Monday, June 06, 2011

Journey to the East

Kalau sebut tentang pantai timur, mesti tergambar di kepala Negeri Cik Siti Wan Kembang. Tapi kali ini, negeri yang saya maksudkan adalah Pahang dan Terengganu. Minggu lepas, lebih tepat lagi pada Jumaat, 27 Mei yang lalu, saya dengan seorang lagi rakan bertolak ke Kuantan sekitar jam 9 malam dari Pulau Pinang. Perjalanan ke Kuantan memakan masa hampir 10 jam dengan 3 kali berhenti di perhentian yang tidak diketahui. Maklumlah, langsung tak familiar dengan perjalanan bas Penang-Kuantan. Inilah pertama kali saya ke ibu negeri Pahang. Sebelum ini, cuma sekadar pernah menjejak dua tanah tinggi terkenal negeri terbesar di Semenanjung Malaysia - Genting dan Cameron Highlands.

Kami singgah sebentar di kawasan tol Gambang untuk solat Subuh dan perjalanan diteruskan lagi hampir 1 jam untuk sampai di stesen bas Kuantan. Tak banyak beza antara Kuantan dengan ibu negeri bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Tapi yang pasti, Kuantan lebih nyaman dari Pulau Pinang mahupun Kuala Lumpur (biasalah tu kan).

Tak banyak yang boleh saya kongsikan tentang perjalanan saya ke Kuantan. Maklum saja, mengambil perjalanan bas waktu malam, apalah yang boleh dilihat melainkan kegelapan di luar tingkap bas. Cuaca baik, dengan suhu penyejuk udara yang sangat rendah a.k.a amatlah sejuk serta pemanduan Pakcik Bas yang sangat berhemah. Terima kasih Pakcik Bas Konsortium! OK, promosi sikit.

And the rest, is history. Tipikal kenduri-kendara zaman sekarang. Takkan nak cerita satu-satu kan.

tahniah Pn. Zetty Syairah dan En. Nazmir

Pulang dari Kuantan sekitar 6 pagi hari Isnin, komitmen sebagai pelajar merangkap felo di tempat saya belajar menanti. Sempat melepas lelah sebentar lalu bergegas menghadiri mesyuarat sekitar jam 11 pagi (saya terlewat 1 jam!). Selesai satu tugas, tugas menganjurkan seminar pula menanti. Tapi insyaAllah, saya terima dengan tangan dan hati yang terbuka. Bak kata guru saya, ini semua latihan. Dan bak kata senior saya, insyaAllah, selepas tugas mengendalikan seminar ini, penulisan tesis akan lebih lancar. InsyaAllah, semoga semuanya menjadi lebih mudah.

Seminggu berlalu dengan otak memikirkan itu ini serta keadaan tubuh yang tak berapa nak baik. Sambil-sambil itu, sempat juga saya meninjau-ninjau laptop di pasaran. Terfikir mahu menggantikan Toshiba yang diberikan ayah saya ini. Sudah pandai meragam dan beruzur-uzur!

Jumaat seterusnya, 3 Jun, saya bertolak ke Kuala Lumpur. Malam itu, rakan sekolah saya melangsungkan pernikahan di surau kawasan kariahnya di Rawang. Terkilan juga kerana tidak dapat menghadiri majlis resepsinya pada keesokan hari kerana perlu bertolak ke Kuala Terengganu (KT) pula bagi menghadiri majlis perkahwinan rakan yang lain. Serba salah sebenarnya bila harus memilih begini. Selain jemputan di Rawang dan Kuala Terengganu, saya juga punya jemputan di Penang.

Bas ke KT saya naiki dari Hentian Putra, berhadapan PWTC. Pertama kali saya menaiki bas di perhentian tersebut. Pertama kali juga saya ke KT seorang diri. Ketika tingkatan 4 dulu pernah ke negeri yang terkenal dengan keropok lekor itu tapi dengan keluarga menaiki kapal terbang. Menaiki bas KL-KT pada waktu siang bukanlah pilihan yang baik. Perjalanan memakan masa selama 10 jam dengan gaya pemanduan yang mengecutkan perut buat saya tak senang duduk. Diburukkan lagi dengan earphone yang tertinggal di rumah. Matahari bersinar garang membuat mata saya cerah tak mahu terlelap. Novel juga tertinggal. Apalah yang boleh saya buat dengan tiada langsung bahan bacaan dan MP4 yang tidak dapat mengeluarkan bunyi?
230 km lagi!

Satu kelebihan daripada semua kekurangan yang saya hadapi dalam perjalanan KL-KT ini adalah saya dapat mencuci mata, menyaksikan pemandangan hutan dara ketika bas melintasi negeri Pahang. Tapi apabila melihat signboard jarak perjalanan yang harus ditempuhi untuk tiba di KT, saya rasa mahu menangis!

Setibanya di KT sekitar jam 6 petang, rakan saya sudah menunggu di stesen bas. Terus ke rumah pengantin dan sekali lagi, cerita biasa di kediaman yang bakal berkenduri-kendara keesokan harinya.

tahniah Pn Wan Norshira dan En. Bukhari!

Saya malas nak bercerita tentang kenduri. Biasa lah kan. Tak banyak beza kenduri sama ada di Rawang, di Pahang, mahupun di Terengganu. Semuanya orang Melayu. Ada yang ikut adat, maka ada bersanding dan menepung tawar. Ada yang sedikit Islamik, pelamin sekadar menjadi tempat bergambar. Lebih Islamik lagi.. bagaimana ya?

Tapi dalam perjalanan saya merentas negeri-negeri dari pantai barat (Penang dan KL) ke pantai timur (Pahang dan Terengganu) saya dapat rasakan perbezaan pada perasaan saya. Kalau di Kuantan udaranya nyaman, di KT pula, bukan sekadar udaranya nyaman, lautnya biru pantainya indah malah masyarakatnya juga terasa sedikit berbeza. Macam mana ya nak dinyatakan dalam perkataan?

Mungkin... lebih terjaga? Bukanlah maksud saya orang-orang di KT bertudung labuh, berpurdah, berserban. Ada juga yang tidak bertudung. Ramai juga yang berjean ketat. Tapi pergaulannya, tingkah laku pemandunya, persekitaran masyarakatnya, buat saya rasa selamat dan tenang. Perasaan yang hampir sama ketika saya ke Brunei dulu. Sesuailah kot dengan nama negeri 'Terengganu Darul Iman' - negeri orang-orang beriman ^^

Selesai majlis, saya bertolak terus dari KT ke Penang. Bas yang dijadualkan bertolak jam 8.30 malam terlewat hampir 1 jam. Sampai di Kulim sekitar 4 pagi saya diarahkan untuk bertukar bas. Ok, saya boikot syarikat bas Sh... ini selepas ini.

Setelah melalui perjalanan panjang ke negeri-negeri pantai timur ini. Salute saya berikan kepada rakan-rakan saya serta semua orang pantai timur yang belajar/bekerja di Penang mahupun di Kuala Lumpur (atau mana-mana negeri lah). Salute bertambah-tambah kalau mereka berulang-alik menaiki bas. Rasa-rasanya no more express bus for me kalau nak ke pantai timur. Tak sanggup dah! Rela book tiket flight awal-awal (for low rate!).

Saya punya satu lagi jemputan di Kelantan esok (7 Jun) tapi nampaknya tak dapat memenuhi jemputan. Banyak yang harus dipertimbangkan. Walaupun saya berani ke KT seorang diri, tapi kalau tiada yang boleh menjemput, payah sikit kan. Maklumlah, seadvencer manapun saya, perempuan tetap perempuan. Ada adab musafir yang harus saya jaga demi keselamatan diri dan maruah.

Apapun terima kasih daun keladi buat semua yang menjemput saya ke majlis mereka. Tahniah Zetty, Amanda dan Shushie. Tahniah juga buat Malissa Nadia dan Ja. Maaf tak dapat menghadiri majlis kalian. Buat adik sepupu yang bertunang ketika saya berada di dalam bas menuju KT, insyaAllah, walimahnya nanti saya hadir.

Semoga semua rakan-rakan saya yang kini bergelar isteri orang menjadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali. InsyaAllah.

kanak-kanak riang di Kuala Terengganu

ps: guru saya bertanya, "Asyik pergi majlis orang je, majlis sendiri bila lagi?" - tak dapat nak jawab. Sebab jawapannya ada pada Allah. Tunggu Dia kata 'kun faya kun' ^^

Monday, May 30, 2011

Zetty

Hujung minggu lalu saya ke Kuantan. Lebih 2 hari di sana bagi menghadiri majlis pernikahan dan resepsi Zetty, room-mate saya sepanjang pengajian degree dulu. Ya, sepanjang 3 tahun bergelar pelajar degree. Saya tak pernah bertukar room-mate malah kami mengambil major dan minor yang sama. Cuma kokurikulum dan subjek opsyen sahaja yang berbeza. Kerana itu, 3 tahun saya hampir tak perlu ingat langsung jadual saya. Zetty selalu ada untuk mengingatkan saya tentang jadual dan deadline assignment.


Kami berdua berbeza sungguh-sungguh. Waktu sebilik dulu, bilik kami macam terbahagi dua. Pink di bahagiannya, biru di bahagian saya. Personaliti kami juga seperti warna bahagian masing-masing. Pink - sinonim dengan girlish, cute, sweet dan lembut. Sedangkan biru - boyish, not-cute-at-all, bitter dan kasar! Zetty memandu Kancil ketika di tahun akhir dan saya, sejak tahun dua sentiasa merempit dengan scooter ego (yang masih setia hingga kini). Ruang lingkup pergaulan kami juga berbeza. Zetty lebih rapat dengan pelajar-pelajar kursus degree kami. Saya pula lebih selesa ber-hu-ha dengan rakan-rakan persatuan. Zetty sangat rajin belajar dan selalu stay-up. Assignmentnya pernah mendapat pujian Prof Roshada (yang kini Dekan IPS) sedangkan assignment saya, Prof Roshada cuma berkata perlahan pada saya (sebab tak mahu saya malu), "I don't know what are trying to do". Waktu itu memang saya malu. Tapi bila diingatkan sekarang, kelakar pula. Dan saya bukanlah orang yang sanggup menghadap dan menghafal struktur DNA untuk genetik ataupun struktur-struktur adik-beradik glukosa di tengah malam buta.

Zetty menghabiskan masa di meja studi. Bila mengantuk dia tidur sebentar, kemudian bangun dan belajar lagi sambil ditemani secawan Nescafe. Sedangkan saya, selepas Isyak bergegas ke mesyuarat persatuan. Tengah malam masih belum di bilik. Zetty biasa tidur dengan lampu malap terpasang sedangkan saya biasa tidur dalam keadaan bergelap. Tapi memandangkan Zetty punya hati yang baik, dia bersedia mengikut kebiasaan saya. Cuma, ada satu ketika USM heboh dengan 'the Oil Man'. Saya tetap dengan rutin aktiviti persatuan hingga menjengah tengah malam. Zetty berseorangan di bilik. Kerana takut, dia membuka pintu bilik kami yang bertentangan dengan bilik air cluster desasiswa kami [desasiswa=kolej penginapan. Pelan lantai desasiswa kami berbentuk + dengan setiap wing ( - ) ada 4 cluster. 1 cluster ada 4 bilik dan 1 bilik air). Sekitar 12 malam, Zetty menghantar sms bertanya lokasi saya dan bila saya akan pulang.

Cara kami berkawan agak unik. Saya anggap Zetty lebih dari sekadar kawan. Saya melayannya seperti melayan seorang adik. Seboleh mungkin setiap kemahuannya mahu saya penuhi. Saya belajar menjadi sabar dan beralah.

Saya ingat lagi ketika kami masih di tahun 1, semester 1. Saya dan seorang lagi rakan bergurau agak kasar dengannya dan Zetty menangis. Waktu itu saya terlalu panik. Tahu saya telah melukainya tapi tidak tahu bagaimana cara untuk meminta maaf. Maklumlah, personaliti saya waktu itu memang kasar. Memang tidak tahu untuk meminta maaf. Saya tulis permohonan maaf saya atas kekasaran saya dalam satu kertas kecil dan nota itu saya tinggalkan di atas meja studinya. Esoknya, Zetty kembali ceria dan sejak itu, kami tak pernah bergaduh (tapi selisih faham tu adatlah).

Saya dan Zetty lahir pada bulan yang sama. Cuma saya lahir 9 hari lebih awal. Mungkin atas sebab itu, walaupun kami banyak perbezaan kami tetap punya sikap yang sama - ber'angin'. Ada waktu-waktu tertentu kami menjadi moody. Tapi kami saling memahami. Bila saya moody, saya biasanya gemar menyendiri. Saya suka meronda seorang diri dan menghabiskan masa melihat pemandangan di tempat-tempat tinggi sekitar USM (bilik kami juga tinggi - tingkat 10 selama 2 tahun dan tingkat 9 ketika tahun akhir). Zetty pula, gemar menghabiskan masa secara luar biasa di meja belajar apabila moody. Luar biasa kerana sepatah kata pun sukar untuk didengari. Senyap dan sunyi. 3 tahun, moody sudah menjadi antara jadual hidup kami. Tapi bukan bertengkar. Jauh sekali berlawan kata. Tapi saya terperasan 1 perkara sejak Zetty bergelar isteri, moody mungkin sudah terpadam dari kamus emosinya. Dalam kesulitan dan masalah-masalah yang muncul ketika majlisnya, Zetty masih mampu tersenyum. Ada ketika yang saya rasa orang lain pasti akan marah, tapi dia masih tenang dan terkawal.

3 tahun duduk sebilik. 3 tahun kami berkongsi suka dan duka. 3 tahun berkongsi rasa.

Zetty kini sudah bergelar Puan Zetty. Melihat suaminya melafazkan akad buat saya sebak. Bukankah 'behind real life, there's always drama'? Begitu juga hidup kami. Sempat juga terfikir, bagaimana agaknya persahabatan kami selepas ini?


Sebelum ini, setiap kali saya pulang ke rumah saya pasti memaklumkannya kepada Zetty. Kalau-kalau dia berkelapangan untuk kami bertemu. Selepas bergraduasi, sekurang-kurangnya setahun sekali kami bertemu. Bagaimana agaknya selepas ini?

Tapi saya sedar, persahabatan itu tak perlu sentiasa bertemu, bukan? Persahabatan itu walaupun jauh dari mata, tapi selalu dekat dengan hati. InsyaAllah, kami bersahabat kerana Allah. Allah yang mentakdirkan kami bertemu, menjadi teman sebilik dan dapat terus bersilaturrahim selama 3 tahun, kemudian sehingga hari ini dan insyaAllah, sampai bila-bila.

Zetty, terima kasih sudi bersabar dengan cara saya selama 3 tahun. Terima kasih sudi jadi room-mate dan best friend saya.

Tahniah Zetty & Nazmir. Semoga Allah selalu merahmati kaliah dengan rumah tangga yang bahagia, tenang dan penuh kasih sayang. Juga dengan anak-anak yang sihat, comel dan soleh. InsyaAllah, majlis cukur jambul Zetty Jr. & Nazmir Jr. nanti saya datang :)

su, saya dan zetty ketika tahun 1 di USM

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."
[ar-rum, 30:21]

ps: BFF!

Thursday, May 26, 2011

Jemput makan~

Pejam celik pejam celik, dah sampai ke penghujung Mei rupanya kita ni. Sabtu ini, insyaAllah, cuti sekolah pun bermula. Perkara yang paling sinonim dengan cuti sekolah kalau di Malaysia ni tentulah musim kenduri-kendara kan!

Kalau dulu, orang berkenduri semuanya berhidang. Maka sibuklah para penanggah, ahli-ahli rewang bertungkus lumus mensajikan lauk-pauk dan hidangan kenduri. Tapi hari ini, kerja berkenduri lebih mudah dengan budaya buffet. Beratur, ambil makanan yang disediakan tuan rumah.

Mungkin ramai yang melihat buffet ketika kenduri lebih mudah dan menjimatkan. Tapi pada pandangan mata saya, buffet ini telah menimbulkan satu budaya baru - budaya tamak dan haloba. Lihat saja sisa dalam pinggan-pinggan ketika kenduri yang menghidangkan makanan secara buffet. Rata-rata masih banyak lauk yang bersisa. Sepatutnya, tujuan menggantikan makan berhidang dengan kaedah buffet untuk menjimatkan lauk dan memastikan kebersihan lauk. Tapi dalam budaya masyarakat Melayu Malaysia ni, jadi lain pula.

Mungkin ada yang kata, ambil banyak-banyak sikit lebih mudah. Segan lah nak bangun tambah nasi tambah lauk. Tapi, apa salahnya menambah kalau nak dibandingkan dengan makan tak habis?

Bila kita ambil makanan berlebihan, sekurang-kurangnya 4 pihak akan berduka cita akibat tindakan kita.

1. Tuan rumah.
Ingat murah ke nak sediakan makanan kenduri? Katering sekarang mahal tau! Paling lekeh pun, bayaran untuk katering bagi satu kepala sudah RM6. Itu yang paling lekeh la. Biasanya sekarang ni kalau menu tahap lazat mesti cecah RM10 satu kepala. Kalau kita tamak-tamak, ambil berlebihan daripada apa yang kita makan, tak ke kesian pada tuan rumah tu.

2. Orang belakang.
Maksud saya, orang yang terkemudian. Biasa dengar kan orang kata, "Ingat-ingat la kat orang belakang" ha, salah satu masa yang tepat untuk ingat pada orang belakang adalah ketika mengambil makanan buffet. Kesian orang belakang. Dapat serdak dan kuah je. Lauh semua dah habis. Kalau habis makan tak apa. Ini habis dibakulsampahkan. Tak ke terkilan di hati?

3. Makanan itu sendiri.
Pernah dengar tak masa kecil-kecil dulu, kalau makan tak habis tok kita cakap, "Kesian kat nasi tu. Malam nanti dia menangis sebab kita makan tak habis". Kita pun buat muka. Yelah, semua dah bijak pandai. Mana boleh nasi menangis! Nasi bukan ada perasaan pun. Tapi, itu kata kita. Kan nasi itu asalnya beras. Beras itu asalnya padi. Padi itukan benda hidup. Tumbuhan yang Allah ciptakan untuk manusia sebagai makanan. Supaya manusia kenyang dan bertenaga untuk beribadat dan bekerja.

Bukan nasi saja ya. Ayam, daging dan semua lauk-pauk itu, sebelum dimasak ia pernah hidup. Semuanya makhluk Allah. Apa hak kita untuk masukkan banyak-banyak dalam pinggan kita kemudian tak habis, dibuang begitu sahaja?

4. Allah.
Ha, yang ni mesti ada yang kata tak logik. Yelah, Allah kan Maha Kaya. Apesal pulak Allah nak berduka cita bila kita makan tak habis?

Mana tidaknya. Bukankah Allah paling tak suka hambanya yang berlebih-lebihan. Allah tak suka dengan orang yang membazir. Membazirlah kan bila kita ceduk makanan banyak-banyak, sedangkan kita tak makan pun. Kita cuma cedok sebab rasa 'kot-kot lah aku nak makan banyak'. Kalau makan sungguh, tak apa lah. Tapi kalau dibiarkan tersadai dalam pinggan, kan dah jadi pembaziran. Membazir tu kan amalan syaitan. Kalau kita pun membazir sama, kita ni suku sakat syaitan lah ye?



Kesimpulannya, bila bertamu di kenduri-kendara, makanlah berpada-pada. Bila menyenduk nasi dan lauk-pauk, ukurlah pada perut sendiri. Kalau tak cukup nanti boleh tambah. Tak perlu malu! Tambah makanan lebih baik daripada makan tak habis.

Tapi kena ingat juga ya, bila ke kenduri kendara kita cuma dijemput makan. Bukan menkedarah! Makan baik-baik, dengar kata iman kita, jangan diikut sangat nafsu. Tak lupa, jaga kesihatan ya!

Selamat berkenduri-kendara~

Thursday, May 05, 2011

Bila tubuh berbicara

Assalamualaikum.

Lama rupanya saya tak update blog ni. Dua tiga minggu kebelakangan ni saya ada penyakit tak boleh tenung laptop lama-lama. Jadi saya cuma buka laptop untuk buat benda-benda penting saja. Macam benda-benda berkaitan pengajian. Punya lah tak buka laptop, emel pun bertimbun-timbun tak check. Siap banjir dengan spam lagi. Facebook pun saya tak sudi buka. Tapi tak boleh juga kan. Hati membuak-buak (wah! bahasa~) nak membebel di blog ini. Jadi, telan mefenamic acid sebiji, tidur sekejap dan tada~ saya menaip di blog ini. Mefenamic acid tu apa? Sejenis dadah. Hehe. Ubat tahan sakit anti-inflammatory untuk mild migraine saya. Boleh juga guna untuk menstrual pain. Tapi tak bagus sebenarnya bergantung dengan ubat tahan sakit ni. Dulu, maksud saya sejak di bangku sekolah lagi saya sering di'prescribed'kan dengan ubat tahan sakit. Tapi memang tak makan. Simpan buat koleksi. Sebabnya, ubat tahan sakit ni kebanyakannya mendatangkan sakit yang lain. Terutamanya kepada perut. Jadi, selagi boleh tahan, memang tak makan la ubat tu. Doktor juga prescribed ertgotamine+caffeine untuk rawatan migraine. Tapi cukup kot ambil pain-killer je.


Saya bukanlah penghidap migraine tegar. Seingat saya, kali pertama saya merasa penangan migraine ni waktu di tingkatan 4 dulu. Dah hampir 9 tahun dah pun. Migraine sekali lagi waktu sedang berusaha menyelesaikan disertasi Master. Dan yang paling terbaru, dua minggu lepas. Ini migraine ye bukan sakit kepala.

gambar: hampir seperti apa yang mata saya nampak bila migraine sedang beri salam sebelum kesakitannya terasa

Saya selalu berpendapat, tubuh badan kita adalah anugerah Allah. Saya juga percaya, tubuh seorang manusia punya mekanisme tersendiri dalam merawat setiap masalah yang dihadapinya. Contohnya selsema. Kenapa hidung kita berair? Kenapa tiba-tiba kelenjar mukus tiba-tiba merembeskan mukus tak henti-henti? Kenapa kita demam? Kenapa bila demam suhu badan kita naik? Dan kenapa kita berasa lemah bila kita demam? Semua ini, saya percaya ada sebabnya. Dan tubuh badan kita yang merupakan penciptaan Allah ini punya cara tersendiri untuk merawat dirinya sendiri. Atas kepercayaan ini, saya saaaaaangat tak suka makan ubat. Sebabnya, saya anggap ubat - yang macam orang putih kata, DRUGS mendatangkan kemudaratan. Ye, mungkin boleh merawat, tapi akan ada kesan sampingannya nanti. Jadi, lebih baik kalau izinkan tubuh kita sembuh perlahan-lahan. Cikgu Biologi saya dulu pernah kata, tubuh kita berbicara dengan kita melalui penyakit. Dia nak bagi tahu, "SILA REHAT", "SILA TIDUR", "SILA JAGA PEMAKANAN" dan segala macam sila lah. Ustazah saya pula kata, sakit itu anugerah Allah. Buat penghapus dosa-dosa kecil. Patutlah perempuan ada menstrual pain (senggugut) kan. Maklumlah, perempuan ni kan selalu je buat dosa kecil (kecil je, besar tak). Yelah, kadang-kadang 'ter'mengata makcik kafe. Kadang-kadang 'ter'umpat pakcik guard. Macam-macam 'ter' lagilah yang boleh buat dosa kecil bertabung-tabung.

Tapi, manusia biasa selalu tak nampak yang sakit tu rahmat Allah kan? Kita selalu mengeluh. Aduh..aduh. Sakitnya...sakitnya. Kan lebih baik kalau kita kata: "Astaghfirullah.;Ya Allah, ya Allah" masa sakit tu. Kan lebih baik kalau kita bertasbih, Subhanallah bila kepala kita berdenyut-denyut. Alhamdulillah bila kita muntah-muntah sebab pening. Laila ha illallah masa tubuh kita lemah terlantar. Allahhuakbar bila kita rasa hantuk kepala kat dinding pun lagi best berbanding sakit yang kita rasa. Lebih baik kan? Yelah daripada dok aduh aduh. Sambil nangis, huhuhu~ Lepastu guling-guling dan hantuk kepala kat dinding sambil jerit sakit! sakit!. Macamlah dengan meng-aduh dan menjerit kesakitan tu dapat mengurangkan sakit kita. Macamlah guling-guling dan hantukkan kepala tu dapat kurangkan sakit kita. Kalau kawan-kawan kata bertasbih dan bertahmid pun tak kurangkan sakit, at least kita dapat tambah pahala kan? See? Tengah sakit-sakit pun boleh tambah pahala! Ha, inilah yang dikatakan sakit tu anugerah Allah. Tanda Allah sebenarnya sayang kat kita. Kita je yang tak berapa nak sayang kat diri kita.

Kenapa saya kata kita tak sayang kat diri kita? Tengok lah apa yang kita makan. Breakfast roti canai 2 keping , teh tarik manis gelas besar. Lunch pula nasi 3 pinggan dengan kari kepala ikan. Hi-tea pula kuih manis-manis dengan kopi o kaw-pekat-manis. Dinner nasi lemak lauk telur sotong dengan rendang tok. Supper pula charkuewteow. Fuh!


Tambah lagi dengan kita yang memang tak suka, tak suka ye, bukan malas, untuk bersenam. Tak suka kena panas sebab takut hitam. Tak suka peluh sebab nanti busuk. Tak suka keluar-keluar nanti orang tengok, segan. Oh puh-lease~ dalam bilik, dalam rumah pun boleh bersenam ye. Ha poco-poco dah tak diharamkan kan. Aerobik pun tak haramkan. Buat la sorang-sorang dalam bilik. Nak menari ke, nak berjoget ke, nak beryoga ke, buat lah. Asalkan dapat keluar peluh, dapat bakar kalori. Tapi jangan over pula ye.

Kunci nya adalah sayangi diri kita. Diri kita, tubuh kita, semuanya anugerah Allah. Perhatikan cara hidup kita, perhatikan cara makan kita. Sayangi diri kita, jaga diri kita. Sebab, menjaga diri kita merupakan satu menifestasi bahawa kita bersyukur dengan anugerah tubuh badan yang Allah beri pada kita. Jauhi dadah, jauhi zina. Jangan dera diri anda (dan saya juga).

Sampai nanti, take care!
Wassalam.

ps: tiga minggu tak update blog tiba-tiba bilangan follower meningkat dua kali ganda.


Tuesday, April 19, 2011

Lembaran di atas kepala

Ada selembar kain. Yang dimuliakan para wanita. Dipakai di atas kepala. Buat menutup rambut, mahkota anugerah Allah.

Ada yang memanggilnya tudung. Ada yang memanggilnya kelubung. Ada yang memanggilnya hijab. Ada yang memanggilnya head scarf, shawl, jilbab, macam-macam lagi lah. Anda namakan.

Ada macam-macam gaya, macam-macam fesyen lembaran penutup rambut ini. Kalau di Malaysia, yang paling Islami biasanya memakai tudung bulat. Kebanyakannya yang dari sekolah agama. Tapi ada juga yang dari sekolah biasa. Kemudian ada tudung labuh - yang tak bulat. Bidang 60". Kecil sikit, ada yang bidang 50". Kecil lagi - yang paling biasa dipakai oleh gadis-gadis Melayu, bidang 45". Kebanyakan tudung bawal saiznya 45". Kebanyakan ya, bukan semua.

Kalau yang malas sikit (sikit je), gemarkan tudung segera. Tak pun tudung Syria. Tapi yang terhangat di pasaran sekarang ni, tentulah selendang (shawl). Pengaruh Yuna barangkali. Dan sehari dua ini, kerap pula nama baru muncul. Hana Tajima Simpson - fashion designer cum Yuna's best friend cum her designer. Dengar kata Hana Tajima ni datang ke Malaysia baru-baru ini. Mungkin sebab itu lah saya ternampak namanya di merata-rata.

Ok ok. Apa motif saya menulis perkembangan industri per-tudung-an di Malaysia ni? Sebenarnya bukan apa. Isu tudung ni dah begitu banyak diperdebatkan. Saya selalu juga dengar orang kata, 'Alah pakai tudung pun buat maksiat apa'. Ayat biasa, menyalahkan golongan bertudung bila sendiri tak mahu bertudung. Dan ada juga yang kata, 'Dosa tau tak pakai tudung. Setiap helai rambut yang orang lelaki tengok akan di tulis dosanya.' Ini saya petik ayat ustazah fardhu ain saya.

Saya berkawan dengan macam-macam jenis orang. Ada yang tak bertudung, tapi lebih ramai yang bertudung. Fesyen tudung rakan-rakan saya juga bervariety. Dari tudung bulat, sampailah ke shawl ala Yuna - semua yang saya sebutkan di atas. Tapi ada satu kesimpulan yang dapat saya buat tentang tudung - ia satu amanah, bukan sekadar selembar kain buat penutup kepala. IA lebih dari itu.

Tudung, lambang maruah seorang wanita. Lambang kebebasan dan hak. Mungkin ada yang pelik, kenapa kebebasan dan hak? Sebabnya, ia memberi peluang kepada seorang wanita membebaskan dirinya daripada menggayakan diri, mendedah rambut (yang katanya mahkota wanita) untuk tontonan lelaki. Ini sebenarnya saya petik dari kata-kata seorang wanita yang ditanyakan oleh Oprah tentang cara berpakaiannya. Katanya, dia memilih bertudung dan berpakaian menutup aurat untuk membebaskan diri daripada berhias untuk menarik perhatian lelaki. Membebaskan dirinya daripada menjadi simbol daya tarikan seksual lelaki. Bukankah di Barat sana, yang terdedah itu seksi. Yang paling banyak nampak kulit dan bentuk tubuh adalah yang paling hot.

Perdebatan tentang tudung, tentang ayat al-Quran tentang tudung, tentang hadis berkaitan tudung sudah lama berlaku. Antara sesama Muslim mahupun antara non-Muslim dengan Muslim. Terpulanglah. Bagi saya, ada yang lebih penting untuk dititik beratkan berbanding perdebatan tentang tudung. Ya, tudung itu penting. Tapi ramai saja yang saya lihat tidak bertudung masih sudi menjaga solat berbanding dengan yang bertudung. Ramai saja yang tidak bertudung masih sudi menghormati orang tua dan mengasihi yang muda berbanding dengan yang bertudung.

Alhamdulillah, kita bertudung. Tapi cukupkah sekadar bertudung? Macam mana dengan kain belah kita? Dengan leggings kita? Dengan skinny pants kita? Kita bertudung, tapi macam mana pergaulan lelaki-perempuan kita? Pegang-peluk-cumbu dengan 'Cik Abang' kita?

Untuk yang belum bertudung, usah pula menjadikan kesilapan orang-orang bertudung sebagai alasan tak mahu bertudung. Kalau pilihan anda masih tetap free hair, bertanggungjawab dengan pilihan yang anda lakukan. Tak perlulah meletakkan tanggungjawab terhadap keputusan anda itu di atas pundak (bahu) wanita bertudung. Masing-masing sudah besar kan. Setiap keputusan, setiap pilihan yang kita lakukan adalah tanggungjawab kita.

Bertudunglah. Hanya kerana Allah. Bukan ikut-ikutan. Bukan bersuka-suka.



ps: pernah kata pada kawan beragama Kritian-Methodis, "Lihat pada Islam, bukan pada orang Islam. Sebab yang salahnya bukan Islam, tapi orang Islam"

Thursday, April 14, 2011

Rayuan hamba


Wahai Tuhan pemilik hati, jadikanlah hati ini mendamba tiada yang lain melainkan Engkau.
Wahai Tuhan pemilik jiwa, jadikanlah jiwa ini mengharap tiada yang lain melainkan Engkau.

Wahai Tuhan pencipta akal, jadikanlah akal ini memikir tiada yang lain melainkan Engkau.
Wahai Tuhan pemilik ilmu, jadikanlah ilmu ini tiada yang lain melainkan yang bermanfaat di sisi Engkau.

Wahai Tuhan yang menciptakan tubuh, jadikanlah tubuh ini berkhidmat tiada yang lain melainkan untuk Engkau.
Wahai Tuhan yang menciptakan kejadian manusia, jadikanlah kejadian ini tiada yang lain melainkan hidupnya untuk Engkau dan matinya untuk Engkau.

Wahai Tuhan yang memberi kekuatan, jadikanlah kekuatan ini tiada yang lain melainkan untuk beribadah kepada Engkau.
Wahai Tuhan yang memberi petunjuk, jadikanlah petunjuk ini tiada yang lain melainkan yang membawaku menuju kepada Engkau.

Wahai Allah, Tuhan Yang Esa.

Dengan nama-Mu Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang.
Segala puji bagi-Mu, Tuhan semesta alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Pemilik hari pembalasan.
Hanya Engkau yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat; bukan jalan mereka yang Kau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.

Saturday, April 02, 2011

Tribulasi

Assalamualaikum.

Berakhir sudah Mac. Bila baca blog kawan-kawan, masing-masing menempuhi tribulasi. Ya, masing-masing punya cerita tersendiri. Tak kira siapa kita, dugaan, ujian, tribulasi, apapun yang kita panggil, selalu saja menjengah. Kalau tak cukup kuat, mudah saja rebah.

Menjadi pelajar khususnya pelajar siswazah (post-grad) memberi peluang buat diri saya sendiri untuk bukan saja merasai tribulasi pencari ilmu tetapi juga melihat yang dihadapi oleh rakan-rakan saya. Air mata jadi sangat murah bila bergelar pelajar. Adik saya yang kini di tingkatan 3 pernah bertanyakan pada saya, "Kakak, stress sangat ke ambil PhD?". Barangkali dia pelik melihat kakaknya yang selalu pulang ke rumah sekadar 2 - 3 hari. Cukup untuk sekadar mengurangkan sindrom stress.


Apa yang stressnya mengambil Master atau PhD?

1. Perkara paling tak best bila sambung belajar adalah masalah kewangan. Memang sungguh-sungguh tak best. Maklum saja, rakan-rakan lain sudah bekerja. Sudah berkereta malah ada yang sudah berkeluarga. Sedangkan kita masih terkontang-kanting mencari ilmu, sambil-sambil menadah tangan dan menebal muka pada mak ayah untuk membayarkan yuran beribu-ribu ringgit (per semester). Sibuk juga cari kerja part-time sana sini untuk buat duit makan dan fotostat.

Saya pernah mengalami masalah ini. Tapi alhamdulillah, sekarang tidak lagi selepas memperoleh biasiswa. Semasa Master dulu, saya sudah fikir untuk mencari kerja kalau tiada pihak yang sudi sponsor pengajian. Allah mendengar doa saya, Dia berikan bantuan kewangan yang tidak pernahpun saya bayangkan. Jangan kata bayangkan, tak pernah idamkan pun! Sebabnya, saya selalu fikir saya tidak layak.

2. Menjadi pelajar post-grad bermakna anda menjadi lone-ranger. Maklum saja, selepas konvokesyen ramai yang keluar dengan haluan masing-masing. Kawan baik, kawan se'geng' semua dah bertaburan merata negara. Tinggal kita saja dengan kawan-kawan yang baru. Persahabatan dengan kawan-kawan post-grad tentu sekali tidak sama dengan kawan-kawan semasa degree. Tambah lagi kalau kita seorang saja yang sambung belajar. Pensyarah saya pernah bercerita bahawa beliau tak pernah merasa bersendirian saat beliau mengambil PhD. Tapi orang disekeliling saya, hampir semuanya mengalami masalah ini. Yang perempuan terutamanya. Saya rasa lelaki tak terlalu menghadapi masalah ini. Sebabnya, orang lelaki ni sentiasa berkawan-kawan. Berbeza dengan yang perempuan. Tak kisah lah yang bujang atau yang berkahwin.

Bukan tiada kawan. Bukan tiada siapa peduli. Tapi semua orang sibuk dengan kajian masing-masing. Tak sempat nak terlalu ambil tahu tentang orang lain. Lagipun, "kalau kau ada masalah, akupun ada masalah aku sendiri!" Sudahnya, menangis sorang-sorang. Inilah masanya kita akan dapat tahu siapa sahabat, siapa sekadar kawan. Kalau sahabat, dia bukan memujuk tapi akan selalu bersedia mendengar keluh-kesah kita. Kalau yang sekadar kawan, mungkin akan lari, mungkin akan mengejek. Paling teruk kalau yang bercerita pula tentang masalah kita kepada orang lain. Bukan untuk membantu tetapi sekadar mahu membuka aib. Tak baik tau! Cara terbaik untuk atasi masalah ini adalah menyertai study circle a.k.a usrah. Ha, usrah bukan semata-mata bercakap tentang hal agama saja ya. Dalam usrah ini boleh bertukar-tukar cerita, berkongsi masalah dan mengeratkan ukhuwah. Bagi saya, ke-lon-ranger-an seseorang itu bukan kerana orang tak mahu berkawan dengannya tetapi kerana kita yang tak mahu berkawan dengan orang. Tak perlu ubah orang lain, tetapi ubah diri kita.

4. Yang tak best juga bila buat Master atau PhD adalah bila perlu menulis. SAAAANGGAAATTTT SUUUUSAAAAHHHH!!! Apa yang susah? Taip saja lah! Banyak bezanya menulis semasa degree kalau nak dibandingkan dengan semasa Master dan Phd. Semasa degree dulu, saya boleh selesaikan assignment dalam masa 1 hari saja. Tambah-tambah lagi kalau lab report. Pakcik Wikipedia kan ada, copy sana sikit sini sikit, paste. Tukar format, repair alignment. Masukkan gambar, masukkan result and discussion. Siap! Sebelum pukul 5 dah boleh hantar bawah pintu bilik cikgu amali.

Bila dah masuk Master dan PhD, semuanya perlu references. Semua perlu ikut format. Semua perlu akademik. Perlu analitikal, perlu kritikal, perlu apa lagi ya? Pakcik Wiki dah tak boleh dirujuk. Sekadar tengok-tengok nak faham konsep tu boleh la. Tapi kalau nak copy paste memang tak boleh! Kena baca jurnal akademik, kena baca buku akademik. Buatnya orang yang bertukar aliran macam saya, memang terseksa nak membaca bahan-bahan akademik ni. Semasa degree dulu ada juga baca jurnal untuk buat final year project. Tapi jurnal sains tak sama dengan jurnal sains sosial. Jurnal sains sosial ni, baca 2-3 kali pun belum tentu dapat faham. Tambah pulak kalau dalam bahasa Inggeris. Maklum saja, bahasa Inggeris saya belum capai tahap excellent. Bila ditambahkan dengan istilah-istilah sains sosial yang tak pernah jumpa, pening-pening lalat dibuatnya.

5. Satu lagi perkara besar yang buat pelajar post-grad stress adalah penyelia. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat penyelia yang baik dan sangat membantu sejak dari degree lagi. Mr. Kesaven dan Dr. Sudesh dulu sangat membantu. Begitu juga dengan penyelia saya semasa Master dulu. Penyelia saya sekarang juga sangat banyak membantu. Bukan sekadar bantuan penyeliaan, bantuan emosi juga. Penyelia saya yang sekarang ini bukan hanya menyelia tesis saya. Saya selalu meminta nasihat dan teguran-tegurannya buat pedoman hidup. Kalau nak bercerita, bimbang berjela-jela.

Bertuahnya saya punya penyelia yang baik-baik kan? Hakikatnya, bukan semua penyelia begini. Ada juga yang suka menjatuhkan. Ada yang menindas pelajar. Ramai juga yang mengabaikan pelajar. Masing-masing punya ragam tersendiri. Biasalah, manusia. Pelajar juga ada macam-macam perangai. Jadi jangan expect penyelia yang baik-baik saja. Bersyukur dengan siapapun yang menjadi penyelia kita. Kalau beliau bermasalah, boleh tukar penyelia. Tapi kalau kita yang bermasalah, sila-silalah tukar perangai kita.

Ada seribu satu macam lagi tribulasi yang boleh buat pelajar post-grad stress. Tapi bagi saya kebanyakannya merupakan masalah peribadi, masalah yang berpunca dari diri sendiri. Kalau difikirkan, pelajar degree juga banyak masalahnya. Tapi dapat diatasi dengan mudah. Mungkin kerana faktor usia. Waktu degree kita masih muda. Masalah-masalah yang datang diambil remeh, diselesaikan berkawan-kawan, dengan hati yang riang gembira. Berbeza dengan waktu Master/PhD. Usia masing-masing sudah makin meningkat. Orang perempuan ni, bila usia makin meningkat makin suka risau hal-hal remeh temeh. Benda kecik pun jadi besar.

Tak kira belajar, bekerja ataupun suri rumah, kita takkan terlepas dengan tribulasi. Tapi yang paling utama, cara kita menghadapinya. Ada orang yang melarikan diri. Berhenti belajar. Mengalah di tengah jalan. Kalau ini pilihan anda, teruskan. Kalau itu yang terbaik, apa salahnya. Berhenti ambil Master/PhD bukan bermakna dunia sudah berakhir kan? Bangkit semula. Kalau akademik bukan bidang untuk masa depan anda, mungkin ada bidang lain. Tapi jangan sesekali putus asa. Dunia Allah ni luas. Terokailah ia.

Buat anda yang terus bertahan mencari ilmu, selamat bertahan! Tabah selalu, kuatkan semangat. Ingat, pencari ilmu itu pejuang. mencari ilmu itu perjuangan. Mana ada perjuangan yang mudah? Kalau kita rasa kita dah cukup berusaha, nilai semula usaha yang kita lakukan berbanding pencari ilmu dahulu kala. Macam Imam Syafie yang merantau dari Madinah ke Mekah tanpa bekalan pena dan kertas, sampai perlu menulis dengan lidi dan air liur di tapak tangannya (tapi beliau hebat, kering air liur terus melekat ilmunya). Contohi Imam Bukhari juga yang merantau jauh hanya untuk mencari perawi hadis. Malah setiap hadis yang beliau riwayatkan mesti didahului dengan solat-solat sunat untuk pastikan setiap hadis yang ditulisnya ditulis dengan izin Allah, dengan kebenaran, dengan bantuan Allah.

Sedangkan kita? Betulkah kita sudah cukup berusaha? Malam-malam kita stay-up belajar atau tahjud tak atau cuma berdengkur? Siangnya kita sungguh-sungguh membaca, ke library atau ke kelas tak? Atau cuma berkurung dibilik bermain FB, Twitter, atau melayari OhBulan!?

Buat anda yang baru berniat nak sambung belajar, jangan pula takut nak sambung belajar sebab membaca entri ini ya. Perbetul niat masing-masing. Paling penting, kalau rasa nak sambung belajar sebab tak dapat kerja, fikir dan muhasabah diri 2 - 3 kali lagi. Mencari ilmu itu perjuangan, perjuangan itu kalau kerana Allah, insyaAllah, jadi jihad. Jadi pencari ilmu itu pejuang, dan jika ia pejuang Allah, maka ia adalah mujahid.

p/s: Kita ni...mujahid tak?