serta Ikal) belajar hingga ke Sorbornne, Perancis.

Basar sebenarnya pengaruh bahan yang kita baca dalam diri kita. Jadi pilihlah bahan bacaan yang terbaik. Kata guru bahasa Arab dari Pakistan saya dulu, jangan membaca tanpa wudu'. Bacalah dengan ilmu. Bimbang juga kalau terpengaruh dengan ideologi yang salah. Buat penggemar novel seperti saya, pilihlah novel yang terbaik. Bukan sekadar novel kosong kisah cinta muda-mudi. Ye lah...penat-penat membeli dan membaca, yang dapat cuma kisah cinta. Tanpa pengajaran.

ps: teringat ayat dalam Laskar Pelangi "Makanya boy, kalau kau malas solat, rajin-rajinlah kau belajar berenang!" :p

4 comments:

Anonymous said...

Membaca memang indah.. Teringat masa aku keje di MidValley Megamall pas abis form 5. Selalu lepak kat MPH Bookstore untuk baca buku secara percuma. Yang balut pelastik pun aku koyak..hehehe. Insyaallah, hobi membaca dan membeli buku akan aku jadikan hobi yang tetap suatu hari nanti. Tapi, aku pun suke baca komik. eSPEcially naruto. Macam bagi inspirasi dan kekuatan.. Membaca memang bagus..

Banafsaj Sibawaih said...

Sis, nice entry! Don’t worry, you are not alone who is addicted to buying books. We are in the same boat; I am addicted to buying books too. My father also shares the same interest so u can imagine how my house looks like! Buku dah terlalu melimpah ruah sampai takde tempat nak letak. My mum pun kadang-kadang pening kepala but she is able to go with the flow. I am not a big fan of window shopping too. I’ll get easily bored if I window shop. Ahhh.. Ayat-ayat Cinta dan KCB adalah di antara novel yg saya gemari, ia menimbulkan rasa rindu saya pada Mesir. Moga-moga satu hari nanti saya dpt tulis sebuah memoir tentang pelajar Singapura pula di Mesir. Hehe.. Tak pernah ada lagi yang buat. See you this Tuesday sis. Remember me in your prayers.

Radieah Mohd Nor said...

Memang seronok membaca.Tapi bila pula kita nak baca buku yang kita tulis sendiri ye? Kak Radieah tak sabar nak baca buku yang pengarangnya adalah Niza sendiri..

Niza, buku tentang Baitulmal yang Niza cari, Kak Radieah ada jumpa kat Heboh Buku USM.

wan-niza said...

Ha Kak Radieah ada jumpa? Ingat tajuk x? baitulmal xmau angkat telefon..huhu. Buku sendiri tu insyaAllah. Impian tu ada. Usaha je takde. hehehe

Hapiz, adik saya pun addicted kat naruto (and bleach).Dia blajar bahasa inggeris melalui komik. Tak tau la berkesan ke tidak.

Tuti (betul tak eja nama ni?).Kat ISDEV tu ramai ada addiction mcm ni. :)