Tuesday, August 04, 2009

Antara Hitam dan Putih

Allah menciptakan dunia penuh warna. Dan di antara warna itu ada warna-warna lain. Katakan putih. Ada putih kuning. Ada putih biru. Ada putih kusam. Saat melihat putih, adakah benar ia putih?

Dalam meniti kehidupan, tak terhitung tona warna yang menguliti perjalanan seorang musafir di bumi Allah. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang adalah ayat (tanda) kepada orang yang mempunyai fikiran.” (Ali-Imran: 190).

Begitu diciptakan oleh Allah setiap satu perkara. Walau sekecil zarah. Disebaliknya pasti ada hikmah yang barangkali tak tercapai dek akal manusia biasa. Apatah lagi jika kita tidak mahu berfikir.


Menonton filem Perempuan Berkalung Sorban (PBS), membuatkan saya teringat tentang diri sendiri suatu ketika dulu. Saya tidak ubah seperti Annisa di waktu kecil. Tapi tentunya saya tidak membesar di pesantren dan diajar ketat dengan ajaran Islam. Keluarga saya biasa-biasa saja. Cuma saya sangat gemar mempertikaikan kedudukan perempuan di dapur. Terutamanya jika diminta ibu untuk membantu. Dan pada waktu yang sama abang saya sedang bersenang-senang di hadapan televisyen. Itu cuma waktu dulu. Waktu saya menganggap adil sebagai sama rata. Hakikatnya, adil itu meletakkan pada tempatnya. Dan kini saya tahu, jika saya perlu membantu di dapur, abang pula perlu membantu di halaman. Cukup seimbang. Annisa dalam PBS sejak kecil dikongkong dalam satu budaya sempit yang dikatakan sebagai 'Islam'. Dihalang menunggang kuda dan apabila menginjak remaja disekat untuk melanjutkan pelajaran atas alasan tiada muhrim. Mengundang fitnah. Begitu kata abinya. Sesuai dengan status Annisa sebagai anak kiyai, beliau dinikahkan dengan anak kiyai yang kaya dan sering menabur wang kepada pesantren milik bapa Annisa. Sejak itu kesengsaraan hidup Annisa semakin menggunung. "Allah cuma tolong orang laki-laki" kata-kata ini diungkapkan Annisa ketika masih kecil. Kata-kata yang diungkapkan kepada teman masa kecilnya yang bernama Lek.

Kesengsaraan hidup dengan suami yang kurang sifat manusiawi membawa Annisa pulang ke pesantrennya. Bertemu kembali dengan Lek dan kemudian ditangkap oleh suaminya sendiri dan dituduh berzina. Annisa dijatuhkan talak. Peristiwa ini mengganggu kesihatan bapa Annisa yang telah sedia uzur. Bapa Annisa meninggal dunia dan Annisa membawa diri ke Jogja untuk menyambung belajar di universiti. Di Jogja, Annisa bertemu Lek yang berusaha menjejaknya menerusi teman santriwati Annisa. Bertemu dan bernikah.

Dugaan tak putus dalam kehidupan. Dan seiring dengan dugaan itu, Annisa teguh untuk berjuang. Mempertahankan para santriwati di pesantren bapanya yang masih lagi dikongkong di bawah pentadbirang abang Annisa. "Roma tak dibangun dalam masa satu hari," kata-kata Lek yang sering diungkapkan kepada Annisa saat Annisa beremosi ketika berdepan dengan kongkongan dunia pesantren.

Menonton filem ini pada mulanya saya terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh masyarakat di luar saat menonton filem ini? Apa agaknya yang ada disebalik filem kontroversi Indonesia ini? Membaca komen-komen di YouTube, banyak yang mengatakan filem ini membawa fitnah kepada Islam. Begitulah, saya juga terfikir apakah filem ini antara dakyah golongan liberal? Atau anasir jahat mereka yang mahu menjatuhkan Islam?

Tetapi saat suara Siti Nurhaliza menyapa telinga dengan nyanyian karya Opick, pada akhir filem ini fikiran saya berbaur. Barangkali saya terlalu prejudis. Realiti dalam kehidupan, meski berserban bukan mesti beriman. Teringat kata-kata seorang pensyarah perempuan dari PPSK kepada saya, "If you want to get married, marry a man that is really beriman. Orang yang solat bukan mesti betul-betul beriman." Kata-katanya itu sebenarnya berasal daripada perbualan kami tentang saudara jauhnya yang dianiaya suami. Dibelasah ketika mengandung. Saat bercerita, beliau mengungkap satu ayat yang saya tak sangka akan diungkapkan oleh seorang Muslim,"The syariah law will never helps women like you!" katanya penuh emosi. Barangkali kita terlupa Islam hadir di zaman jahiliyah saat wanita diperlakukan seperti binatang. Mengangkat wanita pada kedudukan yang dimuliakan. Bukan salah Islam. Barangkali kita terlalu jumud. Antara jumud hingga mengekang pembaharuan dan jumud hingga melabelkan Islam itu sempit. Salah siapa?

ps: Fikirlah sendiri~

2 comments:

Anonymous said...

Bagi saya, kisah tersebut taklah mencerminkan budaya masyarakat Islam sekarang, terutama di negara-negara Islam membangun, cthnya Malaysia (Kalau boleh dikatakan Malaysia adalah negara iSLAM), tapi masih jelas berlaku di negara-negara Islam mundur seperti Afghanistan, Sudan, etc.
Memetik kata-kata Aidil dalam cerita "NurKasih": "Kalau kita cakap kat org yang pandai macam Adam yang kalau tak solat bila mati jadik babi, dia tak percaya"..
Motifnya, Islam adalah agama yang sesuai dengan setiap keadaan zaman, bukan jumud tapi pelaksaan dan pemahaman yang salah buatkan salah faham tentang Islam terjadi..

wan-niza said...

itu lah..bukan salah Islam. Masalahnya ada pada kita, orang-orang yang ditempel 'Islam' pd my kad dan kartepe (kartu tanda penduduk). Ada yang menyempitkan Islam sampai nampak mcm jumud. Ada pulak yg terlalu bebas (liberal?) samapi kata Islam jumud. Dan bg pendapat saya, orang yg kata Islam tu jumud, pada diri sendiri ada masalah jumud tu. Menyempitkan terminologi dan ajaran Islam. sekdar pandangan :)