Wednesday, January 14, 2009

tombo ati

Tombo ati iku ono limo perkorone
Kaping pisan moco Qur'an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe
Salah sawijine sopo biso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

Ubat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima zikir malam perpanjang lah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga gusti Allah mencukupi

ps: ada yg kata ini puisi oleh wali songo (wali yang 9), juga ditemui dalam koleksi puisi oleh Emha Ainun Nadjib (bapa Noe Letto)..mengenal lagu ini daripada Opick

Friday, January 09, 2009

Perhimpunan Aman - Sg. Dua Entrance/Al-Malik Khalid


Sempat capture beberapa foto. Ini kali pertama saya berpiket..tapi perhimpunannya kurang sambutan. Tengok sendiri lah ye~

banner yang ditanda tangankan oleh para siswa USM...macam-macam yang ditulis

tengok dari jauh...tengah hari..panas

capture dari belakang..dapat gambar belakang je la..hehe

Ababil

Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar, sehingga mereka dijadikanNya seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Al-fil (gajah)

Teringat waktu masih darjah 3. Ustazah ajar sirah dalam Surah Al-Fil. Kata ustazah, waktu tu tentera Abrahah menaiki gajah sebagai kenderaan perang datang ke Kota Mekah. Berhajat memusnahkan Mekah dan Kaabah utamanya. Tiba-tida datang burung-burung membawa batu. Ustazah kata batu itu dari neraka. Panasnya, hingga menghancurkan. Burung-burung kecil itu bernama Ababil. Tahun itu Nabi SAW lahir. Mekahpun selamat. Tidak dihancurkan. Melainkan tentera bergajah itulah yang binasa.

Semalam, ada bacaan yasin dan doa khas buat Palestin. Imam bacakan sekali surah Al-Fil. Terfikir, bila agaknya Allah nak datangkan ‘ababil’ untuk menghadapi Israel. Hari ini, sebelum solat Jumaat ada perhimpunan aman depan masjid. Lancar tabung amal Palestin. Sambil berdiri agak jauh dari jemaah, sebab terlewat (malu nak pegi dekat). Terfikir…adakah tercebis sedikit kesan dengan apa yang kita lakukan? Terpandangkah perhimpunan ini dek Israel? Pedulikah tanda tangan dan memorandum dari mahasiswa ini dek Amerika atau Liga Arab? Sambil-sambil perhati. Mahasiswa ni nampak macam hepi je dok turunkan tanda tangan. Takpelah, ikhlas milik Allah cuma.

Monday, January 05, 2009

Dinding, cathedral atau masjid..penuh darah

Salam
Sedang sibuk dengan urusan dunia. Singgah di kafe. Buletin 1.30. Israel buat hal lagi. Che' Det pun dah keluar suara. Pak Lah dah bercakap. Tok Guru tentu bersedih. Ramai yang dah gugur. Doa dari jauh, moga pergi peroleh syahid.

Palestin berdarah lagi. Mesir duduk termangu. UAE bising-bising tapi tak buat apa pun. Kata asabiyah..apsal, Palestin tu bukan Arab? Gencatan senjata konon..sudah lah! Taktik lama. US, dok jauh-jauh. Rundingan damai apanya kalau Hamas berdiam, yang sebelah sana pulak rancak mengebom.

Perang dalam Islam memang diharuskan. Tapi Islam meletakkan perang yang adil. Perempuan, orang tua, dan anak-anak kecil tu tak boleh diusik. Tapi yelah. Kita adil macam manapun, sendiri merasa dia bangsa terhebat di muka bumi. Sendiri menganggap diri anak Tuhan. Anak Tuhan hingga boleh membunuh sewenangnya.

Elok pulak tu. Orang kita sibuk urusan dunia. Sibuk urusan suka-suka sebenarnya. Sambut new year gila-gila. Minum khamar bergelempang kat Gurney, tambah pulak dengan siswa siswi Uni Suka Meeting seronok melepak berpasang-pasangan di benteng depan Queensbay. Chanteq sungguh akhlak kita. Tak tau lah...Semenanjung Gaza dah lama bergolak. Baru je lepas para Yahudi meraikan pendudukannya yang ke-60. Tapi kita tak sedar-sedar. Semua ghaflah. Orang lain dok ambik sikit, sikit. Memang, tanah kita bukan tanah warisan Nabi Ibrahim a.s macam Palestin. Memang, tanah kita tiada dinding tembok untuk meratap, tiada cathedral di bukit suci, memang kita tiada masjid yang menjadi kiblat pertama. Tapi tanah ini semenanjung emas. Tuhan dah janji...Dia akan datangkan satu kaum yang lebih hebat, yang bakal menzalimi kita kalau kita leka dengan nikmat. Dah tiba masa untuk kita sedar diri. Tanah ini tanah emas, lautnya perak.

ps: tadahkan tangan, sama-sama berdoa untuk saudara kita di Palestin...walaupun hidup bergelimpang dengan penderitaan, semoga hati tetap tenang dengan tawakal pada Allah.


Thursday, January 01, 2009

Marah dan Amarah

Kata guru, apabila kita perlu marah maka tunjukkanlah kemarahan itu hanya pada wajah dan senyumkanlah hati sambil bertasbih dan istighfar.

Kata guru lagi, marah itu pintu kepada segala jenis syaitan.

Kata orang dulu-dulu, bila marah cepat tua.

Kata kawan, kalau marah nanti terlupa semua ilmu berguna.

Kata orang bijak pandai, bila marah jantung akan berdetak kencang maka darah akan mengalir dengan lebih pantas...oksigen dan karbon dioksida akan bertukar lebih cepat.

Saat itu, kekacauan akan berlaku kerana detakan kencang jantung membuatkan akal kurang waras lantas jadilah manusia yang lupa pada Tuhannya.

Tapi itu cuma terjadi bila marah dibatasi dengan nafsu amarah...nafsu terhina milik seorang khalifah.

Syaitan tak perlukan pembesar suara agar hasutannya didengar..cukup sekadar dengan bisikan halus, porak peranda umat manusia menyelubung diri dengan kemarahan.

Allah ciptakan manusia dengan nafsu dan iman...maka tugas kita untuk mengangkat nafsu Amarah menjadi sekurang-kurangnya Mutmainnah..lebih baik lagi diasus lagi sehingga Radhiah, Mardhiyyah atau lebih hebat sehingga ke peringkat Kamil. Dan untuk mengangkat martabat nafsu sehingga tingkat sempurna itu, iman diperlukan. Kalau sebelum ini sekadar iman Taqlid yang mengikut-ikut (angguk2 geleng2), maka disuburkan sehingga menjadi iman Ayan atau lebih baik sehingga ke peringkat Haq atau sempurnakan hingga ke tahap iman Haq.

Kata maulana, untuk menjadikan iman tu manis "to feel the hedonism of iman, one shall have most favorite things and it should be Allah and His prophet, Rasulullah (pbuh). One shall love just because of Allah and one shall hate and confront something just because of Allah."

Maulana dan teman Islamic scholar-nya pun memberikan cara bagaimana membuktikan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Penerangannya panjang lebar dan guru meringkaskan dengan menjadikannya satu senarai pendek yang boleh dijadikan check list.

1. Taat kepada suruhan Allah dan menjauhi larangannya serta menurut jejak yang ditinggalkan oleh pesuruhnya

2. Bersedia untuk berkorban harta, nyawa, keinginan dan keghairahan hidup di jalan Allah (jihad fisabilillah)

3. Baca, fahami & ikut petunjuk al-Quran

4. Ikhlas..ikhlas dalam beribadah (semua yang dilakukan kerana Allah adalah ibadah..tidur pun ibadah tau!), ikhlas dalam bersilaturrahim, ikhlas dalam memaafkan

5. Plg penting, kena istiqamah...tak guna kalau hari ni buat semua dan esok lusa jahat pulak. Sebab iman itu letaknya di hati. Kalau tak sentiasa di asuh, bimbang nafsu tahap rendah menguasai.

Salah dan silap minta ditegurkan ya!

wassalam

Monday, December 08, 2008

Ibu: korban terulung

Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Makan pakai yang sederhana, cara berkelakuan yang sederhana, serba sederhanalah! Ibu dan ayah saya bekerjaya. Sejak saya boleh mengingat, ibu memang wanita yang bekerja. Gaji ibu tidak sebesar gaji guru atau misi. Ibu saya seorang pembantu tadbir dan melaksanakan tugas-tugas perkeranian. Ibu tidak belajar tinggi. Sekadar SPM dan terus merantau meninggalkan kampung halaman menuju ke Pulau Mutiara, tempat saya menghabiskan usia remaja dan awal dewasa saya. Atuk melarang keras pada ketika itu. Kata ibu, atuk saya melarangnya merantau ke pulau ini kerana bimbang dia menjadi ‘tak jadi orang’ dan ketika itu, ibu nekad untuk tetap merantau. Ibu tidak mahu bekerja sawah. Ibu geli dengan pacat dan segala jenis lintah. Waktu berangkat ibu semat dalam hati untuk tidak akan pernah menjadi ‘tak jadi orang’ dan ibu telah buktikan kini. Ibu ceritakan lagi pada kami adik beradik, waktu ibu mula bekerja kilang di Pulau Mutiara ini, ibu mengekang belanja makannya. Ibu terlalu berjimat dan berdikit-dikit mengumpul wang simpanan. Itu kisah bujang ibu.

Setelah menikah dengan ayah, ibu mengikut ayah merantau ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, ibu dan ayah membina keluarga kami. Waktu itu kewangan ibu dan ayah belum benar-benar stabil. Abang lahir pada 1982, setahun selepas pernikahan ibu dengan ayah. Ketika itu paksu, adik ayah masih muda mentah. Ayah punya ramai adik-adik yang harus disara. Bersama realiti itu, ibu bersabar untuk hidup bersama ayah. Untuk membolehkan ibu terus bekerja, abang dihantar untuk diasuh oleh nenek, ibu kepada ibu di Kedah. Setiap bulan ibu mengirimkan wang perbelanjaan untuk abang kepada nenek. Saya pula menyusul di bumi Allah ini empat tahun kemudian. Waktu itu abang telah berada di bawah jagaan ibu. Ibu masih muda ketika itu. Baru berusia 28 tahun. Saya dipelihara oleh opah, ibu kepada ayah di Perak dan kemudian dijaga We, abang sulung ayah. Ibu pernah bercerita, sewaktu ingin kembali menjaga saya semasa saya berumur sekitar empat tahun dan membawa saya pulang ke rumah kami yang ketika itu berada di Ampang, saya mengamuk dan berguling-guling sepanjng perjalanan dari Setapak hingga tiba ke rumah. Ibu sangat bersedih pada waktu itu. Saya sebagai anak kandungnya sendiri tidak mahu berdamping dengannya. Mungkin atas sebab itu ibu tidak pernah lagi membenarkan adik-adik saya berjauhan daripadanya. Ketika saya masih kecil hingga bersekolah tadika, ibu sering berulang-alik ke Singapura untuk membeli kain. Waktu itu Mak Long, kakak ibu menetap di sana. Ibu membeli kain ela dalam jumlah yang banyak di Singapura dengan harga yang murah dan menjualnya di Malaysia. Lebih tepat lagi kepada rakan-rakan pejabatnya. Hasil jualan itu ibu simpan berdikit-dikit hingga membolehkan ibu membeli tanah tapak rumah kami sekarang.

Saya sempat rapat dengan ibu semasa di tadika. Kemudian adik lelaki saya lahir ketika saya darjah satu. Berbanding dengan ibu, saya lebih manja dengan ayah ketika di sekolah rendah. Adik perempuan saya lahir semasa saya darjah empat. Dan ketika di sekolah menengah rendah, saya hanya rapat dengan teman-teman sekolah. Saya memberontak dengan menyisihkan diri dari keluarga. Ibu dan ayah saya bekerjaya. Setelah pindah ke desa pinggiran negeri Selangor, ibu dan ayah menghabiskan masa yang banyak di jalan raya, bertarung dengan kesesakan lalu lintas. Ibu dan ayah keluar bekerja sebelum saya bangun tidur dan pulang ke rumah selepas saya selesai makan malam seorang diri dan berkurung di bilik. Begitulah rutin hidup kami. Meski pun begitu sebagai ibu, ibu tidak pernah lupa pada anak-anaknya. Ibu akan mengetuk pintu bilik saya sebelum ibu tidur. Mungkin untuk bertanya khabar. Tapi seringkali pula saya hanya membuka pintu dengan kepala terjenguk dari celahan pintu. Perkataan pertama muncul pada mulut saya adalah “Kenapa?” dan ibu hanya menjawab, “Saja nak tengok Ija buat apa.” Itu kata ibu. Waktu dulu, saya marah pada ibu. Saya mempersoalkan kenapa mesti saya dibesarkan oleh orang lain? Kenapa ibu tak pernah prihatin pada diri saya? Apakah tiada kasih ibu buat diri saya? Kini setelah berusia 22 tahun, peristiwa lapan tahun lalu kini telah saya fahami. Ibu saya tidak di asuh dengan belaian manja daripada nenek dan atuk. Saya sendiri tidak pernah melihat nenek mencium pipi ibu. Begitu juga ibu tidak pernah mencium pipi nenek. Dulu, saya sering membandingkan ibu dengan Mak Long. Mak Long sering memanjakan anak perempuannya yang hanya muda setahun daripada saya. Tapi kemudian saya faham. Mak Long dibesarkan dengan penuh kasih daripada nenak dan atuk. Setiap kali pulang ke kampung, Mak Long pasti mencium nenek. Saya kurang ingat tentang atuk kerana saya kurang memerhatikannya dan kini dia telahpun menyambut panggilan Ilahi.

Saya memberontak ketika di tingkatan tiga. Waktu itu, saya berada dalam zaman kegelapan. Saya bertengkar hebat dengan ibu dan ayah kerana adik. Hampir, saya ingin membunuh diri. Waktu itu saya merasakan ibu memang tidak pernah mengasihi diri saya. Kemudiannya saya sedar, ibu mengasihi saya. Cuma barangkali melalui fasa puberti bukan perkara mudah. Barangkali… . Kesedaran menjengah dalam hati saya ketika saya menjadi penghuni ICU, diikuti dengan wad di HKL untuk seminggu dan bercuti sekolah selama dua bulan. Saya mendapat ciuman ibu yang pertama di dahi saya sepanjang saya boleh mengingat ketika baru sedar daripada pengaruh bius di ICU. Ibu kemudiannya menemani malam-malam saya di wad. Sejurus selepas tamat waktu bekerja, ibu mengunjungi bilik saya di tingkat 2, wad 7 HKL. Ibu menyuap saya makan dan bertanya tentang keperluan saya walaupun waktu itu saya hanya mampu berbisik lemah. Ibu membersihkan muntah yang saya keluarkan sejurus selepas menerima suapan daripada ibu. Ibu mengelap tubuh saya sebelum bertolak ke tempat kerja. Waktu itu ayah bekerja jauh. Adik-adik terpaksa ibu tinggalkan di bawah jagaan opah yang berkunjung ke rumah kami. Waktu itu badan ibu susut lima kilo. Ibu pitam di pejabat. Selepas saya boleh membuka mata sepenuhnya dan tidak lagi dibawah pengaruh dadah pain killer, saya katakan pada ibu supaya pulang ke rumah. Ayah pulang dari tugasnya. Bergilir menjaga saya. Ketika itu saya mula sedar. Ibu mengasihi saya. Kalau tidak, mana mungkin ibu tahu selera saya. Ibu tahu bubur cendawan yang ayah beli tidak sesuai dengan tekak dan kepala saya. Kerana tidak mahu menghampakan ayah yang telah bersusah payah membelinya, saya telan juga bubur berkuah cedawan dengan sos tiram itu. Akibatnya, baru dua suap saya mula mabuk dan pening kepala. Setelah saya boleh duduk sambil bersandar pada kepala katil, ibu tidak lagi menemani malam saya. Sebelum pulang ke rumah, ibu menghantarkan kueteow goreng yang sangat enak untuk makan malam saya kerana saya tidak mampu mengunyah nasi. Satu hari, para doktor membuat kunjungan ke katil saya untuk melihat kemajuan yang saya laksanakan. Para misi pula berusaha menanggalkan pembalut yang menutup luka pembedahan saya. Waktu itu ibu memeluk saya, memegang erat tangan saya. Saya katakan padanya, “ma, sakit.. .” Ibu saya bisikkan kata semangat di telinga saya. Sakit, memang sungguh, sakitnya bagai di siat kulit saya. Saya tidak dapat menahan sakit dan terus pitam.

Ciuman dan pelukan ibu yang kedua saya peroleh ketika berumur 18 tahun. Waktu itu buat pertama kalinya saya perlu berada jauh daripada ibu. Saya menjadi penghuni di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Berbeza dengan ayah yang berpesan “berkawan baik-baik,” ibu berpesan pada saya agar belajar baik-baik. Ibu tahu saya punya cita-cita menggunung tinggi. Saya pernah katakan pada ibu saya ingin belajar hingga ijazah falsafah, PhD. Saya juga pernah katakan pada ibu saya mahu menjadi doktor, tidak kira doktor apapun. Di matrikulasi, keputusan pelajaran saya tidak begitu memberangsangkan. Saya tidak layak mengikuti pengajian perubatan. Saya menyambung pengajian di USM dalam aliran biologi tulen. Kemudian saya ingin sambung belajar lagi tetapi dalam aliran yang berbeza. Meski ayah kurang menggalakkan, meski We sering menjatuhkan, ibu tetap menyokong dan menggalakkan saya. Kelmarin, sejurus selepas saya bertarung menjawab soalan peperiksaan subjek aliran baru saya, ibu menelefon. Saya katakan padanya tentang yuran yang mahal, tentang sara hidup yang tinggi. Sungguh, saya rasa bersalah. Dalam umur 22 tahun ini saya masih belum boleh membalas jasa ibu. Saya belum mampu berdiri dengan dua kaki sendiri. Tiap bulan masih mengharap kiriman wang daripada ibu dalam akaun bank saya. Sungguh, saya malu dengan diri sendiri kerana sebagai anak perempuan sulung saya masih belum boleh berkhidmat untuk ibu. Menjawab panggilan ibu buat saya sebak. Kata ibu, “jangan pikir pasal duit. Dah nak belajar, bukan nak main-main. Takpe, nanti mama bayarkan.” Kata-kata ibu buat air mata saya hampir tumpah. Saya malu dengan diri sendiri. Saya sudah dewasa. Saya sudah berusia 22 tahun tapi masih bergantung bantuan kewangan ayah dan ibu. Ibu sudah 50 tahun. Seringkali ibu mengeluh penat berulang-alik ke tempat kerja. Tapi ibu gagahkan juga. Ayah sudah 56 tahun. Sudah bersara pada awal tahun 2008 ini tapi masih membanting tenaga memenuhi kontrak dengan syarikat lama. Saya malu, dalam usia ini dulu ibu sudah mengirim wang kepada nenek. Ayah sudah mula membantu adik-adiknya. Tapi saya? Masih di Pulau Mutiara cuba menimba ilmu sambil menagih kewangan ayah dan ibu. Saya malu.

Sejurus menamatkan perbualan dengan ibu, saya nekad dalam hati. Satu semester hampir tamat untuk rancangan pengajian ini. Tempoh saya tidak lama lagi. Saya tanam teguh-teguh dalam hati, jasa ibu akan saya tebusi. Saya berjanji pada diri sendiri untuk memenuhi segala keperluan masa tua ibu nanti. Buat ibu yang saya kasihi, meski tidak pernah saya katakan bahawa saya mengasihinya, terima kasih buat segala pengorbanan yang ibu beri. Kepada Tuhan saya berdoa semoga ibu sentiasa dirahmati dan diberkati. Jika diizinkan Allah, jasa ibu akan saya balas. Peluang dan dorongan ibu untuk saya berjuang dalam bidang ini akan saya gunakan sebaik mungkin. Moga setiap sen yang ibu dan ayah berikan akan berbaloi dan mampu saya bayar dengan setimpal.

Ya Tuhanku, kasihi ibu dan ayahku. Sesungguhnya tiada belas dan kasih yang mampu menandingi kasihMu.

Friday, October 31, 2008

Cinta Pertama



Di balik kesibukan yang melanda diri saya sepanjang Oktober ini, saya sempat meluangkan masa untuk mengulang bacaan novel Laskar Pelangi karya Andrea Hirata. Bagi anda yang pernah membaca karya ini pasti mengenali A Ling, cinta pertama Ikal, watak pencerita dalam kisah anak-anak Muhammadiyah di Pulau Belitong. Saya berkenalan dengan karya-karya Andrea Hirata ketika undergraduate lagi. Ketika itu saya di semester 1, tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda. Karya beliau yang pertama saya kenal adalah Sang Pemimpi yang saya dapati di Book Garden, USM – lokasi kegemaran saya di USM selepas bukit di BHEPP. Rentetan daripada itu, saya berusaha untuk mencari kesinambungan kisah Ikal di Popular, Bukit Jambul dan kemudian diikuti dengan penemuan Edensor. Kini, saya sedang menanti kehadiran Maryamah Karpov – pelengkap kepada tetralogi Laskar Pelangi. Selain itu, saya juga sedang berharap agar Laskar Pelangi The Movie bakal muncul di Malaysia.

Kembali kepada Laskar Pelangi. Kisah ini tentang kisah 10 orang anak-anak Sekolah Muhammadiyah di Kepulauan Belitong di Sumatera. 10 watak tersebut adalah Lintang yang saaaaangaaaatttt bijak, Mahar yang tampan dan berseni tetapi sangat taksub dengan alam ketahyulan, Tripani yang juga tampan dan sangat mengasihi ibunya,Harun yang agak lewat pertumbuhan mentalnya, Sahara yang menjaga aurat tetapi sangat tegas, A Kiong si anak Hokkien yang fanatik dengan ketahyulan Mahar, Kucai ketua kelas yang segak, Syahdan yang gemar berbicara dan beromong kosong, Ikal – watak utama kisah ini (saya menganggap bahawa dia adalah Andrea Hirata sendiri) yang telah jatuh cinta buat pertama kali dalam hidupnya dan lewat percintaan itu terputus kerana kekasihnya, A Ling berpindah mengikut bibinya ke Jakarta dan menyambung pelajaran di sana.

Menurut Ikal;

Kini sering kali aku bertanya pada diri sendiri: berapakah jumlah pasangan yang telah mengalami cinta pertama, lalu hanya memiliki satu cinta itu dalam hidupnya, menikah, dan kemudian hanya terpisah kerana Tuhan memanggil salah seorang daripada mereka? Sedikit sekali! Atau mungkin tidak ada! Seperti kedua-dua jawapan tersebut boleh menjadi hipotesis yang meyakinkan untuk pertanyaan kecil seperti itu. Kerana itulah yang umumnya terjadi dalam dunia nyata.

… cinta pertama memang tidak akan mati, tetapi ia juga tidak akan survive.

Begitulah kisah cinta pertama Ikal yang saya rasa turut dirasai oleh hampir semua daripada kita. Saya sendiri punya cerita tentang cinta pertama. Cinta yang berputik daripada rasa kasih dan sayang hasil daripada persahabatan masa kecil. Dalam mengulit kisah cinta pertama Ikal, dia sempat mengatakan bahawa keindahan menjadi anak muda adalah patah hati kerana cinta yang berlangsung selama bertahun-tahun bisa saja pulih dalam waktu tiga hari dan keindahan serta pesona yang lainnya. Sedangkan orang dewasa mungkin memerlukan waktu tiga tahun untuk mengubati kekecewaan kerana hancurnya cinta platonis dalam tiga minggu. Adakah semakin dewasa manusia menjadi semakin tidak positif?

Begitulah keindahan dunia anak-anak. Saya tidak katakan kanak-kanak kerana ketika merasai cinta pertama ini Ikal telahpun menjejak dunia remaja sekolah menengah Muhammadiyah.
Itu kisah Ikal dengan cinta pertamanya. Bagaimana dengan kisah anda? Sedar atau tidak, kita masing-masing punya kisah cinta pertama yang tersendiri. Mungkin indah untuk dikenang atau mungkin saja kisah itu membuatkan kita menyesal kerana dipertemukan dengan orang yang salah. Usah dinafikan, walau cinta pertama itu tidak kekal namun tetap berjaya menyimpan secebis kenangan manis dalam ingatan. Meskipun cinta itu telah pergi, ia pasti telah memalitkan sedikit corak yang membentuk peribadi kita pada hari ini. Lagipun, mana ada cinta yang kekal selain daripada cinta Ilahi kan? Sudah-sudahlah bersedih dengan cinta yang lama. Bawak-bawak lah bermaafan dengan cinta yang lalu. Cukup-cukuplah saling tuduh-menuduh dan menyalahkan. Cinta pertama tu indah dan janganlah dipadamkan keindahannya dengan hanya mengingati yang buruk-buruk.