Wednesday, February 18, 2009

Juang Tiada Pernah Berhujung

juang ini belum tiba ke hujung
jika kau tidak mahu menyertai
berhenti mencemuh
tutup saja mulut mu

juang ini belum tiba ke hujung
walau media berhenti berkata
walau ketua mu punya lain agenda
walau kau cuma berpropaganda

juang ini belum tiba ke hujung
biarpun kau tutup sempadan itu
biarpun kau tak sudi untuk membantu
biarpun kau tinggalkan kami berseteru

juang ini belum tiba ke hujung
meski garis penamat tiada temu
meski kau bunuh aku
meski syahid datang berjamu

juang ini belum tiba ke hujung
sentiasa akan ada yang mengganti
al-Malik akan datangkan kemenangan suatu hari
sehingga itu juang ini terus bersama kami

Akan sentiasa ada wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walau dipinggirkan dan dirintangi kesusahan kecuali ujian (Ilahi) sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian.

Di mana mereka itu?
Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya

ps: jgn pernah berhenti mendoakan para pejuang palestin serta syuhada yang gugur sepanjang penjajahan Zionis

Friday, February 13, 2009

Cita, impian dan angan

Membaca entri teman saya, Aryn tentang kemahuannya di masa akan datang membuatkan saya teringat kepada teman sebilik ketika undergraduate dulu, Zetty Syairah. Zetty pernah mengatakan saya seorang yang punya banyak kemahuan, kenginan dan angan-angan. Terpaksa saya akui, saya memang begitu.

Seingat saya, cita-cita pertama saya mula terbina ketika darjah 1. Waktu itu, jika ditanyakan tentang cita-cita, saya akan menjawab "nak jadi macam abah". Dan jika ditanya abah kerja apa, saya menjawab, "cari minyak". Bapa saya bekerja di syarikat petroleum negara dan kini telahpun bersara. Ketika itu, bapa saya sering outstation (keluar daerah?) ke Bangkok, Terengganu, Miri dan entah ke mana-mana lagi. Saya cuma memandang keinginan saya untuk berjalan merata dunia.

Kemudian seorang ustazah baru muncul di kelas fardhu ain (KAFA) Madrasah Asy-Syakirin, Ampang. Kalau tak silap namanya Ustazah Masyitah. Saya baru darjah 4. Ustazah Masyitah sering bercerita. Satu hari, diceritakannya kisah perjalanan isra' dan mikraj Rasulullah SAW. Ketika merentasi neraka, baginda melihat ramai golongan wanita diseksa di dalamnya. Kemudian ustazah ceritakan lagi tentang aurat seorang perempuan, dosa yang ditanggung sama ada oleh ibu, bapa, atau adik beradik lelakinya. Ustazah ceritakan lagi bila seorang perempuan itu berdosa, maka nerakalah akibatnya. Maka jadilah saya dan teman baik saya, Effida Liyana geng bertudung ketika bermain di taman perumahan kami. Ustazah juga bercerita tentang belajar agama di Al-Azhar, Mesir serta di Jordan. Maka jadilah saya pelajar sekolah rendah darjah 4 yang mahu menjadi ustazah yang belajar agama di Al-Azhar atau di Jordan.

Ketika darjah 6, saya berhenti menghadiri KAFA kerana hilang geng sepasukan. Effida pindah ke Sarawak. Saya jadi tidak berminat untuk belajar agama lagi. Setelah tamat UPSR, ibu mula bimbang kerana saya mula meninggalkan bacaan al-Quran yang sebelumnya menjadi rutin harian saya. Tudung yang menutupi kepala saya juga sudah melayang. Saya bergaul dengan teman-teman dari kalangan mereka yang tergilakan Spice Girls dan BSB. Oh ya! ketika itu Beckham masih bujang (walaupun perut Posh sudah memboyot). Malah seorang teman saya gemarkan rancangan Sex n the City! Waktu ini juga teman-teman ada yang sudah mula menjadi pengacara di Disney Channel. Dengan kuku bercorak dan gambar Nick Carter di mana-mana, saya bersekolah tanpa cita-cita.

Syukur juga ibu bawa saya berpindah ke Rawang sebelum sempat saya menjadi lebih terpengaruh. Di Rawang, saya mula menyimpan cita-cita. Mahu jadi doktor, saya pernah berkata dengan tegas kepada seorang guru kaunseling. Lagipun waktu itu semua orang mahu menjadi doktor. Dan kerana mudahnya saya terpengaruh, saya juga mahu menjadi doktor. Ketika tingkatan 3, saya terbaca kisah pelajar Malaysia di luar negara dalam bidang Farmasi. Maka saya pun mula menyimpan cita-cita mahu menjadi ahli farmasi.

Ketika tingkatan 4, saya ditimpa musibah kesihatan yang jatuh menjunam. Ibu ingatkan saya supaya sentiasa tabah, Waktu itu saya sudah tidak mahu hidup. Saya persoalkan takdir Tuhan. Kemudian saya ditunjukkan tentang kenikmatan hidup. Allah hadirkan 3 lelaki - Mr. Mazwar, Mr. Ozlan dan Mr. Fadzil yang merupakan pakar ortopedik di HKL yang merawat saya. Mereka berikan semangat. Kemudian saya menerima bahawa qada' dan qadar itu ketentuan daripada-Nya. Tidak perlu saya persoalkan. Cukup sekadar menjalaninya dan mengambil ikhtibar. Melihat Mr. Mazwar, saya mula berkeinginan menjadi orang yang berbakti. Ibu saya ceritakan bahawa Mr. Mazwar itu jika ke hospital swasta, gajinya pasti memuncak tinggi. Tapi kerana keinginan untuk berbakti maka ditetapkan juga untuk berada di Wisma kayu HKL. Kalau pergi ke sana sekarang, Institut Ortopedik dan Traumatologi itu telah berpindah ke bangunan baru di sebelahnya. Maka jadilah saya orang yang mahu berbakti kepada manusia. Yang terlintas di kepala, saya mahu membantu saudara di Palestin atau barangkali di Iraq atau mungkin di rumah anak-anak yatim di Malaysia saja. Kemudian setelah 2 bulan tidak bersekolah, guru biologi mengajarkan tentang pewarisan genetik berasaskan teori Mandell. Saya mula menyimpan keinginan untuk menyiasat penyakit saya dan mencari penawarnya. Tiba-tiba saya mahu menjadi ahli genetik.

Kemudiannya di tingkatan 5 guru fizik mengajar tentang nuklear dan separuh nyawa (half-life). Pn Norseha namanya, bercerita tentang kewujudan sebuah institut mengkaji nuklear di Malaysia yang saya lupa namanya. Kebetulan waktu itu timbul krisis nuklear di Korea Utara, Iran, India dan Pakistan. Saya melihat diskriminasi yang dilakukan Amerika keatas negara Islam khususnya Iran. Kemarahan saya ketika itu membuatkan saya menyimpan cita-cita untuk menjadi penghasil (pencipta atau pereka?) bom nuklear di Malaysia. Saya juga pernah terfikir mahu menjadi pengebom berani mati. Kononnya mahu berjihad, mahu mati syahid. Sedangkan waktu itu, perjuangan bukan kerana Allah pun. Sekadar kemarahan dan luapan nafsu remaja semata.

Keputusan subjek Fizik dalam SPM saya sangat teruk. Maka masuklah saya ke Kolej Matrikulasi sebagai pelajar aliran Hayat. Oleh kerana Matematik saya agak cemerlang di sekolah, maka saya pun bercita-cita mahu menjadi guru matematik. Tetapi kemudiannya saya tersedar bahawa bakat saya bukan dalam bidang matematik kerana pada peperiksaan pertengahan semester, saya hanya berjaya memperoleh markah keseluruhan 8 per 100 bagi subjek tersebut. Bertukarlah cita-cita saya dalam semester pertama di matrikulasi itu daripada guru matematik kepada apa2-yang-boleh-jadi-yang-penting-masuk-universiti. Hehehe. Begitulah.

Saya berjaya ke USM sesudah tamat pra-U. Ketika menghadiri taklimat kursus, saya diperkenalkan dengan terma mikrobiologi. Pensyarah yang bercerita kalau tak silap saya adalah Prof Ibrahim Che Omar (ICO) yang kini telah berhijrah ke universiti lain (xtau kat mana..dengar kata ke UMK). Dengan sedikit taklimat, jadilah saya pelajar tahun 1 yang berkobar mahu menjadikan mikrobiologi sebagai major. Cita-cita saya untuk menjadi ahli bom nuklear kembali muncul. Saya mahu mencipta nuklear biologi seperti yang pernah famous suatu ketika dulu, antrax. Sambil-sambil tu, ada juga terlintas mahu buka kilang makanan. Mahu menjadi QC di kilang, mahu jadi laboratorist di makmal terkemuka, mahu cipta ubat baru, mahu mencari penawar HIV/AIDS. Dan oh ya! Tak lupa mahu mencari penawar penyakit saya. Kebetulan, saya perlu belajar subjek genetik. Walaupun ruang untuk melaksanakan kajian (saya cuma lakukan kajian literature..apa ya dalam bahasa melayu? pembacaan kot) berkenaan penyakit saya terhad, syukur saya temui juga secebis pemahaman berkenaan anugerah Tuhan ini. Kaedah rawatan juga saya temui tapi mungkin sedikit bertentangan dengan konsep manusia sebagai ciptaan Allah iaitu rawatan genetik (genetic treatment) yang perlu dilakukan di awal trimester kandungan (senang kata, masa 1st trimester). Saya harap para saintis dan teman-teman saya yang masih dalam bidang ini akan menemui kaedah lain. Kita bukan Tuhan untuk sesuka hati mengubah genetik manusia dan makhluk ciptaan Allah. Ini jugalah antara sebab saya bertukar aliran. Saya tidak sanggup memutasikan segala macam bakteria untuk kemaslahatan manusia. Saya merasa seksaan itu menyelubungi diri saya ketika melakukan projek tahun akhir dulu.

Setelah tamat ijazah pertama, saya menyambung pelajaran dalam aliran sains sosial yang berteraskan Islam. Saya kembali ingat cita-cita saya mahu menjadi ustazah dulu. Pensyarah saya pernah memanggil saya ustazah walaupun saya langsung tiada kelayakan menjadi ustazah dan langsung tidak kelihatan seperti seorang ustazah. Tapi saya aminkan kata-katanya. Mana tahu, satu hari nanti ia menjadi kenyataan. Jika ditanya tentang cita-cita saya kini, maaf saya tidak dapat menjawabnya. Saya sendiri kurang pasti mahu jadi apa. Boleh saja saya kembali kepada bidang biologi. Atau mungkin menyambung belajar ke peringkat tertinggi. Atau menjadi suri rumah dan isteri jika saya punya seorang suami. Tapi saya tak punya suami. Saya juga masih belum tamat master degree. Kalau boleh tak mahu kembali ke bidang biologi.

Saya cuma tahu saya ingin berjaya di dunia dan akhirat. Saya mahu menghasilkan disertasi yang baik dengan kajian yang baik. Saya cuma tahu saya mahu membalas jasa kedua orang tua saya yang berhabis masa, tenaga dan wang ringgit untuk menyekolahkan saya. Saya cuma tahu saya mahu tetap di jalan yang diredhai Allah. Kemana pun jalannya, kemana pun Dia hala kan saya, insyaAllah akan saya ikuti. Cukup jika jalan itu jalan yang terbaik buat saya dan orang yang bergantung kepada saya, baik buat masa ini dan baik buat masa akan datang, baik di sisi Allah serta baik buat agama-Nya.

ps: harap2 ahli ziarah yang sudi berkunjung tidak meraikan Valentine's Day...selami kembali ruh perjuangan Islam dengan keruntuhan Islam di Andalusia

Sunday, February 08, 2009

Anak didik Tok Kura


Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9) bagi tahun 2006-2010 telah memasukkan elemen pembangunan modal insan ke dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Kalau menjenguk ke website rasmi modal insan, ciri-ciri utama modal insan yang ingin dibina menjelang tahun 2020 adalah:
Berilmu
Nilai murni
Sopan santun
Inovatif
Patriotik
Beretika
Berdisiplin
Kreatif
Berkeyakinan
Dinamik
Sihat
Ibn Khaldun menganggar bahawa suatu dinasti kuasa hanya mampu bertahan sekitar tiga generasi. Generasi pertama terdiri daripada mereka yang berjuang mendapatkan kuasa (mungkin kemerdekaan jika di Malaysia). Generasi kedua adalah generasi yang mendengar kisah kesusahan perjuangan tersebut manakala generasi ketiga adalah generasi yang senang lenang, tidak mengetahui tentang kesusahan untuk memperoleh kuasa tersebut serta membenci pemimpinnya sendiri. Jika anda meneliti fenomena politik tanah air hari INI! anda mungkin boleh merasakan betapa kita berada di antara generasi kedua dan ketiga. Meskipun ada yang mengatakan satu generasi berusia 40 tahun (berdasarkan ayat Quran yang saya lupa), meskipun Malaysia ini baru berusia 51 tahun lebih sedikit.

Modal insan yang bagaimana agaknya mahu dilahirkan oleh pemimpin-pemimpin kita? Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Malah saya tidak mengundi pun ketika PRU ke-12 pada tahun lalu. Namun saat memerhati, hati saya terdetik. Mana perginya pegangan KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN dalam rukun negara yang dipegang oleh pemimpin-pemimpin kita? Besar sungguhkah kuasa di muka bumi yang ingin dikejar hingga sanggup mengkhianati rakyat sendiri? Saya sedih melihat nasib negeri kuning hitam putih yang kaya dengan galian ini. Sayang, negeri tempat saya diasuh meski hanya seketika waktu bayi dulu menjadi begini. Modal insan dalam PIPP bertujuan untuk diterapkan kepada anak-anak sekolah. Tak termampu fikiran saya membayangkan kesan penerapan modal insan ini. Akan terbentukkah modal insan yang bernilai murni dengan tabiat lompat melompat ahli siasah kita? Akan sopan dan santunkah modal insan Malaysia dengan perangai fitnah memfitnah dan cakap tak serupa bikin pemimpin kita? Akan beretika dan berbudi pekertikah anak bangsa kita dengan cuaca politik Malaysia ini?

Semenanjung ini semenanjung emas. Lautnya perak….

Moga Allah sentiasa menjauhkan kita daripada amanah yang terpecah, maruah yang tercalar, daripada kemunafikan dan kemusyrikan. Ya Allah yang memiliki kekuasaan, yang memberi kuasa dan menjatuhkannya, yang meninggikan kedudukan manusia dan merendahkannya, tunjukkanlah jalan pada kami. Berikan kami bimbingan. Kirimkan kami penguasa yang memimpin kami di jalan Mu. Kirimkan kami bala tentera yang berjuang di jalan Mu. Berikan kami hidayah Mu, agar perjuangan kami tidak terkabur dengan tamak haloba nafsu kami. Amin.

ps: buat teman-teman dr ilmu pendidikan, semoga tabah dan sabar mengharungi LM..bukan mudah jadi guru, tapi besar pahalanya!

Wednesday, January 14, 2009

tombo ati

Tombo ati iku ono limo perkorone
Kaping pisan moco Qur'an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe
Salah sawijine sopo biso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti Allah nyembadani

Ubat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua solat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima zikir malam perpanjang lah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga gusti Allah mencukupi

ps: ada yg kata ini puisi oleh wali songo (wali yang 9), juga ditemui dalam koleksi puisi oleh Emha Ainun Nadjib (bapa Noe Letto)..mengenal lagu ini daripada Opick

Friday, January 09, 2009

Perhimpunan Aman - Sg. Dua Entrance/Al-Malik Khalid


Sempat capture beberapa foto. Ini kali pertama saya berpiket..tapi perhimpunannya kurang sambutan. Tengok sendiri lah ye~

banner yang ditanda tangankan oleh para siswa USM...macam-macam yang ditulis

tengok dari jauh...tengah hari..panas

capture dari belakang..dapat gambar belakang je la..hehe

Ababil

Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah? Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar, sehingga mereka dijadikanNya seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Al-fil (gajah)

Teringat waktu masih darjah 3. Ustazah ajar sirah dalam Surah Al-Fil. Kata ustazah, waktu tu tentera Abrahah menaiki gajah sebagai kenderaan perang datang ke Kota Mekah. Berhajat memusnahkan Mekah dan Kaabah utamanya. Tiba-tida datang burung-burung membawa batu. Ustazah kata batu itu dari neraka. Panasnya, hingga menghancurkan. Burung-burung kecil itu bernama Ababil. Tahun itu Nabi SAW lahir. Mekahpun selamat. Tidak dihancurkan. Melainkan tentera bergajah itulah yang binasa.

Semalam, ada bacaan yasin dan doa khas buat Palestin. Imam bacakan sekali surah Al-Fil. Terfikir, bila agaknya Allah nak datangkan ‘ababil’ untuk menghadapi Israel. Hari ini, sebelum solat Jumaat ada perhimpunan aman depan masjid. Lancar tabung amal Palestin. Sambil berdiri agak jauh dari jemaah, sebab terlewat (malu nak pegi dekat). Terfikir…adakah tercebis sedikit kesan dengan apa yang kita lakukan? Terpandangkah perhimpunan ini dek Israel? Pedulikah tanda tangan dan memorandum dari mahasiswa ini dek Amerika atau Liga Arab? Sambil-sambil perhati. Mahasiswa ni nampak macam hepi je dok turunkan tanda tangan. Takpelah, ikhlas milik Allah cuma.

Monday, January 05, 2009

Dinding, cathedral atau masjid..penuh darah

Salam
Sedang sibuk dengan urusan dunia. Singgah di kafe. Buletin 1.30. Israel buat hal lagi. Che' Det pun dah keluar suara. Pak Lah dah bercakap. Tok Guru tentu bersedih. Ramai yang dah gugur. Doa dari jauh, moga pergi peroleh syahid.

Palestin berdarah lagi. Mesir duduk termangu. UAE bising-bising tapi tak buat apa pun. Kata asabiyah..apsal, Palestin tu bukan Arab? Gencatan senjata konon..sudah lah! Taktik lama. US, dok jauh-jauh. Rundingan damai apanya kalau Hamas berdiam, yang sebelah sana pulak rancak mengebom.

Perang dalam Islam memang diharuskan. Tapi Islam meletakkan perang yang adil. Perempuan, orang tua, dan anak-anak kecil tu tak boleh diusik. Tapi yelah. Kita adil macam manapun, sendiri merasa dia bangsa terhebat di muka bumi. Sendiri menganggap diri anak Tuhan. Anak Tuhan hingga boleh membunuh sewenangnya.

Elok pulak tu. Orang kita sibuk urusan dunia. Sibuk urusan suka-suka sebenarnya. Sambut new year gila-gila. Minum khamar bergelempang kat Gurney, tambah pulak dengan siswa siswi Uni Suka Meeting seronok melepak berpasang-pasangan di benteng depan Queensbay. Chanteq sungguh akhlak kita. Tak tau lah...Semenanjung Gaza dah lama bergolak. Baru je lepas para Yahudi meraikan pendudukannya yang ke-60. Tapi kita tak sedar-sedar. Semua ghaflah. Orang lain dok ambik sikit, sikit. Memang, tanah kita bukan tanah warisan Nabi Ibrahim a.s macam Palestin. Memang, tanah kita tiada dinding tembok untuk meratap, tiada cathedral di bukit suci, memang kita tiada masjid yang menjadi kiblat pertama. Tapi tanah ini semenanjung emas. Tuhan dah janji...Dia akan datangkan satu kaum yang lebih hebat, yang bakal menzalimi kita kalau kita leka dengan nikmat. Dah tiba masa untuk kita sedar diri. Tanah ini tanah emas, lautnya perak.

ps: tadahkan tangan, sama-sama berdoa untuk saudara kita di Palestin...walaupun hidup bergelimpang dengan penderitaan, semoga hati tetap tenang dengan tawakal pada Allah.