Monday, January 14, 2013

Bunga Tigris

"Kalau diikutkan hati, dia rela melakukan apa sahaja demi cintanya pada lelaki itu. Apa sahaja! Berjalan beribu-ribu batu berkaki ayam demi bersama pun dia sanggup. Berlari ke mana saja, asal berdua. Tinggal di dalam rumah berlantai tanah beratapkan jerami di ceruk Afrika pun dia rela. Asalkan mereka bersama. Apa sahaja yang termampu oleh kudratnya sebagai seorang perempuan, Khairunnisa sanggup saja lakukan. Tapi, satu, yang satu ini, dia tidak rela melepaskan. Dia tidak rela menggalang-gantikan: AGAMANYA!"

Cinta antara lelaki dan perempuan, sentiasa ada batasan. Batasan bangsa, batasan darjat dan batasan agama, antara contoh batasan dalam bercinta.

Zahrah de Tigris atau bunga Tigris mengisahkan tentang seorang gadis bernama Khairunnisa yang menjadi guru di Baghdad, Iraq semasa negara di mana terletaknya Sungai Tigris tersebut bergolak di rempuh Amerika dan Tentera Bersekutu. Mengambil sorot waktu saat Presiden Saddam Hussein diburu, penulis karya ini, Khairyn Othman bercerita dengan terperinci keadaan di Iraq pada waktu tersebut.

Kebetulan pula, Allah takdirkan saya membaca novel ini ketika pihak Zionis Israel rancak menyerang Palestin pada awal Muharram lalu. Lantas membaca Zahrah de Tigris terasa begitu menyentuh hati malah sesekali terasa amat beremosi.

Allah ciptakan manusia dengan penuh rasa kecintaan. Dan walau dalam waktu perang sekalipun, cinta tetap sudi berputik. Khairunnisa saling jatuh cinta dengan dengan sukarelawan Medecins Sans Frontieres (Perubatan Tanpa Sempadan), Dr. Patrick Devereux warga Perancis yang ateis.

Selain mengandungi kisah suka-duka bergelar guru dan penterjemah di Baghdad, novel ini turut mengandungi pergelutan rasa hati Khairunnisa. Pergelutan rasa kasih dan rindu pada ibu dan ayah di Malaysia yang tidak merestui pemergiannya ke Baghdad dengan keinginan untuk berkhidmat di tanah di mana pernah mekarnya ilmu-ilmu Islam satu ketika dahulu. Pergelutan rasa hatinya terhadap rasa cinta kepada seorang lelaki dengan rasa cintanya pada Rabbulizzati.

Saya tak pernah ke mana-mana tempat bergolak. Jauh sekali ke nagara yang sedang berperang. Tapi membaca novel ini cukup membuatkan saya bersyukur kerana hidup di negara yang tiada peperangan senjata (walaupun ada perang lain yang sedang kita hadapi). Kudos buat Khairyn Othman atas kejayaannya membuatkan bulu roma saya merinding dengan rasa ketakutan, kesedihan dan sesekali tersenyum pula. Peperangan dan cinta. Memang selalu ada dalam satu ayat bukan?


Mahu kenal lebih lanjut dengan penulis Zahrah de Tigris? Boleh lawati weblog beliau di BungaTigris.

ps: saya ambil masa tiga bulan untuk habiskan novel ini. maklumlah, cuma baca semuka dua sebelum tidur. wan neeza sudah semakin malas membaca. alahai~

2 comments:

Anonymous said...

cerita yang menarik...

wan-niza said...

Memang menarik :)