Monday, December 31, 2012

Post akhir tahun

Assalamualaikum

Alhamdulillah, dah lebih sebulan kita merasa hidup dalam tahun 1434 Hijrah (17 Safar). Dan hari ini kita dah berada pada hari terakhir untuk tahun Masihi. Sekejapnya masa berlalu kan. Sampai ada pepatah Arab kata, "Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu." Oh ~ tiba-tiba rasa macam kena penggal je.

2012 terasa macam satu mimpi. Mimpi ngeri yang buat tidur jadi tak berapa nak nyenyak. Mimpi ngeri yang buat pagi terasa lelah dan tidak damai. Tapi anehnya, mimpi-mimpi ngeri itu tak menakutkan. Begitulah perasaan saya tentang 2012. Mungkin sebab Allah dah beri kekuatan dan keberanian untuk berdepan dengan mimpi-mimpi yang tak best tu. Mungkin juga sebab semuanya datang bertubi-tubi. Sampai dah tak rasa apa-apa. Kata pepatah Melayu, "Alah bisa tegal biasa". Tapi kan, kadang-kadang rasa juga penat tu. Penat sampai rasa mahu jadi batu atau pokok atau apa-apa aja yang tak memerlukan berfikir. Tapi Alhamdulillah, Allah jadikan saya (dan kita semua) sebagai manusia yang penuh dengan peluang dan kesempatan untuk pilih bagaimana kita mahu hidup.

2013, rasa letih dan teruja berbaur dan bertingkah. Saya tinggalkan 2012 ini dengan pesanan buat diri sendiri - menjadi seorang Muslim adalah pilihan saya dan tak ada apa lagi yang saya mahu jadi. Alhamdulillah, terima kasih Allah.

 
Alhamdulillah - Dawud Wharnsby Ali

I'm just a rock, and everyday I sit and watch the sky
I sleep here in the sun and rain, and do not question why
I don't want to be a bird, 'cause as rocks we're never meant to fly
But you can sit and rest on me when you pass by
Alhamdulillah - Alhamdulillah I'm a rock
And that is all Allah asks of me
Alhamdulillah - Alhamdulillah I'm a Muslim
And there's nothing else I'd rather be

I'm just a tree and this is the only life I'll ever know
I'll bow my bows and worship whenever I feel the wind blow
And my purpose in life is to grow and Allah says grow
And be a home for the birds and shade for folks below
Alhamdulillah - Alhamdulillah I'm a tree
And that is all Allah asks of me
Alhamdulillah - Alhamdulillah I'm a Muslim
And there's nothing else I'd rather be

I'm just a person and my life is full of opportunity
I can travel through the world, over land and over sea
But will I choose the path of Truth, or a path to misguide me?
Sometimes I wish I had a simple life, just like a rock or a tree
But Alhamdulillah - Alhamdulillah I'm a person
And Allah has given me a choice that's free

So, Alhamdulillah - I choose to be a Muslim
And there's nothing else I'd rather be
No, there's nothing else I'd rather be

Thursday, November 15, 2012

Selamat Berhijrah!

Assalamualaikum

Alhamdulillah, setahun dah berlalu. Maknanya, bertambah lagi setahun kiraan tahun Hijrah kita. Biasanya tahun baharu kita semua sibuk buat azam baharu. Azam lama belum tertunai, kita carry on tahun ini pula.

Alhamdulillah, penghujung 1433 (minggu lepas) saya diberi kesempatan berkunjung ke Brunei Darussalam bersama Tok Guru saya serta dua orang pensyarah lain. InsyaAllah, banyak yang saya belajar. Beberapa hari pulang dari Brunei, saya terima emel layang menegur cara saya berpakaian. Katanya, kalau berbaju kurung lebih comel berbanding dengan berseluar. Dan ada juga sedikit ayat yang kurang proper untuk ditulis di sini.

Mula-mula baca emel tersebut, terkejut juga. Wah! Macam ahli politik pula terima emel layang! Syukur pun ya juga. Ada juga makhluk Allah yang sudi menegur saya. Walaupun saya rasa ayatnya tak berapa nak proper, tapi yang penting isinya kan. Terima kasih tak terhingga buat si pelayang emel yang sudi melayangkan emel memberi teguran walaupun dalam masa yang sama memberi kutukan. Semoga Allah membalas budinya. Saya nak balas tak boleh sebab saya tak tahu siapa pelayangnya. Pelayang emel tersebut menggunakan nama Wan Azizah Mahzan. Epik sungguh! Terbayang aktres Azizah Mahzan yang berlakon jadi Datin Sufiyah dalam Ombak Rindu.


Saya pernah ditegur tentang perwatakan saya yang sedikit kasar dan kegemaran saya memakai seluar. Malah saya juga pernah dikutuk sebagai anti lelaki sebab saya agak garang dengan lelaki. Mulut orang, bukan mulut tempayan. Mulut tempayan boleh lah kita tutup tapi mulut orang, nak tutup dengan apa? Kot satu hari nanti Allah bagi bisu pun, tangannya masih boleh menaip mengata orang kan? Nak buat macam mana, saya membesar dengan abang dan abang sepupu serta kawan-kawan abang. Main basikal, panjat pokok memang perkara biasa. Bila abang masuk asrama, tanggungjawab sebagai anak sulung jatuh ke bahu saya. Waktu tingkatan 3, saya dipaksa belajar membawa motorsikal. Mula-mula memang takut. Tapi setelah 11 tahun menjadi penunggang tegar, saya lebih selesa dengan motorsikal berbanding kereta. Tapi kalau nak kata saya anti lelaki, kurang logik lah kot. Kegarangan saya dengan lelaki sebenarnya lebih kepada untuk menjaga diri. Yalah, kalau berlemah lembik nanti dapat pula emel layang kata saya menggedik pula kan!

Tapi kata-kata kutukan dan kritikan ini sebenarnya kalau diambil dari sudut positif insyaAllah boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik. Betul, bukan senang nak terus bersabar bila dikata macam-macam terutamanya kalau melibatkan fizikal kita. Kita, tak pernah mahu mempunyai kekurangan. Tapi kalau Allah dah beri kekurangan itu pada kita, maknanya ada juga kelebihan lain yang Allah kirimkan bersama. Kan Rasulullah SAW ada berpesan:

“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala tidak melihat pada bentuk tubuhmu dan tidak pada rupa parasmu, tetapi DIA melihat pada hatimu.”
 (HR Muslim)

Sebelum kita nak rasa bengang dan marah bila menghadapi kutukan atau kritikan ini, lebih baik kalau kita ambik point penting daripada kutukan dan kritikan tersebut. Kalau melibatkan sesuatu yang tak boleh diubah, anggap saja orang yang mengata tu tak percaya kuasa Allah. Betulkan? Rupa paras kita, tinggi rendahnya kita, atau penyakit yang kita hadapi, mana mampu untuk kita ubah. Itu semuakan Allah yang beri. Suka-suka hati je nak mengata ciptaan Ilahi.

Tapi, kalau kutukan atau kritikan itu melibatkan kelemahan kita yang boleh kita ubah, apa salahnya kan untuk kita ubah. Kalau sebelum ini kita kasar, mungkin boleh ubah dengan menjadi sedikit lembut. Tapi kena pastikan lembut bersyariatlah. Antaranya melalui cara berjalan dan bercakap.

"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk ialah suara keledai." 
[Surah Luqman, 31:19]

Tapi tengok juga pada siapa kita patut lunakkan suara sebab Allah ada berfirman yang maksudnya:

"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" 
[Surah al-Ahzab, 33:32]

OK, kita bukan isteri Nabi. Tapi kita mahu kan jadi wanita bertakwa. Lagi pula, orang-orang yang berpenyakit dalam hati ini ada di mana-mana. Jangan lihat yang berserban besar, berkopiah dan berjanggut itu tentu-tentu beriman, beramal, bertakwa. Manusia biasa, tiada yang maksum. Jadi selagi boleh, kita jaga diri kita daripada orang-orang yang berpenyakit hati ini.


Kesimpulannya, mula-mula kita kena bersyukur dengan diri kita. Terima apa yang Allah dah berikan pada kita dan cari hikmah setiap pemberian Allah pada kita. Lepastu, terima kutukan dan kritikan secara positif. Baiki mana-mana yang boleh dibaiki. Yang mana tak boleh, kita cuba minimum kan. Dan yang terakhir, istiqamah dalam memperbaiki diri. Tak perlu tunggu orang tegur. Sentiasa berusaha untuk jadi yang lebih baik di sisi Allah. Berubah kerana Allah, berhijrah semata-mata kerana Allah. Bukan untuk menutup mulut orang.

Oh panjangnya saya berleter! OK lah sampai jumpa lagi. Selamat tahun baharu 1434 Hijrah! SELAMAT BERHIJRAH!

ps: azam tahun baharu - nak jadi perempuan Melayu terakhir :p

Friday, November 02, 2012

Berjalan Tanpa Henti

Bagaikan jauh jalan yang kutempuh
Langkah demi langkah akan kugagah
Hari demi hari berjalan tanpa henti
Yakinku ada sinar yang menentu
Kalau dah bertemu arah
Yakin penuh pasrah
PadaNya Yang Kuasa dikau berserah
Jika kau rebah jika kau kalah
Bersaksilah rahmatNya akan terserlah
Segala kepahitan segala keperitan
Terima bagai penghapus dosa
Malang yang menimpa duka yang melara
Mungkin di baliknya ada bahagia
Jangan jangan berputus asa
Dari rahmat Yang Maha Esa
Jangan jangan kita lupa
Ujian lumrahnya dunia 

-song by Devotees-

Thursday, November 01, 2012

Resam Berjuang

"Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang"
- Sunnah Orang Berjuang, Hijjaz

Oktober telah pun berlalu. Bulan kesukaan saya dalam kalendar Masihi. Tapi tahun ini Oktober sangat mencabar buat saya. Dari emosi, fizikal, mental malah spiritual saya sendiri.

Awal Oktober yang lalu saya genap berusia 26 tahun. Dan saya juga sudah 26 bulan menjadi pelajar Ph.D. Sepanjang 26 bulan ini saya sukar sekali untuk merasakan bahawa saya sedang berjuang. Betul, kajian saya tentang Islam. Semua orang kata, belajar itu jihad. Tambah-tambah lagi kalau tentang Islam. Saya tahu, tapi saya tak merasakannya di dalam hati. Macam mana nak explain ya. Hm..macam makan oat dengan air panas kosong. Kita tahu berkhasiat tapi tak ada rasa. 

Alhamdulillah, Allah anugerahkan saya seorang sahabat di luar linkungan akademik. Maklum, bila kita sentiasa berada dengan rakan-rakan seangkatan, fikiran kita cuma fikir dalam satu corak, satu pattern. Saya jadi kurang empathy dan kurang peduli tentang dunia dan warganya. Bagi saya, masalah saya sendiri sudah banyak tambah lagi dengan tesis dan segala macam kertas kerja yang perlu diselesaikan. Perkara lain semuanya titik-bengik yang cuma memberatkan otak.

Tapi saya silap. Sahabat saya buat saya berfikir dengan bertanya pada saya, 
"Niza, cuba kau bagi tahu aku, kenapa kau buat Ph.D?"
Saya senyap dan saya tiada jawapan. Malam itu saya muntah teruk dan demam keesokannya. Terlantar dan tidak mampu bangun. Saat itu, terasa seperti sudah tiba masa untuk saya menghadap Dia. Ironinya, saat itu juga saya sedar kenapa saya perlu selesaikan Ph.D. Saya rasakan dalam hati bahawa ini adalah wadah yang Allah sediakan untuk saya berjuang. Bukan untuk gelar Dr. pada pangkal nama, bukan pada jawatan pensyarah yang bakal disandang selepas tamat belajar. Pertama kali setelah dewasa, saya benar-benar terasa mahu hidup dan mahu berjuang.

 Prof. Roshada, Dekan Institut Pengajian Siswazah USM

Sembuh dari demam, saya dipanggil untuk bengkel Ph.D GOT (graduate on time) It oleh Big Boss, KPT. Teruk juga lah ditegur dan disental oleh wakil KPT akibat sikap kami, pemegang biasiswa yang susah betul nak habis belajar tepat waktu dibanding dengan pelajar tajaan lain. Dalam bengkel ini juga saya sedar benar-benar tentang perjuangan saya. Kata Prof Roshada, Dekan IPS USM, "Allow your self to be trained to be someone that can inspire your student". Saya ternampak wajah guru saya. Ya, saya masuk bidang ini salah satu sebabnya kerana terinspirasi dengan guru saya. Kata Prof Roshada lagi, kalau kami semua (calon-calon Ph.D yang tak siap-siap ni) rosak (rotten), kesannya pada generasi akan datang. Makin rosak, dan semakin rosak. Domino effect. Saya tak mahu generasi muslim akan datang rosak. Saya tak mahu menjadi penyumbang kerosakan ummah.
 
Slide daripada Prof. Chan Lai Keng

Belum sempat selesai berbengkel dengan KPT, saya bergegas pula ke Kuala Lumpur untuk konvensyen dua hari. Saya bertemu dengan orang-orang hebat dalam dunia akademik Malaysia. Belajar banyak tentang keibu bapaan (walaupun konvensyen tentang kepimpinan).

 Sidang pleno

Melalui konvensyen itu saya memahami tentang kepentingan institusi keluarga. Semuanya bermula dengan individu. Kemudian membentuk keluaga. Daripada keluarga akan lahir masyarakat dan seterusnya warga sesebuah negara. Pada akhir konvensyen, saya buat kesimpulan pentingnya agama dalam diri manusia. Kan Allah ada berfirman yang maksudnya:
Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. 
Al-Ankabut, 29:45

Tapi, solat saja tak guna juga kalau tak rasa dalam hati. Kosong. Sebab Allah ada firmankan lagi yang bermaksud:
Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu', (yaitu) orang-orang yang meyakini, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya. 
Al-Baqarah, 2:45-46

Bersama Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Lenny

Pulang ke Penang saya bertungkus lumus pula dengan kertas kerja untuk seminar. Satu di USM dan satu lagi di luar negara. Saya perah otak sungguh-sungguh. Kemudian Aidiladha tiba, saya sambut pagi Aidiladha bersama jiran sebelah dari Sarawak di Masjid USM. Petangnya baru saya ke Kedah untuk bersama keluarga sebelah ibu. Dua malam di Kedah, pulang ke Penang saya demam lagi. Dalam keadaan demam gagahkan juga untuk uruskan hal-hal penerbangan saya untuk seminar di negara jiran. Sempat juga mencelah masuk dan mendengar pembentangan dalam seminar di USM dan membentangkan kertas kerja saya sendiri.

Dekan PPSains Kemasyarakatan USM - Penutup INGRAW2012, 31 Oktober 2012

Allahuakbar, sungguh terasa letih. Urusan saya masih belum selesai lagi. Semoga Allah permudahkan semuanya. Allah kan Maha Berkuasa. 

Maaflah saya mengadu di sini. Saya berimpian untuk menjadi pejuang. Tapi iman dan ilmu saya cuma sebesar biji sawi. Mungkin inilah caranya untuk iman dan ilmu itu berkembang lebih baik dalam diri saya. Supaya boleh diamalkan kelak.

ps: kutip semangat Tun Fatimah


Thursday, October 18, 2012

Harapan

"Allahumma yassir wala tu’assir robbi tammim bi’khair"
O Allah, make it easy, and do not make it difficult. O Allah, make it end well