Assalamualaikum
Alhamdulillah, setahun dah berlalu. Maknanya, bertambah lagi setahun kiraan tahun Hijrah kita. Biasanya tahun baharu kita semua sibuk buat azam baharu. Azam lama belum tertunai, kita carry on tahun ini pula.
Alhamdulillah, penghujung 1433 (minggu lepas) saya diberi kesempatan berkunjung ke Brunei Darussalam bersama Tok Guru saya serta dua orang pensyarah lain. InsyaAllah, banyak yang saya belajar. Beberapa hari pulang dari Brunei, saya terima emel layang menegur cara saya berpakaian. Katanya, kalau berbaju kurung lebih comel berbanding dengan berseluar. Dan ada juga sedikit ayat yang kurang proper untuk ditulis di sini.
Mula-mula baca emel tersebut, terkejut juga. Wah! Macam ahli politik pula terima emel layang! Syukur pun ya juga. Ada juga makhluk Allah yang sudi menegur saya. Walaupun saya rasa ayatnya tak berapa nak proper, tapi yang penting isinya kan. Terima kasih tak terhingga buat si pelayang emel yang sudi melayangkan emel memberi teguran walaupun dalam masa yang sama memberi kutukan. Semoga Allah membalas budinya. Saya nak balas tak boleh sebab saya tak tahu siapa pelayangnya. Pelayang emel tersebut menggunakan nama Wan Azizah Mahzan. Epik sungguh! Terbayang aktres Azizah Mahzan yang berlakon jadi Datin Sufiyah dalam Ombak Rindu.
Saya pernah ditegur tentang perwatakan saya yang sedikit kasar dan kegemaran saya memakai seluar. Malah saya juga pernah dikutuk sebagai anti lelaki sebab saya agak garang dengan lelaki. Mulut orang, bukan mulut tempayan. Mulut tempayan boleh lah kita tutup tapi mulut orang, nak tutup dengan apa? Kot satu hari nanti Allah bagi bisu pun, tangannya masih boleh menaip mengata orang kan? Nak buat macam mana, saya membesar dengan abang dan abang sepupu serta kawan-kawan abang. Main basikal, panjat pokok memang perkara biasa. Bila abang masuk asrama, tanggungjawab sebagai anak sulung jatuh ke bahu saya. Waktu tingkatan 3, saya dipaksa belajar membawa motorsikal. Mula-mula memang takut. Tapi setelah 11 tahun menjadi penunggang tegar, saya lebih selesa dengan motorsikal berbanding kereta. Tapi kalau nak kata saya anti lelaki, kurang logik lah kot. Kegarangan saya dengan lelaki sebenarnya lebih kepada untuk menjaga diri. Yalah, kalau berlemah lembik nanti dapat pula emel layang kata saya menggedik pula kan!
Tapi kata-kata kutukan dan kritikan ini sebenarnya kalau diambil dari sudut positif insyaAllah boleh menjadikan kita manusia yang lebih baik. Betul, bukan senang nak terus bersabar bila dikata macam-macam terutamanya kalau melibatkan fizikal kita. Kita, tak pernah mahu mempunyai kekurangan. Tapi kalau Allah dah beri kekurangan itu pada kita, maknanya ada juga kelebihan lain yang Allah kirimkan bersama. Kan Rasulullah SAW ada berpesan:
“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala tidak melihat pada bentuk tubuhmu dan tidak pada rupa parasmu, tetapi DIA melihat pada hatimu.”
(HR Muslim)
Sebelum kita nak rasa bengang dan marah bila menghadapi kutukan atau kritikan ini, lebih baik kalau kita ambik point penting daripada kutukan dan kritikan tersebut. Kalau melibatkan sesuatu yang tak boleh diubah, anggap saja orang yang mengata tu tak percaya kuasa Allah. Betulkan? Rupa paras kita, tinggi rendahnya kita, atau penyakit yang kita hadapi, mana mampu untuk kita ubah. Itu semuakan Allah yang beri. Suka-suka hati je nak mengata ciptaan Ilahi.
Tapi, kalau kutukan atau kritikan itu melibatkan kelemahan kita yang boleh kita ubah, apa salahnya kan untuk kita ubah. Kalau sebelum ini kita kasar, mungkin boleh ubah dengan menjadi sedikit lembut. Tapi kena pastikan lembut bersyariatlah. Antaranya melalui cara berjalan dan bercakap.
"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah
suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk ialah suara keledai."
[Surah Luqman, 31:19]
Tapi tengok juga pada siapa kita patut lunakkan suara sebab Allah ada berfirman yang maksudnya:
"Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika
kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam
berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam
hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik"
[Surah al-Ahzab, 33:32]
OK, kita bukan isteri Nabi. Tapi kita mahu kan jadi wanita bertakwa. Lagi pula, orang-orang yang berpenyakit dalam hati ini ada di mana-mana. Jangan lihat yang berserban besar, berkopiah dan berjanggut itu tentu-tentu beriman, beramal, bertakwa. Manusia biasa, tiada yang maksum. Jadi selagi boleh, kita jaga diri kita daripada orang-orang yang berpenyakit hati ini.
Kesimpulannya, mula-mula kita kena bersyukur dengan diri kita. Terima apa yang Allah dah berikan pada kita dan cari hikmah setiap pemberian Allah pada kita. Lepastu, terima kutukan dan kritikan secara positif. Baiki mana-mana yang boleh dibaiki. Yang mana tak boleh, kita cuba minimum kan. Dan yang terakhir, istiqamah dalam memperbaiki diri. Tak perlu tunggu orang tegur. Sentiasa berusaha untuk jadi yang lebih baik di sisi Allah. Berubah kerana Allah, berhijrah semata-mata kerana Allah. Bukan untuk menutup mulut orang.
Oh panjangnya saya berleter! OK lah sampai jumpa lagi. Selamat tahun baharu 1434 Hijrah! SELAMAT BERHIJRAH!
ps: azam tahun baharu - nak jadi perempuan Melayu terakhir :p










