Sekitar 10 pagi. Hujan masih mencurah di USM. Pack barang-barang. Laptop, buku yang diberi pinjam oleh Kak Su, persalinan sehelai dua. Cukup lah. Bukan mahu lama. Hari Isnin pulang kembali ke USM. Nanti sehari sebelum raya baru pulang semula ke Kedah.
Hujan makin reda. Hampir pukul 11, lebuhraya dipenuhi dengan kenderaan berat. Lori, bas ekspres, dan macam-macam lagi. Kereta makin melaju. Meter mencecah 110km/j. Berada di laluan kanan. Lori biru dihadapan. Kurang pasti jenis apa. Kurang pasti lori apa. Pantas. Semuanya pantas. Kawalan stereng mula terganggu. Allah, stereng ke kanan, Allah, stereng ke kiri, Allah, kembali ke kanan...dum! Airbag mengembung mendadak. Menerjah kepala. Cermin mata menekan kening hasil momentum air bag. Aku nampak putih. Kabur. Ada asap. Allah, Allah, Allah, aku terus menjerit. Cik WQE (sebut Wiqi) berpusing. Terbayang wajah abah, wajah mama, wajah Prof. Dari laluan kanan terhenti di laluan kiri. Mata masih kabur. Tangan menukar gear D kepada N. Mencari telefon bimbit. tiada di tempatnya. Tercampak barangkali. Kaki kanan terasa sakit. Tak dapat bergerak. Allah, air mata tidak keluar.

gambar diambil dari dalam kereta peronda polisAku nampak sebuah lori sederhana besar berjalan perlahan melepas Cik WQE. Berhenti di tepi. Pemuda India itu keluar. Berlari-lari menuju Cik WQE. Aku buka cermin tingkap. "Keluar..keluar" katanya cemas. Aku masih keliru. Kunci pintu dibuka. Kepala terasa berat. Pemuda itu membuka tali pinggang keledar. Cuba membawa aku keluar dari Cik WQE. Hadir lagi pemuda lain. Kaki kanan ku tidak boleh digerakkan. Nekad, pemuda India mengendongku ke bahu jalan, jauh dari cik WQE. "Ada barang penting dalam kereta?" Aku angguk sambil mulut berkata ada. Dia berlari mencapai beg laptop dan beg sekolah yang mengandungi buku-buku dari Kak Su. Barang-barang diletakkan di sebelahku. "Kereta terbakar, takut meletup." Aku mengangguk. "Terima kasih...terima kasih." Pemuda India tersenyum. Saiznya cuma besar sedikit daripada aku. Bersubang, jean koyak dilutut. Prihatin yang dimilikinya jauh lebih tinggi daripada mereka yang cuma memandang. Yang memperlahankan kereta sambil wajah berekspresi ngeri. "Terima kasih.." Aku ucap berkali-kali padanya. Tangan pemuda India menghulurkan telefon bimbitku.

Siapa? Siapa harus aku hubungi? Prof? Guru berwajah tenang singgah di ruang fikir. Tak, akal membantah. Dr. Zahri! Ya! Tangan mendail. Tak berjawab. Hubungi abah. "Abah, mintak maaf. Ija accident." "Ija kat mana?" "On the way nak balik rumah mak." "Ija ok?" "Ija ok. Kereta teruk." "Ada siapa kat situ?" "Polis dah datang." "Takpe. Jangan panik. Relax. Biar diorang uruskan, nanti kalau diorang bawa ke balai, Ija buat report." "Ok. Abah, sorry.." "Takpe, nakbuat macam mana. Benda dah jadi." Pegawai polis datang menghampiri. "Dik, pi dok dalam kereta (kereta peronda)." Menunggu ambulans yang tak kunjung tiba. Tangan mendail nombor Kak Su. "Assalamualaikum, Kak Su. Wan ni. Saya accident." "Ha? Wan kat mana?" "Sungai Petani, menghala ke Alor Setar." "Ok, nanti Kak Su datang." "Eh Kak Su, takpe. Nanti ayah saya datang dari Rawang." "Takpe, Kak Su keluar sekarang."Dr. Zahri menghantar mesej. 'Wan, kenapa?' 'Saya kemalangan di Sungai Petani.' Terus Dr. Zahri menelefon. Aku beri maklumat serba sedikit. Seorang pemuda Melayu datang. Pegawai Peronda PLUS menyuruh aku mengikutnya. Aku curiga. Aku tanyakan pada pegawai peronda, "Nanti dia bawa saya ke mana?" "Kalau adik nak ke klinik, mintak abang ni bawa. Jangan risau, kami memang kenal dia." Aku akur.
Pemuda Melayu dipanggil Along memandu Viva biru menuju ke Bahagian Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim. Aku minta untuk di x-ray. Bimbang jika ada skru dari titanium yang tertanam pada tulang belakang terkena impak momentum airbag. Alhamdulillah, semua ok. Lebam sana sini, dan sakit pada bahagian belakang tubuh. Terasa bagai ditumbuk. Doktor mahu beri ubat tahan sakit. "Saya ada gastrik (istilah sebenar gasteritis)" "Kalau macam tu saya bagi krim sapu saja. Nanti sakit perut pulak." Di luar ruang rawatan, Dr. Zahri dan Mama Jan (isteri Dr. Zahri) sedang menunggu. Bersama-sama mereka, aku dan Along ke Bahagian Trafik. Laporan dibuat. Saman dikeluarkan. Selesai, menuju ke benkel tempat Cik WQE diletakkan. Remuk teruk. Bahagian depan MyVi putih milik abang hampir hancur semuanya. Aku terpana. Ya Allah, seteruk ini masih ada lagi usia untuk ku.

Ini peluang untuk hidup kali ketiga. Pertama, ketika mama melahirkan aku 6 Oktober 23 tahun yang lalu. Kedua, semasa dua rod titanium dan 14 batang skru diimplan pada tulang belakang pada 11 April 7 tahun yang lalu. Dan kali ini, Allah beri lagi aku peluang untuk hidup.
Aku tahu, Allah sayang pada aku. Ini mungkin teguran Allah buat hambaNya. Tak perlupun aku memerah otak, mempersoal apa dosa yang telah aku lakukan hingga Allah beri aku ujian begini? Aku memang tahu dosa ku menggunung tinggi. Macam pasir di padang pasir. Macam air di tujuh lautan. Banyak. Mungkin ini peluang. Untuk aku lebih menghargai hidup. Menginsafi segala kezaliman yang telah aku perbuat. Peluang menjadi hamba yang lebih baik. Astaghfirullah, ampunkan aku ya Allah. Segala puji buatMu, alhamdulillah, terima kasih ya Allah kerana mengizinkan aku sekali lagi menikmati sebuah kehidupan.

Terima kasih yang tidak terhingga buat pemuda India yang tidak aku kenali, pada polis peronda dan peronda PLUS (maaf kerana menyebabkan kesesakan) juga buat Along atas kata-kata semangat agar tidak putus asa untuk kembali memandu (sempat promote kereta mewah pada Kak Su).
Terima kasih yang tidak terhingga juga buat Dr. Zahri dan Mama Jan yang sudi datang membantu. Juga buat Kak Su yang sanggup datang serta-merta dari Penang dan membawa pulang kembali ke USM. Juga buat Prof yang sentiasa mengambil berat.
Terima kasih buat Lida, Emy, Hafiz dan Amin. Maaf membuatkan kalian bimbang.
Abah, mama dan abang, maaf yang tidak terhingga. Abang, maaf, maaf, maaf. Kereta pertama hasil titik peluh abang, Ija ranapkan. Maaf.
ps: fobia melihat depan.