Thursday, October 06, 2011

Jubli Perak Wan Haniza

Usai solat Subuh, saya on kan laptop. Singgah FB sebentar. Ada notification. Happy Birthday kata seorang rakan FB yang tak pernah saya kenal siapa orangnya. Lagi ucapan dari pensyarah dan rakan-rakan lain. Kabur sebentar. Birthday?

Oh! Hari ini hari jadi saya! Terlupa pula. Otak saya asyik mengingat tarikh 11 dan 12 Oktober 2011. Maklum saja, saya dan rakan-rakan sedang bertungkus-lumus melakukan persediaan untuk bengkel siswazah antarabangsa. Saya diberi tanggungjawab untuk menjadi pengerusi sekretariat penganjuran bengkel tersebut. Sepanjang minggu ini (dan minggu lepas juga) kami menahan tekanan dan kelelahan untuk bengkel yang bakal diadakan pada Selasa dan Rabu hadapan. Biasanya setelah seharian siangnya di pusat sumber ISDEV yang menjadi bilik gerakan kami, malamnya migraine malu-malu memberi salam. Langkah terbaik untuk mengelak daripada mengambil pain killer, saya tidur saja. Keadaan minggu ini diburukkan lagi dengan tayar skuter ungu saya yang ditusuk paku. Betullah skuter saya itu cuma skuter biasa. Kalau pontianak, boleh bertukar menjadi gadis cantik. Tapi skuter saya tak bertukar jadi apa-apa. Kalau dapat bertukar jadi MyVi Lagi Best yang warna ungu tu, best juga kan.

Disebabkan saya perlu mengejar masa, saya tinggalkan saja skuter ungu itu dibengkel dan saya berjalan kaki saja ke ISDEV. Setelah ditampal tempat yang dipaku, esoknya tayar saya pancit lagi. Saya hantarkan lagi skuter ke bengkel ketika pagi masih awal dan bengkel pun belum dibuka. Tinggal saja di hadapan bengkel. Dan sekali lagi, dengan mengusung laptop yang berat dalam bagpack saya menapak dari Sg. 2 ke ISDEV di PPSK. Kalau ditanya kenapa tak naik bas, jawapannya adalah lambat!

Letihnya, subhanallah! Dan baru lah saya tersedar betapa kecergasan saya menurun tahap merbahaya. Dengan hampir setiap malam kepala saya meragam, ditambah pula dengan aktiviti merentas USM dengan laptop di sandang, saya rasa hidup saya terjungkirbalik.

Tapi itu bukan bermakna saya mahu merungut atau mengeluh. Ini bukan kali pertama saya mengendalikan projek. Waktu undergrad dulu selalu sahaja saya diberi tanggungjawab menjadi pengarah projek kelab. Tapi cuma kelab, yang menyertainyapun cuma pelajar undergraduate. Projek paling besarpun GEGAR-U di USM-PISA. Tapi semuanya cuma memerlukan kekuatan fizikal. Dan ketika itu saya masih muda (wah!). Semangat pun menyala-nyala. Aktifnya bukan main!

Tahun lepas saya diberikan jawatan Bendahari untuk bengkel seperti ini. Tapi tentu sekali berbeza diberi jawatan dengan adanya ketua di atas kita berbanding diberi jawatan sebagai ketua. Macam saya bagitahu di atas tadi, bengkel kali ini, saya diberi tanggungjawab sebagai pengerusi. Pertama kali diberi tanggungjawab ini, saya fikir oh, tak apa nanti agih-agihkan tugas tentu tak berat sangat. Tapi sangkaan saya meleset. Menjadi ketua bukan sekadar membahagi tugas. Kalau dalam bahasa Inggeris, ketua disebut 'head' kan. Sungguh! Memang tugas ketua sebagai HEAD. Semuanya perlu difikirkan. Tentang segala-galanya, dan perlu tahu tentang semuanya. Kadang-kadang, saya tak sempat nak update dengan rakan-rakan yang saya serahkan tugas kepada mereka. Dan bila pensyarah tanya, mula lah saya blur.

Tapi apapun, saya merasa sangat-sangat bertuah kerana dibantu rakan-rakan. Saya tak dapat nak bayangkan kalau semuanya saya lakukan sendiri. Rakan-rakan saya di ISDEV memang jjang (the best)! Ada lagi pihak-pihak lain yang sangat membantu menjayakan bengkel ini. Tapi, nanti lah ya. Selesai bengkel ini, saya tuliskan senarai penghargaan.

Dari Anas bin Malik r.a ia berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah berfirman, Apabila Aku menguji hambaKu dengan kedua-dua matanya, kemudian dia bersabar, maka Aku gantikan syurga baginya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Syurga itu, saya belum dapat (harap-harap dapatlah kan) tapi bahagia itu sudah Allah beri. Allah beri dengan menggerakkan hati penaja untuk memberi barang tajaan dan mempermudahkan urusan saya. Skuter sudah berganti tayar baru. Dan yang paling membahagiakan, Allah lindungi hati saya dari rasa sedih atau marah atau apa-apa-rasa-yang-tak-best. Alhamdulillah.

Miss Lady Bird (miss sebab dia 'lady') - tetamu Subuh di meja belajar saya

Saya selalu rasa saya harus menjadi dewasa bila saya berumur 25 tahun. Sejak awal 2011 lagi saya selalu berfikir tentang definisi dewasa. Dan saya tersedar, sepanjang saya mencari makna dewasa ini saya selalu bersikap pesimis, emosional dan sentiasa memikirkan mati. Tapi hari ini, hari saya berinjak menjadi 25 tahun, saya tidak mahu lagi bersikap pesimis. Tidak mahu lagi menjadi emosional. Tidak mahu lagi menjadi perempuan berjiwa kecil.

Mati masih selalu saya ingat. Yalah, hidup cuma satu kemungkinan sedangkan mati itu sudah pasti. Tapi saya mahu mengisi kehidupan dengan penuh bermakna. Saya mahu cergas dan aktif kembali. Saya mahu kelihatan sihat (walaupun sakit memang teman setia saya). Saya mahu jadi Wan Haniza yang kuat dan tabah. Yang cuma menangis kerana Allah dan kepada Allah.

Masih banyak yang saya mahukan. Saya mahu mengejar akhirat dan mahu mengendong dunia. Mungkin saya tamak, tapi istilah yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran cuma sesuai untuk pesimis sahaja kan?

InsyaAllah, saya sedang berusaha. Doakan saya ya!

2 menconteng:

hazmir hasan said...

part motor pancit tuh agak trajis lah! tp elok jugak..... mmg diduga untuk buat ija bersenam. Selamat hari tua!

wan.haniza said...

itu lah. tengah dok sibuk dan kelam kabut lah dia nak pancit.

betul-betul nak suruh orang bersenam