Sunday, March 18, 2012

안녕하세요 (Annyeonghaseyo) - Pre-departure story

Tepat 8.20 malam 11 Mac 2012. Ayah, ibu, adik dan saya terpacak di hadapan pintu 6 KLIA. Betul-betul di hadapan kaunter Korean Air. Berkali-kali ayah dan ibu cuba menghubungi orang yang sepatutnya menguruskan perjalanan kami empat beranak ke Seoul, Korea. Penerbangan dijadualkan pada 11.30 malam. Kami menunggu sehingga 10.30 malam. Orang yang ditunggu masih belum nampak batang hidungnya. Ayah ke kaunter Korean Air. Nama kami berempat disemak. Tiada dalam senarai. Kata pegawai bertugas, mengikut rujukan yang ada pada tangan ayah, penerbangan kami sepatutnya pada 10 Mac 2012. Maknanya, kami terlepas kapal terbang?

Kalut para pegawai Korean Air seketika. Pegawai atasan mereka, warga negara Korea turut hadir membantu. Mereka semak nama kami dalam penerbangan 10 haribulan, nama kami tiada. 11 haribulan juga tiada. Adik saya sudah menangis. Maklum, perjalanan kami sekeluarga ke Korea sebenarnya merupakan hadiah dari ayah untuk adik sempena keputusan PMR nya yang cemerlang. Senarai penumpang Korean Air 12 haribulan pula disemak. Dan syukur, selepas berkongsi panik dengan para pegawai Korean Air di KLIA, nama kami muncul sebagai penumpang pesawat mereka. Alhamdulillah.


Siang 12 Mac 2012. Ayah menghubungi syarikat agensi pelancongan untuk mendapatkan penjelasan tentang masalah yang kami hadapi. Rupa-rupanya orang yang sepatutnya menguruskan kami rupa-rupanya ghaib tidak dapat dihubungi. Syukur, penerbangan yang sepatutnya pada 10 Mac ditangguhkan kepada 12 Mac. Jika tidak, mungkin kami empat beranak tidak dapat menjejak kaki ke bumi Korea.

Wajah keruh ayah, ibu dan adik kembali jernih. Saya ambil kesempatan waktu yang berbaki sebelum berlepas ke Korea untuk menyelesaikan pekerjaan yang tergendala. Alhamdulillah, dugaan pertama sebelum berlepas ke Korea dapat kami hadapi.

Malam 12 Mac 2012. Pegawai Korean Air menyambut kami dengan senyuman lebar. Sempat bertegur sapa dengan saya sambil mengucapkan tahniah kerana berjaya juga berlepas ke Korea. Terima kasih yang tidak terhingga kepada kakitangan Korean Air, dari yang di kaunter hingga yang di pintu masuk ke pesawat. Kamsahamnida!

Perjalanan ini, nampak tak ubah seperti percutian keluarga yang biasa. Tapi tidak bagi saya. Detik hati terasa kurang enak. Mungkin, ini perjalanan untuk nafsu saya bermujahadah. Saya serahkan diri pada Allah. Senyum saya ukir walau terasa kelat. Kaki kanan melangkah masuk ke pesawat.

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ

Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Nya.


2 comments:

effida said...

ooo...pg korea xajak..hehe.. ;p
patutla kite msg xde reply..

wan-niza said...

eh? ada msg? tak dapat pun. kenapa? kenapa?