Pejam celik pejam celik, dah sampai ke penghujung Mei rupanya kita ni. Sabtu ini, insyaAllah, cuti sekolah pun bermula. Perkara yang paling sinonim dengan cuti sekolah kalau di Malaysia ni tentulah musim kenduri-kendara kan!
Kalau dulu, orang berkenduri semuanya berhidang. Maka sibuklah para penanggah, ahli-ahli rewang bertungkus lumus mensajikan lauk-pauk dan hidangan kenduri. Tapi hari ini, kerja berkenduri lebih mudah dengan budaya buffet. Beratur, ambil makanan yang disediakan tuan rumah.
Mungkin ramai yang melihat buffet ketika kenduri lebih mudah dan menjimatkan. Tapi pada pandangan mata saya, buffet ini telah menimbulkan satu budaya baru - budaya tamak dan haloba. Lihat saja sisa dalam pinggan-pinggan ketika kenduri yang menghidangkan makanan secara buffet. Rata-rata masih banyak lauk yang bersisa. Sepatutnya, tujuan menggantikan makan berhidang dengan kaedah buffet untuk menjimatkan lauk dan memastikan kebersihan lauk. Tapi dalam budaya masyarakat Melayu Malaysia ni, jadi lain pula.
Mungkin ada yang kata, ambil banyak-banyak sikit lebih mudah. Segan lah nak bangun tambah nasi tambah lauk. Tapi, apa salahnya menambah kalau nak dibandingkan dengan makan tak habis?
Bila kita ambil makanan berlebihan, sekurang-kurangnya 4 pihak akan berduka cita akibat tindakan kita.
1. Tuan rumah.
Ingat murah ke nak sediakan makanan kenduri? Katering sekarang mahal tau! Paling lekeh pun, bayaran untuk katering bagi satu kepala sudah RM6. Itu yang paling lekeh la. Biasanya sekarang ni kalau menu tahap lazat mesti cecah RM10 satu kepala. Kalau kita tamak-tamak, ambil berlebihan daripada apa yang kita makan, tak ke kesian pada tuan rumah tu.
2. Orang belakang.
Maksud saya, orang yang terkemudian. Biasa dengar kan orang kata, "Ingat-ingat la kat orang belakang" ha, salah satu masa yang tepat untuk ingat pada orang belakang adalah ketika mengambil makanan buffet. Kesian orang belakang. Dapat serdak dan kuah je. Lauh semua dah habis. Kalau habis makan tak apa. Ini habis dibakulsampahkan. Tak ke terkilan di hati?
3. Makanan itu sendiri.
Pernah dengar tak masa kecil-kecil dulu, kalau makan tak habis tok kita cakap, "Kesian kat nasi tu. Malam nanti dia menangis sebab kita makan tak habis". Kita pun buat muka. Yelah, semua dah bijak pandai. Mana boleh nasi menangis! Nasi bukan ada perasaan pun. Tapi, itu kata kita. Kan nasi itu asalnya beras. Beras itu asalnya padi. Padi itukan benda hidup. Tumbuhan yang Allah ciptakan untuk manusia sebagai makanan. Supaya manusia kenyang dan bertenaga untuk beribadat dan bekerja.
Bukan nasi saja ya. Ayam, daging dan semua lauk-pauk itu, sebelum dimasak ia pernah hidup. Semuanya makhluk Allah. Apa hak kita untuk masukkan banyak-banyak dalam pinggan kita kemudian tak habis, dibuang begitu sahaja?
4. Allah.
Ha, yang ni mesti ada yang kata tak logik. Yelah, Allah kan Maha Kaya. Apesal pulak Allah nak berduka cita bila kita makan tak habis?
Mana tidaknya. Bukankah Allah paling tak suka hambanya yang berlebih-lebihan. Allah tak suka dengan orang yang membazir. Membazirlah kan bila kita ceduk makanan banyak-banyak, sedangkan kita tak makan pun. Kita cuma cedok sebab rasa 'kot-kot lah aku nak makan banyak'. Kalau makan sungguh, tak apa lah. Tapi kalau dibiarkan tersadai dalam pinggan, kan dah jadi pembaziran. Membazir tu kan amalan syaitan. Kalau kita pun membazir sama, kita ni suku sakat syaitan lah ye?

Kesimpulannya, bila bertamu di kenduri-kendara, makanlah berpada-pada. Bila menyenduk nasi dan lauk-pauk, ukurlah pada perut sendiri. Kalau tak cukup nanti boleh tambah. Tak perlu malu! Tambah makanan lebih baik daripada makan tak habis.
Tapi kena ingat juga ya, bila ke kenduri kendara kita cuma dijemput makan. Bukan menkedarah! Makan baik-baik, dengar kata iman kita, jangan diikut sangat nafsu. Tak lupa, jaga kesihatan ya!
Selamat berkenduri-kendara~


2 comments:
sy setuju seratus peratus... :) semoga dimana pun kita berada kita dapat tunjukkan budaya yg elok... :)
betul tu rye. tunjukkan budaya yang elok, dan prihatin sikit kot :)
Post a Comment