Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Saturday, September 24, 2011
Sunnatullah
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Monday, September 19, 2011
Abah, abah dan abah
Ibu dan ayah saya bekerja. Waktu saya di tadika, mereka menghantarkan saya ke rumah pengasuh yang saya panggil Mak Yam dan Abah. Saya cuma satu tahun muda daripada anak bongsunya. Tapi, anak bongsunya lebih rapat dengan Mak Yam. Manjanya saya dengan Abah, lebih dari manja anak bongsunya sendiri.
Petang-petang, selepas pulang dari bekerja, Abah selalu bawa saya berjalan-jalan sekitar taman perumahan kami. Kalau Abah ada di rumah, jarang sekali saya mahu duduk di atas kerusi. Riba Abah menjadi tempat duduk kegemaran saya. Selalu saja, saat keletihan pulang bekerja memandu teksi, Abah meminta saya memijak belakang tubuh dan kakinya. Sering, belakang Abah menjadi kuda olok-olok saya.

Akhirnya selepas tujuh tahun menjadi anak bongsu dalam sebuah keluarga kecil, ibu mengandung adik lelaki saya. Ibu carikan pembantu rumah kerana tak terlarat mengurus rumah. Saya tak lagi duduk di rumah Abah. Saya semakin besar dan Abah punya anak-anak lain yang diasuh bersama isterinya.
Waktu saya darjah empat, ibu bersalin adik bongsu saya. Sakit ibu datang mengejut. Ayah saya meminta bantuan Abah untuk menjaga kami tiga beradik ketika ayah perlu menemani ibu di hospital. Abah datang tengah malam di hospital untuk mengambil kami. Rasa takut saya hilang. Abah bersama kami, menemani dan menjaga kami.
Ketika umur saya 13 tahun, kami sekeluarga pindah ke Rawang. Dan sejak itu saya tidak bertemu lagi dengan Abah sehinggalah saya masuk ke universiti. Abah sakit waktu itu dan kami sekeluarga menjenguknya. Saya nampak air matanya bergenang. Mungkin air mata gembira. Mungkin juga kerana rindu. Lelaki gagah yang selalu meriba dan mendukung saya sudah semakin susut. Waktu itu saya tahu, walaupun Abah mengasuh terlalu ramai anak, tapi saya tetap yang 'anak bongsu' dalam hatinya.
Kali terakhir saya bertemu Abah ketika majlis perkahwinan abang saya. Abah dan Mak Yam bersama anak-anak mereka datang menghadiri majlis itu di rumah kami. Sebaik saja sampai, Abah terus bertanyakan tentang saya yang waktu itu sibuk di dapur. Makcik-makcik saya jenuh mencari. Saya menyahut. Saya nampak Abah, lalu berjalan kepadanya. Abah meluru kepada saya. Jalannya lemah bertongkat, tapi dia gagahkan juga.
Raya lepas, berulang kali saya katakan kepada ayah, saya mahu melawat Abah. Saya rindu padanya. Rindu sungguh-sungguh. Tiga tahun tidak bertemu dengannya. Dan sepanjang Ramadhan lalu, saya sering saja teringat akan dirinya. Tapi cuti seminggu ketika raya tak memberi kesempatan buat saya untuk melawat Abah.
Semalam, Abah telah pergi. Allah telah menjemput Abah untuk menemui-Nya pada 20 Syawal yang dingin dan hujan. Abah pergi meninggalkan rindu yang teramat dalam diri saya. Abah pergi meninggalkan rasa terkilan yang amat sangat dalam hati saya.
Air mata saya tak mahu berhenti. Tapi ia masih tak mampu membawa pergi rasa duka ini. Saya harap Abah maafkan saya dan saya harap, harap dengan amat sangat agar Allah merahmati Arwah Abah, mengampunkan dosa-dosanya dan meletakkannya bersama-sama hamba-Nya yang Dia redhai.
al-Fatihah untuk Abah.
Belasungkawa
Wak Rahman
Taman Dagang Jaya, Ampang, Selangor
Saturday, September 17, 2011
Rayuan hamba
| رَبِّ زدْنيِ عِلْماً وَ رْزُقْنيِ فَهْماً |
| Rabbi zidni 'ilman war zuqni fahman |
| O Allah! Advance me in Knowledge and true understanding |
source: Muslim Student Organization, University of Missouri
Wednesday, September 14, 2011
Seloka Cak Kun Cak
oleh M. Nasir & S.M. Salim
Satu masa yang telah silam
Tak dapat diambil kembali
Melayu mashyur serata alam
Hidup mewah gagah sekali
Pahlawan kita nama terbilang
Ditakuti ramai perwira
Melawan musuh tak terbilang
Gerak semangat kerana bangsa
Kelekaan jangan dikenang
Lautan duka kelak direnang
Hampir tinggal sehelai benang
Bencana sengaja dipinang
Jika perhati bangsa dagang
Kapak beliung di tangan memegang
Kekayaan hendak diregang
Akhirnya saudagar pangkat dijulang
Disulami syair termashyur
Usahlah berdengkur
Kita yang bertafakur
Yang mana khilaf tegur menegur
La..la…la..la…
Kulitnya bersih, hati pun bersih
Budi yang baik hatinya pengasih
Kulitnya bersih hatipun bersih
Memikul belati tiada memilih
Jadikan bersih hatipun bersih
Berkata bermulut fasih
Jadikan bersih, hatipun bersih
Dialah khazanah pintu terpilih
a.a.aa…aa
Awak yang payah membelah ruyung
Orang bertandang yang beroleh untung
Akhirnya kita tak akan dihitung
foto: Bedar Melayu-dari kulit buku Bedar Sukma Bisu oleh Faisal Tehrani
Tamakkah saya bila membayangkan semenanjung emas tidak pernah di tipu dengan helah Portugis, dipijak oleh Belanda, dijarah oleh Inggeris, di cabul oleh Jepun, di sentuh komunis dan di intai penjajah-penjajah moden?
Selamat Hari Malaysia!
Wednesday, September 07, 2011
Raya FAQ
Kedah, atau lebih spesifik lagi di Kota Sarang Semut adalah kampung halaman ibu saya. Nenek saya menetap di sana bersama Maklong. Saya kerap juga ke Kedah untuk menemani nenek jika Maklong perlu bekerja shif malam dan nenek keseorangan di kediamannya. Anak-anak Maklong dua dari tiga orang menyambut 1 Syawal di Kedah. Meriah juga bila semua sudah berhimpun. Memandangkan sepupu saya dari belah ibu cuma 3 orang jadi tak banyak yang kami bualkan. Yelah, selepas Arwah Pakcik meninggal dunia, ibu saya Cuma tinggal dua beradik. Masing-masing boleh update informasi satu sama lain hanya dengan bertanya kepada ibu masing-masing. Jadi, FAQ di Kedah cuma lah, “Ija tak panas?” atau “Nak pergi mana?” Soalan-soalan ini timbul kerana saya bertudung di dalam rumah dengan baju lengan panjang. Bila berlengan pendek, sweater menjadi peneman. Alhamdulillah, rumah nenek saya yang terkenal dengan kehangatan dan kepanasannya saya rasakan amat dingin. Sampai menggigil-gigil. Mungkin sebab saya kurang sihat waktu itu. Atau mungkin saja sebab Allah nak tolong saya :)
Di Perak, atau lebih tepat lagi di Jalong, Sungai Siput Utara, sampai saja di rumah Opah bertalu-talu pertanyaan hadir kepada saya. Soalan pertama oleh Opah, “Siapa ni?” Opah saya sudah uzur. Saya sempat bertemu dengannya ketika Ramadhan lalu selepas hampir setahun tak bertemu Opah. Ketika Ramadhan lalu, beliau masih mengenali saya. Saya berkata perlahan di telinga Opah, “Ija ni,” Opah angguk sambil tersenyum. Waktu bersalam dengan makcik-makcik dan para sepupu yang tak dapat saya hitung kerana terlalu ramai, muncul FAQ terulung (kerana berulang-ulang pertanyaan yang sama).
1. “Ija dah kerja?” atau “Kak Ija dah kerja?”
2. “Kak Ija kerja apa? Tutor ke?”
Tak tahu juga sebenarnya nak jawab macam mana. Sebab kalau kata saya tidak bekerja, hampir setiap hari saya harus ke pejabat. Saya tak boleh pulang bercuti sesuka hati. Saya terikat dengan aktiviti sama ada di ISDEV (salah satu pusat kajian di pusat pengajian kami). Saya juga terikat dengan aktiviti pusat pengajian mahupun universiti. Tapi kalau nak kata saya sudah berkerja, saya tiada slip gaji. Saya juga tiada KWSP atau apa-apa yang berkaitan dengan ‘employer-employee’. Saya masih pelajar sepenuh masa. Jadi saya Cuma dapat menjawab bahawa saya bukan tutor. Job description saya luas. Dari membasuh pinggan dan menghantar surat hinggalah mengelolakan bengkel pasca siswazah antarabangsa dan menyediakan proposal geran ratusan ribu ringgit.
Okay, kalau macam tu apa jawatan saya sebenarnya? Kalau lihat di surat tawaran, jawatan saya ialah ‘Felo Rancangan Latihan Kakitangan Akademik (RLKA)’. Saya pemegang biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi – Universiti Sains Malaysia. Alhamdulillah, setiap bulan saya menerima 'gaji' dari USM dan selang beberapa bulan saya menerima elaun dari KPT. Terima kasih kepada pembayar cukai sekalian, Raya kali ini saya dapat menghulur serba sedikit duit raya. Sungguh! Memang sikit! Minta maaf la. Duit biasiswa ni tak boleh nak diboros-boroskan. Berbeza dengan bahagian lain di pusat pengajian kami, ISDEV sangat mementingkan latihan pemegang-pemegang biasiswanya. Kalau di tempat lain, mereka Cuma mahu laporan prestasi dihantar setiap 6 bulan. Tapi di ISDEV, saya perlu ke pejabat setiap hari dan mengikuti aktiviti ISDEV malah masuk ke kelas pelajar Masters. Saya tak perlu mengajar kerana penyelia saya merangkap bakal atasan saya mempunyai GA (Graduate Assistant) nya sendiri. Jadi, boleh kata yang job description saya adalah melakukan dengan sebaik mungkin apa yang diminta oleh penyelia saya. Tapi tetap, saya masih pelajar sepenuh masa. Dan saya menerima wang dari KPT dan USM untuk belajar. InsyaAllah, habis pengajian nanti kontrak saya akan berjalan selama 7 tahun dengan ISDEV-Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan-USM. KPT? Asalkan saya tidak cabut lari ke luar Negara, mereka tak kisah sangat.
Ketika menyambut Syawal di Rawang, saya sempat menjemput rakan-rakan Non-Muslim yang rapat dengan saya ketika sekolah menengah dulu bertandang ke rumah. Kalaivany, Shalini dan Thulasi. Mereka bertiga memang rapat rapat dengan saya terutamanya ketika di tingkatan 4 dan 5. Kelas saya Cuma ada 5 orang pelajar Melayu. 4 daripadanya perempuan dan seorang lagi lelaki. Tapi memandangkan dari tingkatan 1 saya sudah duduk semeja dengan Kalaivany, jadi tak ada masalah untuk kami terus rapat sampai habis sekolah. Mereka juga pernah berusaha mencarikan teman lelaki untuk saya selepas kami tamat sekolah. Tapi waktu itu saya terlalu sibuk mengejar kuliah dan assignment di kolej matrikulasi maka lelaki tersebut mengadu pada mereka yang saya tidak mengendahkannya. Sudahnya, Kalai dan Shalini tidak lagi berusaha mencarikan teman lelaki untuk saya.
Kalai-Shalini-Thulasi ketiga-tiganya punya FAQ yang sama buat saya.
1. Sudah habis masters?
2. Bila nak kahwin?
Bila saya kata saya sudah habis masters dan sedang menyambung lagi pengajian saya, mereka bertiga terkejut. Siapa sangka kan? Saya dulu cukup malas membuat kerja sekolah. Siap pernah kena panggil oleh cikgu Fizik sebab tak buat laporan amali. Tapi sekarang, belajar tak habis-habis! Untuk soalan kedua, saya Cuma senyum sambil berkata penuh riang, “I tak ada calon la. You all bila nak kahwin, semua dah ada pasangan kan?” Dan di situ saya dapat tahu, Shalini sudahpun ‘legally-married’. Tahun depan mungkin akan berkahwin secara adat pula. Kalai juga akan melangsungkan perkahwinan tahundepan. Dan Thulasi pula sedang menunggu buah hatinya menghabiskan houseman ship di hospital di Johor. Lebih 3 tahun tak jumpa rakan-rakan India saya ini, banyak yang sudah berubah. Tapi kata mereka, saya masih sama. Cekeding macam dulu. Haha.
FAQ raya ini, maaflah bila tak dapat menjawab dengan tepat. Sebenarnya bila muncul pertanyaan-pertanyaan di atas, saya secepat mungkin cuba mengubah kepada topik lain. Bukan tak mahu jawab tapi kadang-kadang saya tak tahu nak jawab macam mana. Harap-harap tak ada yang berkecil hati dengan cara dan sikap tidak serious saya.
ps: sedang berusaha meneruskan cara Ramadhan. Tapi susahnya, bukan kepalang!
Saturday, August 27, 2011
30 hari mencari cinta
Semoga Aidilfitri ini, kita sudah kembali kepada fitrah. Dan dapat mengekalkan kesucian fitrah itu.
Salam lebaran semua. Aidilfitri ini, jangan sengaja menambah dosa ya.
Mohon maaf segala silap dan salah dari hujung selendang sampai hujung sarung kaki.
ps: tiba-tiba rasa kosong. Agaknya cinta yang dicari masih tak mahu kembang mekar dalam hati
Monday, August 22, 2011
Keluh Kesah Bersama Kak Esah
Sebagai manusia, hidup tak terlepas dari dugaan, cabaran, kesusahan, rintangan. Kadang-kadang situasi menyusahkan kita. Kadang-kadang, orang lain menyusahkan kita. Dan kadang-kadang, kita yang cari susah sendiri. Dan bila ditimpa kesusahan, kita suka mengeluh. Ada juga yang bila orang lain mendapat kesenangan, kita mengeluh. Sambil hati berkata, "Kan best kalau aku dapat macam tu".
Tak ada idea nak tulis tesis. Mengeluh.
Penyelia suruh perbaiki tulisan. Mengeluh.
Dapat kad jemputan kawan. Mengeluh.
Pensyarah bagi kerja tambahan. Mengeluh.
Nenek suruh balik kampung. Mengeluh.
Mak suruh balik rumah. Mengeluh.
Kawan-kawan bising sebab lama tak jumpa. Mengeluh.
Demam + batuk + selsema. Mengeluh.
Sakit kepala. Mengeluh.
Panas. Mengeluh.
Hujan + sejuk. Mengeluh.
Puasa tertinggal banyak hari sebab Allah bagi cuti. Mengeluh.
Kena ulang buat bajet untuk geran penyelidikan. Mengeluh.
Tinggal sorang-sorang kat hostel sebab orang lain semua dah balik beraya. Mengeluh.
Anak buat perangai. Mengeluh.
Suami tak memahami. Mengeluh.
Berebut nak balik rumah mak atau rumah mak mertua. Mengeluh.
Kuih raya banyak tapi rasa semua sama. Mengeluh.
Tayar kereta pancit kat highway masa dalam perjalanan balik kampung nak sambut raya. Mengeluh.
Kena kemas rumah untuk raya. Mengeluh.
Kena tolong mak masak hidangan raya. Mengeluh.
Ramadhan ada lagi seminggu, imam masjid baca surah panjang sangat. Mengeluh.
Selipar hilang kat masjid. Mengeluh.
Fuh!~
Banyaknya sebab untuk mengeluh. Ada antara yang di atas ni merupakan situasi saya sendiri. Sedaya upaya untuk tak mengeluh. Tapi kadang-kadang, ye lah. Nama pun manusia kan. Tak sedar, nafas panjang yang ditarik terkeluar sebagai keluhan.
Cuma saya nak ajak kawan-kawan semua, bila kita ditimpa kesusahan, derita ataupun rintangan, ingat bahawa ada yang lebih susah dari kita. Sebab, setiap orang ada dugaan masing-masing.
Sebenarnya satu saja yang saya mahu kongsi dengan kawan-kawan semua. "Bila rasa susah, ada yang lagi susah. Bila rasa payah, ada yang lagi payah"
Bukan kita je hidup dengan masalah. Ada berjuta orang di luar sana dengan ceritera masing-masing. Ada kita kisah? Tak kan? Yang kita tahu, mengeluh dengan dugaan yang macam secubit garam kat laut.
Tak ada idea nak tulis tesis? Pi baca komik ujang. Gelak-gelak sikit. Mana tau dapat ilham. Tapi lagi baik kalau buat solat sunat.
Penyelia suruh perbaiki tulisan? At least dia baca! Buatnya dia peram pastu dok kata Okay okay tapi bila viva voce, gedebuk kita kena dengan pemeriksa. Tak ke naya?
Dapat kad jemputan kawan? Dah jodoh dia sampai dulu. Lagipun, kan Allah dah janji setiap orang ada pasangannya. Kalau tak ada kat dunia, ada kat syurga. Er..itupun kalau masuk syurga la.
Pensyarah bagi kerja tambahan? Okay what? Dapat timba pengalaman. Esok-esok, bila kita jadi pensyarah, kita tau semua benda. Bagus kan!
Nenek suruh balik kampung? Ambik la peluang ni nak tengok sawah bendang, kejar ayam walaupun ayam kat rumah nenek dah mati (huwa!!!!). Takpe lah. At least dah tak ada makhluk yang mengotorkan lantai rumah tu dengan tinja-tinjanya.
Mak suruh balik rumah? La. Ini pun nak mengeluh? Kalau saya, seronok je. Cepat je mintak izin kat penyelia nak balik tengok mak. Hehe.
Kawan-kawan bising sebab lama tak jumpa? Fire diorang balik. Bila kita balik rumah, diorang sibuk lah apa lah. Dah balik Penang baru nak terkial-kial kata lama tak jumpa. Backhand kang!
Demam + batuk + selsema? Peluang ni. Allah nak bagi peluang kita tebus dosa-dosa kita.
Sakit kepala? Er..sila baca pernyataan di atas.
Panas? Dah kata Malaysia. Bagus apa. Sauna free. Bukan murah bayaran sauna kat Malaysia ni. Kalau sauna kat rumah, memang naik la bil elektrik.
Hujan + sejuk? Ini lagi bagus. Tak payah sibuk-sibuk nak basuh motor. Hujan dah tolong basuhkan. Hehe.
Puasa tertinggal banyak hari sebab Allah bagi cuti? Tu tandanya kita ni wanita normal. Tak mengandung, belum monapouse, dan tidak menghadapi masalah wanita yang lainnya.
Kena ulang buat bajet untuk geran penyelidikan? Anggap je ini peluang untuk kita asah kebolehan dan kemahiran menggunakan Excel :)
Tinggal sorang-sorang kat hostel sebab orang lain semua dah balik beraya? Okay lah tu. Nak buat konsert nyanyi lagu raya ke. Nak buat TV marathon kat bilik TV ke. Tak ada siapa pun nak kacau kan?
Anak buat perangai? Kurang-kurang kita ada anak. Ada orang dah kahwin berpuluh tahun, ada anak kucing je.
Suami tak memahami? Kurang-kurang kita ada suami. Statistik Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat kata, peratus wanita 25 tahun ke atas yang belum berkahwin lebih tinggi berbanding lelaki tau. (Okay, wan.haniza tiba-tiba panik sebab umurnya dah dekat sangat dengan statistik tu).
Berebut nak balik rumah mak atau rumah mak mertua? Gilir-gilir la. Macam tak biasa pulak
Kuih raya banyak tapi rasa semua sama? Siapa suruh buat 'kuih tunjuk'? Tapikan, at least kita ada kuih. Tu yang kat Somalia tu. Jangan kata kuih. Nak dapat sebotol air bersih pun susah tau!
Tayar kereta pancit kat highway masa dalam perjalanan balik kampung nak sambut raya? Tu tandanya kita berkemampuan punya kereta. Kalau tak mampu, sila naik bas (macam saya).
Kena kemas rumah untuk raya? Tak nak kemas pun tak apa. Biar macam tongkang pecah. Ada orang kisah? Tapi nampak benor le awak tu pemalas kan~
Kena tolong mak masak hidangan raya? Ada juga benda nak dimasak dimakan. Saudara-saudara kita kat Palestin tu, ramai yang beraya tanpa hidangan istewa, cuma darah dan air mata je.
Ramadhan ada lagi seminggu, imam masjid baca surah panjang sangat? Kurang-kurang, Allah bagi kita kesempatan untuk mendengar. Buatnya Dia bagi kita pekak? Ha, terus tak dapat dengan. Jangan harap nak dapat dengar bacaan merdu adik-adik sekolah tahfiz tu dah.
Selipar hilang kat masjid? Balik je la kaki ayam. Esok-esok tak usah pakai selipar dah. Tak ada la orang nak curi. Kan? Kurang-kurang kita ada selipar. Orang yang tak ada kaki tu, terus tak boleh pakai selipar.
Ada banyak alasan boleh kita bina untuk elakkan daripada mengeluh ni. Jadi, tak usah mengeluh lagi ya! Be positive! Bersyukur selalu dengan nikmat Allah. Percaya bahawa apapun, tak kira sama ada kita rasa baik atau buruk, semuanya datang dari Allah. Mungkin sesetengah tu sebab kelemahan kita sendiri. Mungkin sesetengah lagi Allah nak bagi kita peluang tambah pahala.
Kata kuncinya, BERSYUKUR. Setiap perkara ada hikmahnya. Kerja Tuhan, siapa tahu? Kan?
ps: siang demam, lepas isyak, elok pula. Pelik lah.
