Saturday, October 29, 2011

Bijak sana-sini

Ramai orang mengira kebijaksanaan terletak pada ijazah dan pangkat. ramai juga memandang tinggi kemampuan berhujah dan bersuara lantang sebagai lambang kebijaksanaan. Kita mengagumi orang-orang yang mempunyai ijazah bertingkat-tingkat, dari universiti terkemuka dan selalu berupaya mengemukakan idea dan ideologi mereka dengan lantang dan berkeyakinan.

Tetapi hari ini, saya belajar bahawa sifat rendah hati, sopan santun dan lembut tutur kata adalah salah satu nilai kematangan dan kebijaksanaan.

Sebab hanya orang yang bijaksana akan merendah hati. Mereka rendah hati, bukan rendah diri. Mereka rendah hati kerana mereka tahu dan faham bahawa ada satu kuasa yang lebih bijak dari segala-galanya. Allah, Yang Maha Bijaksana, Yang Maha Mengetahui dan Maha Memiliki Ilmu.

Jadi, kalau kita rasa kita dah pandai, sebenarnya banyak lagi yang tidak kita ketahui. Kalau kita rasa kita bagus dan berupaya mengemukakan idea kita dengan lantang, belum tentu idea kita itu betul. Kalau kita rasa kitalah yang paling berpengalaman dan matang, sebenarnya masih ada pengalaman yang belum kita lalui.

Duduk di tempat tinggi, di atas kita masih ada yang lebih tinggi. Memandang orang lain di bawah, jangan pula terlupa kita juga tidak sehebat mana.

Hidup umpama roda dan pedati. Berputar dan saling memerlukan. Seperti tidak signifikan tetapi sebenarnya berkaitan. Jadi hiduplah dengan akhlak terpuji. Pelihara hubungan bukan hanya dengan yang di atas - mereka yang berpangkat dan berkuasa - kalau kita fikir mereka akan membantu kita menjalani hidup dengan selesa. Tetapi peliharalah juga hubungan kita dengan yang di bawah - golongan marhaen yang mungkin selama ini kita pandang sebelah matapun tak berapa nak sudi. Sebab, hidup ni penuh dengan ketidakdugaan.

Selamat 'terus-bernyawa'.



0 menconteng: