Assalamualaikum w.b.t.,
Alhamdulillah, Syawal sudah seminggu menjenguk kita. Macam mana Aidilfitri anda? Seronok beraya? Alhamdulillah, kalau seronok.
Tapi realiti tak sentiasa seronok. Betul tak? Akibat budaya kita, orang Melayu ni, biasanya Aidilfitri datang bersama masalah. Tak, saya tak maksudkan yang Aidilfitri tu negatif. Cuma budaya kita beraya yang buatkan 1 Syawal tercemar. Sepatutnya Aidilfitri untuk raikan kemenangan selepas berjuang semasa Ramadhan. Tapi, kalau yang tak menang pun meraikan beriya-iya, hm... . Okay. Jom lihat apa masalah yang selalu mengHANTUi orang Melayu kita selepas Aidilfitri tiba.
1. Masalah kewangan
Syawal ke-2, terpampang di dada akhbar tentang laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tentang peningkatan permintaan untuk sesi kaunseling kewangan selepas Syawal. Akhbar turut melaporkan tentang permintaan pinjaman yang meningkat di pusat pinjaman 'berlesen' dan bank. Dan pinjaman ini semuanya 'berbunga-bunga'.
Beli apa banyak sangat untuk raya sampai kena berhutang tu? Dan lagi, bunga dalam pinjaman tu bukan bunga mawar yang mekar wangi atau bunga raya yang patriotik tu. Tapi bunga yang boleh buat orang jadi gila. Kan Allah SWT ada berfirman yang maksudnya:
"Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya."
[Al-Baqarah, 2: 275]
Sengsara dengan masalah kewangan dah satu hal. Kemudian tertekan dengan peminta hutang pula. Lagi teruk sebab Allah pula laknat. Maka sengsaralah sekarang kerana tidak berwang, sengsara masa hadapan sebab berhutang dan sengsara pula di akhirat sana sebab Allah dan janji azab kerana mengambil riba.
Jadi harus bagaimana? Berayalah seadanya. Tak salah nak berbaju baru sedondon satu warna seluruh keluarga. Tapi sepasang sudahlah. Tak perlu lah dengan langsir dan alas meja pun mahu sedondon. Tak perlu juga sampai 7 pasang baju raya untuk awak seorang. Begitu juga dengan makanan dan segala macam kuih muih. Kata kuncinya, berpada-pada. Beli dengan iman, guna akal dan ukur-ukur duit sendiri.
2. Masalah kemalangan
Tak berapa berani nak tulis bab ini sebab saya sendiri pun pernah kemalangan seminggu sebelum raya tiga tahun yang lalu. Tapi musim perayaan memang sangat sinonim dengan kemalangan. Jumlah kenderaan meningkat di lebuh raya. Ramai yang tak mahu patuh dengan undang-undang lalu lintas. Ramai juga yang memandu dengan emosional. Tak terkira yang memandu dalam keadaan letih dan mengantuk. Tapi masih terus mahu memandu.
Macam-macam jenis kemalangan yang sempat saya saksikan sepanjang perjalanan Kedah-Perak-Rawang tempoh hari. Ada yang terperosok di bawah lori (moga-moga penunggang motorsikal tersebut selamat). Ada yang terbabas ke parit. Ada juga yang melanggar kereta hadapan.
Hati-hatilah memandu. Jangan lupa baca basmallah dan doa yang sepatutnya. Kalaupun Allah takdirkan 'ter'kemalangan, jangan sampai ada nyawa melayang kerana kecuaian kita.
3. Masalah berat badan
Semasa Ramadhan lalu, berjaya turun 5 kg. Tapi bila raya, naik pula 8 kg. Alahai~ Nak buat macam mana? Dari azan maghrib selepas berakhirnya 29 Ramadhan kita dok pelahap rendang-ketupat-lemang dan segala macam hidangan khas raya. (Oh sangat terkena batang hidung sendiri).
4. Masalah rumah tangga
Saya terima sms siang tadi, teman saya yang baru saja bernikan hujung tahun lalu sedang menimbang-nimbang untuk bercerai dengan suaminya. Bergaduh sikit-sikit berebut giliran untuk beraya di rumah orang tua masing-masing adalah perkara biasa. Tapi bercerai? Hm...
Apa kata, Aidilfitri ini kita muhasabah diri sebentar (sepatutnya bukan Aidilfitri saja. tiap-tiap hari pun perlu bermuhasabah). Berhenti sejenang memikirkan kekurangan dan kelemahan pasanga. Sebaliknya, fikir tentang kekurangan dan kelemahan kita. Cuba perbaiki. Dan dalam masa yang sama, cuba terima kekurangan dan kelemahan pasangan. Cuba juga untuk beradaptasi untuk menyesuaikan diri dengan sikap dan sifat antara suami isteri.
Bercerai bukan macam putus cinta dan putus tunang. Kan Rasulullah SAW ada bersabda:
"Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak"
[Riwayat Abu Daud dan Hakim]
Kita tak mahu murka Allah kan? Bincang lah elok-elok sebagai dua orang yang dewasa dan matang. Gunakan akal rasional yang ditemani selalu dengan iman. InsyaAllah ada jalan penyelesaiannya. Tapi untuk itu, langkah paling penting, buangkan ego anda. Ya, ego-sombong-bongkak-perasanbagus-sendirisajabetuloranglainsemuasalah-tapimasarayabukanmainsalammintamaaf
Ada banyak lagi masalah lain macam masalah putus jari akibat mercun dan beberapa yang saya tak mahu sebut.
Bila tengok masalah-masalah kat atas ni, nampak benar yang kita tak kembali kepada fitrah yang sepatutnya. Bukankah pada Aidilfitri kita sepatutnya suci kembali, putih kembali, macam asalnya fitrah kita waktu ibu kita lahirkan dulu?
Bercakap dan menuliskan semua ini dalam blog memang mudah. Tapi realitinya? Pahit amat! Buat kawan-kawan yang tak menghadapi masalah-masalah yang dinyatakan di atas, Alhamdulillah dan tahniah. Tapi tak salahkan untuk hati-hati dan ambil langkah pencegahan.
Be practical, be rational dan yang paling penting setiap amalan tu kita sandarkan kepada iman kepada Allah.
“Tidak akan berzina seorang penzina itu sekiranya di kala dia berzina itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan mencuri seorang pencuri itu sekiranya di kala dia mencuri itu dia berada dalam keimanan. Tidak akan meminum arak seorang peminum arak itu sekiranya di kala dia meminum arak itu dia berada dalam keimanan.”
[H.R. Bukhari, Muslim, Tirmizi, An-Nasa’ie, Abu Daud, Ibn Majah, Ahmad]



