Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Wah separuh Ramadan telah kita lalui. Apa khabar puasa dan ibadah rakan-rakan sekalian? Harap makin hebat lah ye. Ke sibuk buat persediaan raya je? Jangan lah macam tu. Kena dahulukan apa yang dahulu, kemudiankan apa yang kemudian. Puasa dahulu, baru raya kan? Jadi lebihkan amal ibadah semasa berpuasa berbanding persediaan beraya.
Tak, saya tak kata pun salah nak buat persediaan raya. Nak sambut raya gilang gemilang pun tak salah. Tapi raya Aidilfitri tu kan lambang kemenangan. Beriya-iya kita sambut sedangkan kita tak menang pun. Tak malu ke? Tapi kalau benar kita ni orang yang menang, Alhamdulillah. Boleh lah sambut raya dengan penuh kejayaan.
Okay. Sedang saya sibuk-sibuk mencari jurnal di laman sesawang database untuk menulis tesis, saya terjumpa satu artikel tentang Melayu. Tajuk artikel tersebut, Malays oleh Ronald Provencher (2004) yang menulis tentang orang Melayu dan cara hidup orang Melayu di Malay Archipelago (Kepulauan Melayu). Penulis ada menyentuh tentang puasa di bulan Ramadan. Katanya,
the Fasting Month (Ramadan) which is the annual celebration of God’s greatest gift, the Holy Koran.The monthlong fast that precedes this ceremonial weeklong feast is not absolute, of course. It is a fast (kuasa) that begins with the first daily prayer (just at first light in the morning) and ends just after sundown each day of the month of Ramadan. Evenings, into the early morning hours, are spent drinking iced sweet drinks, eating especially tasty foods, and performing and listening to the message and beauty of Koranic verses. Very few people lose and many gain weight during the fasting month.
Dari perspektif 'Orang Putih' ini, sepanjang tempoh boleh makan semasa Ramadan, dari senja sampai ke awal pagi diisi dengan meminum minuman dingin yang manis, memakan makanan yang lazat-lazat dan membaca dan mendengar ayat-ayat al-Quran. Sangat sedikit yang turun berat badan dan ramai pula yang meningkat berat badan semasa bulan puasa.
Memandangkan ini sebuah artikel dari jurnal saintifik, saya percaya penulisan ini bersandarkan kajian saintifik beliau. Paling tidakpun, melalui pemerhatian.
Saat membaca artikel ini, saya tertawa sendiri. Ada betulnya juga. Waktu berbuka, kita makan. Kemudian selepas solat maghrib, kita makan lagi. Kemudian selepas solat isyak dan tarawih, kita makan lagi. Dan yang paling penting, air sejuk yang manis-manis itu, jarang sekali tertinggal. Macam wajib pula kan.
Saya tertawa tapi terasa juga malunya. Begitu rupanya yang kelihatan pada puasa kita, orang Melayu. Alahai. Tak apalah. Kalau dah 16 hari kita buat macam tu, apa kata lagi 13 hari seterusnya kita isi dengan lebih baik. Makan dan minum semasa berbuka kita sederhanakan. Amal ibadah kita pertingkatkan. Moga-moga separuh masa kedua Ramadan ini membawa iman kita ke tahap yang lebih tinggi sampai tahap orang-orang yang bertakwa. Puasa kita kan untuk Allah. Kan? Kan? InsyaAllah.
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu
diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu
daripada kamu supaya kamu bertakwa."
al-Baqarah, 2:183
Wallauhu'alam.

No comments:
Post a Comment