Friday, July 17, 2009

Bacalah...

Dengan nama Tuhanmu
Wahyu pertama yang disampaikan melalui Jibril a.s kepada Rasulullah.

Besar sebenarnya pengaruh membaca. Ada orang gemar membaca novel. Ada yang suka pada biografi. Ada juga yang cintakan fiksyen sains. Macam-macam jenis bacaan yang boleh dibaca. Terpulang pada selera masing-masing. Minat membaca sebenarnya boleh menjadi satu kegilaan. Kalau dalam istilah psikologi, ketagihan kepada buku ni tidak terhad pada hanya ketagih membaca tetapi juga ketagih untuk membeli dan menjaga buku sepenuh hati (a.k.a bercinta dengan buku).

penulisan 'mesti baca' saya sekarang

Saya teringat pada seorang lelaki yang mengadu di forum tentang ketagihan berbelanjanya pada buku. Dalam sebulan beliau berbelanja antara RM200 hingga RM300 semata-mata untuk buku. Sebenarnya ini bukan perkara yang pelik bagi saya kerana saya juga punya ketagihan membaca dan biasanya saya lebih gemar membeli sendiri buku dari memijam daripada orang lain. Tak 'feel'. Tapi tidak lah sampai beratus-ratus berbelanja untuk buku. Kalau dulu, saya hadkan kepada sebuah buku sebulan. Itupun dah membuatkan ibu saya pening kerana kehabisan rak untuk meletak buku. Satu perkara lagi yang saya perasan, mereka yang tertarik berlebihan pada buku ni biasanya lebih bahagia berada dalam kedai buku berbanding kedai baju (dan kedai-kedai lainnya). Kalau teman saya mengajak shopping di Queensbay, selepas bermaraton dan jika teman saya tidak membeli apa-apa dan hanya melakukan window shopping, biasanya saya akan mula rasa pening dan mual. Terutamanya kalau terlalu banyak masuk ke kedai kasut. Saya kurang pasti kenapa, tapi memang saya mudah rasa pening dan mual kalau masuk ke kedai kasut berulang kali. Untuk meredakan tekanan, Borders menjadi tempat pilihan. Duduk bersila di celah rak sambil membaca buku percuma. Ah~ nyaman!. Dan keluar pula dari Boarders dengan membawa buku (lain). Membahagiakan!

Sebenarnya, buku pilihan saya lebih kepada novel. Tapi tak terhad kepada genre tententu. Cuma saya kurang berminat dengan yang terlalu fiksyen dan penuh khayalan. Macam novel LOTR mahupun Harry Potter (walaupun novel Harry Potter ada dalam koleksi saya). Bukanlah nak memuji kelebihan novel, tapi saya lebih gemarkan novel berbanding buku motivasi. Mungkin disebabkan ketika membaca buku motivasi saya merasakan seperti dileteri. Tapi buku motivasi juga ada dalam rak buku saya. Ketika menjengah ke bilik seorang pensyarah, saya ternampak novel Ayat-ayat Cinta. Jujurnya, saya memang tak pernah menyangka beliau akan membaca karya Kang Abik tersebut. Ingatkan pensyarah lelaki tak berminat dengan novel cinta (walaupun novel Islami). Kata pensyarah saya, beliau memang gemar membaca novel. Kerana novel akan mencetuskan keinginan untuk berfikir.

Membaca memang punya banyak kelebihan. Selain menjadi 'teman' di kala kesunyian, membaca juga membolehkan sifat simpati dan empati disemai dalam diri seorang manusia. Selain itu, boleh juga mengembara merentasi dunia. Saya ingat lagi perasaan ketika pertama kali membaca novel Disebalik Kehijauan Matanya karya Dr. H.M.Tuah Iskandar yang berkisar tentang seorang pelajar lelaki Melayu yang belajar di Isle of Wales, UK. Waktu itu saya baru tingkatan 1. Dari buku tersebut saya mengenali bahawa novel juga boleh dijadikan medium dakwah. Dari buku tersebut juga saya mula menyimpan rasa ingin belajar di luar negara. Saya juga masih ingat dengan perasaan mebaca novel Hasrat yang saya lupa siapa penulisnya. Novel tentang pelajar-pelajar di Rusia yang ditangkap kerana membuat perhimpunan aman selepas solat Jumaat itu benar-benar membuka mata saya mengenai tanggungjawab mahasiswa. Waktu itu saya di matrikulasi. Selepas pada itu saya berjinak-jinak dengan karya Faisal Tehrani: Cinta Hari-hari Rusuhan. Kisah cinta dua kasta antara pelajar di UM ketika era pelajar-pelajar universiti gemar berpiket. Juga diselitkan kisah Rusuhan Baling. Selepas karya tersebut, saya mula mengumpul karya FT yang lain. Cuma sekarang ni dah terhenti. Selepas Karbala, corak penulisan FT sudah tidak serasi dengan diri saya. Lantas dalam masa yang sama saya berpaling kepada novel-novel Indonesia. Melalui Kang Abik (Habiburrahman el-Syirazi) saya mengenali dunia pelajar Indonesia di Mesir juga belajar tentang kepimpinan dan keazaman serta serba sedikit ilmu fiqh (lihat Ketika Cinta Bertasbih). Melalui Andrea Hirata pula saya belajar tentang perjuangan mengejar mimpi. Oh ya. Sekarang di USM sedang hangat dengan Laskar Pelangi. Rasanya lebih baik bacaan dari LP diteruskan kepada Sang Pemimpi. Kalau anda terpesona dengan Lintang dalam LP, saya lebih terpesona dengan Arai dalam Sang Pemimpi. Serta perjuangan Arai (serta Ikal) belajar hingga ke Sorbornne, Perancis.

Basar sebenarnya pengaruh bahan yang kita baca dalam diri kita. Jadi pilihlah bahan bacaan yang terbaik. Kata guru bahasa Arab dari Pakistan saya dulu, jangan membaca tanpa wudu'. Bacalah dengan ilmu. Bimbang juga kalau terpengaruh dengan ideologi yang salah. Buat penggemar novel seperti saya, pilihlah novel yang terbaik. Bukan sekadar novel kosong kisah cinta muda-mudi. Ye lah...penat-penat membeli dan membaca, yang dapat cuma kisah cinta. Tanpa pengajaran.

ps: teringat ayat dalam Laskar Pelangi "Makanya boy, kalau kau malas solat, rajin-rajinlah kau belajar berenang!" :p

Tuesday, July 14, 2009

Cobaan~

bismillah..

Saya tak tahu nak cakap macam mana. Tak cakap salah, cakap nanti lebih lagi salah. Serba salah. Jadi saya pilih untuk berdiam. Nampaknya itu pilihan terbaik. Pada Allah saya luahkan. Lama nampaknya saya tidak berbicara dengan Dia. Memang lama.


Hidup memang indah. Macam kata-kata hikmah yang tertampal di papan kenyataan Masjid al-Malik Khalid: Allah datangkan hujan ketika hari sedang terang supaya kita dapat nikmati pelangi yang indah. Dugaan dalam perjuangan perkara biasa. Bila difikir-fikir balik, satu perjalanan yang tak ada halangan, tak ada cabaran, pasti menjadi perjalanan yang membosankan.

Tengah hari tadi saya sempat makan tengah hari bersama Riz, kawan se'praktikum' ketika di Matrix Penang dulu. Teman yang seorang ni sebenarnya pelajar USIM. InsyaAllah bakal konvo 1 Ogos nanti. Sekarang ni, bertugas sebagai RA (research assistant) di TI (Teknologi Industri) dan hajat di hatinya, mahu menyambung master. Memandangkan sudah 4 tahun tak bersua, banyak juga yang dibualkan. Berita tentang pernikahan teman kami, juga pendapat-pendapatnya mengenai USM. Sombong. Itu pendapat Riz tentang pelajar USM. Ya, saya akui. Pelajar USM memang sombong sikit (mungkin juga banyak). Sepanjang di USM, kalau senyum pada pelajar lain yang tidak dikenali, jangan harap ada yang nak balas. Tu belum lagi bab bertegur sapa. (entah-entah persepsi orang pada saya pun mcm tu jugak)

Saya ingat lagi ketika seminggu menumpang membaca tesis di Perpustakaan Utama, UM. Bukan saja pelajarnya mesra dan mudah senyum. Staf di perpustakaan juga baik-baik belaka. Walaupun saya sedikit kecewa dengan Kuala Lumpur, tapi sekurang-kurangnya UM tidak menghampakan. Cuba lah ke Perpustakaan Hamzah Sendut 1 atau 2...dan buat-buat tak tahu tentang prosedur untuk membaca buku red spot atau tesis. Silap-silap boleh kena halau lagi (saya dah penah kena). Riz juga merungut tentang pensyarah yang tak cukup caring dan cuma mahu tahu tentang keputusan eksperimen. Teringat waktu buat projek tahun akhir dulu. Memang penyelia saya dulu suka tanya, "Niza, what's your outcome?" Dulu, antara jawapan yang sering saya ulang, "Kena streaking balik Dr. Contamination occur in the flusk. I'll repeat tonight." Dan di malam hari, akan ada lah saya seorang diri tercongok di makmal dengan rasa takut. Hehe seram tau School Bio tu. Tambah lagi dengan takut pada pak guard sebab tak bawa surat kebenaran bekerja malam di makmal.Memang begitu agaknya tradisi di school science. Pensyarah biasanya akan tanya hasil dari masa ke masa (dan jarang sekali care dengan pelajarnya). Tapi alhamdulillah, situasi ni tak berlaku lagi bila saya menyambung sarjana di ISDEV. Buat pertama kali dalam hidup saya, saya ditegur guru "Wan ada masalah?" Saya sebenarnya dah biasa tidak dipedulikan. Jadi bila ada pensyarah yang ambik berat..uish terharu! Dah jadi macam manja pulak. InsyaAllah, lain kali saya ceritakan mengenai ISDEV dan para penghuninya. Berbalik pada Riz. Riz merungut "Riz tak biasa lagi dengan USM. Baru nak adapt. Dr asyik mintak result je."

Cabaran pasti ada dalam apa jua yang kita lakukan. Tak kisahlah cabaran dari orang sekeliling mahupun cabaran dari dalam diri sendiri. Yang penting kita harus depani dan hadapi dengan sebaik mungkin. Usaha kan tangga kejayaan. Chaiyok chaiyok! Saya katakan pada Riz, mungkin ini masanya untuk Riz belajar berdikari. Riz memang sedikit manja. Kalau di USIM para pensyarahnya kenal setiap pelajar, janganlah diharapkan situasi yang sama bila berada dalam kelompok sains di USM. Tapi insyaAllah, kalau dah master, mesti la pensyarah kenal..kan? Bukan ramai sangat pun. Sebenarnya, kata-kata semangat buat Riz turut saya tujukan pada diri sendiri. Cabaran dan masalah memang suka muncul ketika minda dan hati harus menumpukan sepenuh perhatian. Tapi, semuanya berbalik pada diri kita sendiri. Lagi satu, tekanan tu sebenarnya boleh beri manfaat kepada kita tau. Terutamanya pelajar master. Satu perkara yang saya perasan tentang diri saya, tekanan jika diambil dari sudut positif boleh membuatkan saya bekerja dengan lebih pantas dan berusaha dengan lebih gigih. Hadapi tekanan, cabaran, dugaan dan segala macam rintangan dengan hikmah. Tawakal pada Allah. Jangan sampai sakit rohani dan jasmani sudah la ye.

Mardatillah, itu matlamat akhir. So...halangan-halangan yang suka datang tiba-tiba tu anggap saja hadiah daripada Allah. Barangkali untuk dapat extra pahala. Atau barangkali untuk elakkan kita dari lalai dan leka.

Wallahualam.

ps: sedang merawat jiwa :P

Thursday, June 25, 2009

Ingatlah Hari Ini

tribute to all my friends sk ampang 1992-1998, smk dato' ahmad razali 1999, smk rawang 1999-2003

Kawan dengarlah
Yang akan aku katakan
Tentang dirimu
Setelah selama ini
Ternyata kepalamu
Akan selalu botak
Eh, Kamu kayak gorila

Cobalah kamu ngaca
Itu bibir balapan
Dari pada gigi lu
Kayak kelinci
Yang ini udah gendut
Suka marah-marah
Kau cacing kepanasan
Tapi ku tak peduli
Kau selalu di hati

Kamu sangat berarti
Istimewa di hati
Selamanya rasa ini
Jika tua nanti
Kita t'lah hidup masing-masing
Ingatlah hari ini

Ketika kesepian menyerang diriku
Gak enak badan resah tak menentu
Ku tahu satu cara sembuhkan diriku
Ingat teman-temanku

Don't you worry just be happy
Temanmu di sini

Don't you worry don't be angry
Mending happy-happy

note: song by Project Pop
bibir balapan tu lip balm, kayak tu macam/seperti, mending tu lebih baik

ps: tetiba rindu zaman sekolah...

Friday, June 19, 2009

Putih

Untuk Abah.
Setinggi bintang bintang
Tampak di kejauhan
Sejernih rintik hujan
Turun diterik siang
Ketika ada keraguan
Ditengah berat kebimbangan hati
Putih hatimu itu
Seputih awan
Tak kan ada yang menggantikannya
Putih kau bawa aku kepada dunia
Dan hanya karena cinta
Ingin ku menyampaikan
Kepada semua orang
Tentangmu tentang sayang
Kasih sepanjang jalan
Yang tanpa keraguan
Tak ada berat kebimbangan hati

terima kasih, abah.
song by Letto

Thursday, June 04, 2009

Mimpi-mimpi Lintang

Mimpi adalah kunci…
Barangkali memang benar, mimpi adalah permulaan sebuah perjalanan kehidupan. Tetapi mimpi yang saya maksudkan ini bukanlah semata-mata anganan Si Jenin yang akhirnya membuat ia terjatuh dari pohon kelapa nan tinggi hanya kerana terlihatkan puteri yang melintasi kampungnya.

Begitulah kawan, mimpi perlukan keberanian, perlukan usaha. Tanpa keberanian, impian adalah sia-sia. Keberanian untuk menjadikan mimpi itu suatu kebenaran, satu realiti. Tanpa usaha juga mimpi akan tetap sebagai mimpi. Begitulah kuasa mimpi. Bertindak sebagai kunci untuk menikmati kehidupan di dunia (juga di akhirat). Melalui mimpi inilah Ikal mengembara separuh dunia – dari Sorbonne ke Afrika dan berakhir di Edensor, desa terpencil di Tanah Inggeris. Mimpi untuk belajar sesungguhnya, menjadi bukan pewaris pekerjaan ayahnya, datuknya, dan keturunannya turun temurun sebagai kuli PN Timah. Ikal berjaya dan memperoleh sarjana di alma mater Universiti Sorbonne, Perancis.

Pulang ke desa, Ikal kembali menyatu dengan para Laskar Pelangi. Bertemu kembali dengan Lintang dan Mahar – dua genius dengan ekstrimis logika dan imaginasi. Seindah persahabatan dan kekaguman Ikal kepada Lintang dalam buku pertama Laskar Pelangi, kekaguman itu kembali dalam buku terakhir tetralogi ini – Maryamah Karpov: mimpi-mimpi lintang.

Mimpi-mimpi Lintang sebenarnya nama perahu buatan tangan Ikal yang merupakan hasil daripada hitungan formula-formula oleh Lintang berteraskan prinsip Archimedes tentang tekanan mahupun liuk lentuk sebuah perahu dengan keperluan aerodinamik. Perahu yang diusahakan untuk memenuhi sebuah mimpi – mencari A Ling, cinta pertama Ikal.

Meski siri kali ini tidak lagi memperjuangkan pendidikan dan semangat untuk memperoleh pendidikan dengan penuh jitu secara menyeluruh seperti yang pernah dilakukan Andrea Hirata dalam tetralogi Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor, Maryamah Karpov membuatkan saya terjaga dan tersedar. Bahawa hidup ini bukan hanya semata-mata belajar dalam arus perdana. Keberadaan SAYA di SINI bukan kerana saya bijak atau saya pandai. Tapi tak lebih daripada keizinan Tuhan untuk saya memperoleh ilmu dengan ijazah sebagai bukti keberadaan saya.

Seperti Ikal yang bersipongang meski memperoleh ilmu hingga ke Sorbonne, meski punya Master, tapi tak pernah termenangkan dengan ilmu si genius, Lintang, anak yang tak mampu menyambung sekolah kerana terpaksa menanggung adik-adiknya setelah ia kematian bapa. Begitulah saya. Entah berapa ramai lagi yang lebih bijak dan lebih hebat daripada saya di luar yang begitu ingin menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi. Yang punya cita-cita dan impian jauh lebih hebat lagi.

Saya tahu, dan sangat sedar. Karya-karya Andrea bukanlah sebuah kisah benar mahupun kisah betul seratus peratus. Ia percampuran kisah benar dan kisah imaginari yang ditulis tak ubah seperti sedang bercerita. Namun, menyelesaikan lembar akhir karya ini buat saya seakan-akan terjaga dan terkesan. Menyedari bahawa situasi saya pada waktu ini bukanlah apa-apa. Memahami bahawa ketetapan Allah ini adalah anugerah untuk saya sentiasa menjadi tangguh, gagah dan perkasa memikulnya. Segala pemberianNya merupakan tanggungjawab. Bukan sekadar mimpi saya semata-mata tapi berusaha dengan penuh berani untuk memenuhi keperluan mimpi-mimpi itu.

Mimpi adalah anugerah. Ya, saya berani bermimpi. Dan insyaAllah, mimpi itu berani pula saya jadikan kenyataan. Seperti Arai, sepupu jauh Ikal yang akhirnya kembali ke Sorbonne menyambung PhD sekaligus memperoleh belahan jiwanya, Zakiah Nurmala. Mimpi Ikal yang paling teras – menikahi A Ling tak kesampaian dalam siri terakhir tetralogi LP kerana air mata ayahnya yang sekaligus bermaksud ‘tidak’ namun Ikal tak putus asa. Akan ia tetap berjuang sampai nanti ayahnya yang amat ia kasihi merestui mereka.

ps: mimpi saya, apakah?

Tuesday, May 19, 2009

Antara Kita

taklimat di Bilik EOC, Lapangan Terbang Bayan Lepas

Peluang bermusafir dalam sebuah rombongan berjumlah 29 orang daripada keluarga besar ISDEV memberi saya peluang untuk mengenali ahli keluarga ISDEV dengan lebih mendalam. Tidak hanya ahli yang terlibat secara langsung dengan ISDEV tetapi juga kalangan isteri para pensyarah yang turut menyertai kembara ilmu tersebut. Terasa rapat, terjalin kasih sayang. Bertuah rasanya menjadi anak sulung Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam (MISDEV) di ISDEV. Perhatian dicurahkan kepada kami, tanpa berbelah bagi (manja rupanya anak sulung ni).

Sesi suai kenal bermula sejak di Lapangan Terbang Antarabangsa P. Pinang lagi. Kami berkumpul di Bilik EOC untuk mendengar taklimat ringkas daripada guru yang sangat kami hormati, merangkap Pengarah ISDEV, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh. Seorang demi seorang pelajar diperkenalkan. Para pensyarah juga memperkenalkan isteri masing-masing kepada kami. Tapi tahu sajalah. Keterujaan menaiki kapal terbang nyaris membuatkan kami tidak mampu mengingat nama-nama yang diperkenalkan. Tak mengapa, masih punya seminggu untuk lebih mengenali.

pemandangan dari tingkap kecil pesawat QZ 8075 Air Asia Indonesia

Penerbangan ditunda hampir dua jam. Jadual asal berlepas dari Penang ke Medan pada jam 1815 tertunda kepada 2020. Tapi sekali lagi, burung besi yang dinanti tak kunjung tiba. Bosan, ya. Tapi begitulah lumrah kehidupan. Kan Allah telah menyatakan, "Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian." Masa yang berlalu saat menanti tidak akan hadir kembali. Ia berlalu..tanpa dapat kita hentikan. "Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran." Waktu menunggu begini sememangnya menguji kesabaran. Apatah lagi yang menanti di Medan. Di sana, majlis sedang berlangsung. Perasmian Seminar Wakaf Antarabangsa sedang dilakukan. Tentu sekali guru saya menjadi tetamu kehormat. Sedangkan kami sedang menanti separuh sabar di Bayan Lepas. Alhamdulillah, suara pramugari (atau siapa saja) akhirnya mengumumkan penerbangan kami. Berpusu-pusu menyerahkan tiket dan menuju ke kapal terbang milik syarikat Air Asia Indonesia.Ketika di balai berlepas sebelumnya, seorang teman sekelas bertanyakan perasaan saya menaiki kapal terbang sebelum ini. Kata saya, saya kurang gemar menaiki kapal terbang. Saya paling menggemari lautan. Saya mengagumi pelayaran. Tapi bukan penerbangan. Mungkin kerana pengalaman penerbangan domestik sebelum ini yang tidak berapa enak untuk dikenang. Ketika dalam penerbangan, cuaca buruk. Kilat sabung-menyabung. Terpancar cahayanya pada ruang kecil tingkap di sebelah tempat duduk. Teman yang bertanya tadi mula pucat. Saya katakan padanya, "Sekarang faham kan kenapa wan tak suka naik flight." Dia mengangguk, memejam mata sambil mulut kumat-kamit bertasbih. Saya mula merasa loya. Perut yang kosong ditambahkan lagi dengan gegaran-gegaran kapal terbang kecil yang kami naiki membuatkan saya pening. Suara pramugari mengumumkan agar kamar kecil tidak digunakan. Tali pinggang keselamatan diminta agar sentiasa terpasang.

Tetapi tahukah kawan, Tuhan itu lebih mengetahui. Kalau saja bukan ini pengakhiran kita, maka sedasyat manapun penerbangan yang ditempuhi takkan ada ajal yang menjemput kalau bukan itu yang ditetapkanNya. Kami selamat tiba Bandara (bandar udara) Polonia hampir sejam kemudian dengan waktu tempatan pada waktu kami berlepas (waktu di Medan lewat hampir 1 jam dengan waktu di Malaysia).

kak Radieah, saya dan Mei (isteri pelajar ISDEV dari Thailand) di kediaman pelajar ISDEV Medan

Kami disambut dengan penuh ramah. Saya terharu melihat sambutan pelajar-pelajar ISDEV dari Medan menerima ketibaan kami sedangkan kami tidak pernah seramah itu kepada mereka. Setakat yang saya ketahui, mereka semua merupakan para dosen (pensyarah) di universitas-universitas yang banyak bertebaran di serata Sumatera Utara. Sombong? tidak sedikitpun muncul pada riak wajah mereka. Sedangkan mungkin perasaan itu yang sedang menakluki jiwa kecil kami dari Malaysia ini. Kenapa saya katakan begitu?

Menjadi lumrah rakyat Malaysia menghadirkan diri ke negeri tetangga yang satu ini dengan niat mahu memborong segara macam souvenir. Sehingga saat teman-teman menunjuk sambil bercerita tentang barang yang dibeli, saya merasakan betapa berlagaknya kita. Mampu membeli, bukan mengagumi hasil tangan mereka tetapi sebaliknya menunjuk-nunjuk betapa kita mampu untuk membeli. Satu kerugian saya kira, jika kerajinan, kreativiti dan inisiatif yang dilakukan rakyat Indonesia berpendapatan rendah ini tidak dapat kita hayati. Perkara ini tidak terlepas daripada diri saya. Saya juga sibuk tawar menawar. Meski tidak punya skil, tapi saya lakukan juga demi dua pasang kain ela yang dipesan oleh teman sebilik di USM. Hajat orang kan amanah juga.

MPV yang setia mengangkut kami di Medan

Jarak Penang ke Medan tidak jauh. Kata para pensyarah saya, jaraknya hampir sama dengan jarak ke Kuala Lumpur. Atau barangkali lebih dekat lagi. Tapi kedekatan ini tidak tergambar dengan gaya hidup yang kita lalui sehari-hari. Mana-mana kota pun pasti punya kelemahan. Tapi kelemahan itu tidak mampu menutup kelebihan kota Medan. Meski terasa gerun dijegil penjual di Parapat, hati tersenyum melihat keramahan peniaga di Pulau Samosir. Meski terganggu dengan anak kecil yang meminta sedekah di celahan kereta yang berhenti tatkala lampu merah sedang menyala, minda gembira menyaksikan anyaman raga yang penuh kreativiti pada motosikal si pengangkut barang (kreatif!). Kadang meremang melihat Si Ojek Beca (saya tidak tahu istilah ini betul atau tidak..ia seperti beca tapi menggunakan motosikal) mengangkut anak kecil berseragam sekolah dasar (sekolah rendah) dengan muatan berlebihan. Tetapi bila melihat ketabahan mereka bersekolah walau dengan fasiliti yang minimal, saya jadi tersentuh. Saya sendiri malas belajar. Apatah lagi ketika sekolah dulu. Ke sekolah cuma untuk bermain. Tiba-tiba teringat kes saya dipanggil menghadap GPK HEM ketika darjah 6. Sebab apa? hehe tak payah la tau. Tapi saya memang nakal dulu. Kalau tidak masakan dua kali perlu menghadap guru bermisai tebal itu.

Antara pelajar ISDEV di USM dengan pelajar ISDEV di Medan, memang tidak begitu rapat sebelum ini walaupun mereka kerap sekali menghadirkan diri ke USM. Tetapi hubungan antara kami menjadi begitu erat tatkala kunjungan ini dilakukan. Antara pelajar ISDEV dengan ahli bersekutu ISDEV juga tidak begitu rapat. Ikatan ini juga menjadi akrab sepanjang keberadaan kami di Medan. Bermusafir dalam kumpulan besar ini bukan hanya menjalinkan kasih sayang (opss jangan salah faham ya!) antara keluarga ISDEV di USM dengan mereka di Medan tetapi juga membuka ruang untuk kami ahli rombongan untuk saling mengenali, memahami dan menyayangi antara kami sendiri. Yang muda terasa dikasihi. Yang tua (hehe guru-guru yang dihormati dan dikasihi, jgn marah ya dengan istilah ini) dihormati. Malah disanjung dan lebih dicintai. Terbuka hijab antara dua generasi.

Antara kita mungkin ada perbezaan. Pasti ada perbezaan. Apatah lagi kita hadir dengan latar yang pelbagai, cara yang bermacam. Pemikiran dan gaya hidup juga berbeza ragam. Tapi yang pastinya, kehidupan bukan tentang menggali perbezaan tetapi mencari titik penyatuan agar kita dapat hidup bersama dalam kehidupan yang harmoni. Kebersamaan ini tambah indah saat ia dipasak dengan akidah dan keimanan yang teguh. Mempercayai bahawa kita semua datang dari Allah dan suatu hari nanti kita akan kembali jua kepadaNya. Persaudaraan dan ikatan antara kita yang diikat dan dijalin oleh Allah membuahkan kemanisan kasih sayang yang sungguh membahagiakan. Hingga akhirnya, perjalanan ini bukan hanya sekadar menghadiri seminar atau membentangkan kertas kerja berkenaan wakaf tetapi juga menghasilkan putik cinta ukhuwah dalam keluarga ISDEV juga cinta pandang pertama saya dengan bumi Medan (bukan dengan prianya ya!). InsyaAllah, jika diizinkan Allah, tanah Sumatera ingin sekali lagi saya jejaki.


pemandangan di Danau Toba

ps: Alhamdulillah dah tak sakit perut!

Monday, May 11, 2009

Siapa saya?

Itu yang ditanyakan oleh teman sebilik ketika menetap di Hotel Royal Perantis pada malam terakhir kami di Medan.
Saya adalah saya. Sekadar hamba Allah yang masih bertatih untuk memahami rencah hidup dunia. Sedang dalam masa yang sama, ditimpa kemelut kehidupan. Saya kira ini perkara biasa. Tiada yang luar biasa tentang diri saya.

Kata ibu, saya anak yang degil. Tak punya ciri-ciri wanita Melayu tetapi punya kemahuan dan azam yang kuat. Saya tidak tahu. Tapi mungkin barangkali saya memang degil. Kadang-kala, degil itu perlu. Untuk diri saya sendiri, degil itu saya gunakan untuk memastikan saya tetap teguh untuk belajar.

Kata abang, saya adik yang 'seni'. Suka pada muzik, suka pada kesenian, suka pada hasil seni tangan, juga suka pada kesusasteraan. Ya, saya memang sukakan seni. Waktu di aliran Hayat di Matrikulasi, seorang teman pernah bertanya kenapa tidak masuk ke aliran sastera ketika di sekolah? Saya memang menyukainya. Tapi tak punya bakat ke arah itu. Meski markah 100% sering saya peroleh untuk bahagian Komsas (Komponen Sastera) ketika di tingkatan 5, markah keseluruhan peperiksaan Bahasa Melayu tetap rendah. Saya bermasalah dengan tatabahasa. Juga bermasalah untuk mengolah ayat. Kata Kak Shereza, teman sekelas saya, saya terlalu lurus. Terus menulis tentang apa yang ingin diperkatakan tanpa kemahiran mengolah ayat untuk menimbulkan keinginan untuk orang lain membacanya.

Kata adik, saya kakak yang garang. Biasanya, kata-kata saya lebih dituruti berbanding abang. Saya juga tempat mereka mengadu. Meminta untuk dipenuhi keinginan. Pulang sesekali, adik-adik berebut mahu berdamping. Ya, saya kakak yang garang. Tapi saya juga memanjakan mereka.

Kata rakan saya, saya seorang yang pemarah. Darjah kemarahan saya boleh naik dengan mudah, meski hal-hal yang kecil. Saya memang mudah marah. Saya marah jika perlu berulang kali menyatakan perkara yang sama. Saya marah saat dibohongi. Saya marah apabila berdepan dengan orang yang tidak tahu menghormati sesama manusia.

Kata beberapa teman, saya orang yang pelik. Menyukai yang tidak disukai orang lain, juga berminat pada sesuatu yang bukan dalam lingkungan saya. Saat rakan-rakan menyanyikan lagu pop band dari Barat, saya lebih senang dengan Sheila on 7 dari Jogja. Saat teman-teman asyik menonton Harry Potter, saya pula menonton filem Iran dan Indonesia. Ketika teman-teman sibuk mencari bacaan tentang mikrobiologi untuk memahami projek tahun akhir, saya pula sibuk menelaah Salina karya A. Samad Said.

Siapa saya? Pertanyaan itu hadir daripada seorang kakak buat diri saya kerana sikap keanak-anakan saya sepanjang kami di Medan (dan sepanjang beliau mengenali saya). Sedangkan blog ini ditulis dengan keadaan beremosi dan berbaur kesedihan. Masalah di Malaysia, usahlah saya marakkan di seberang. Itu tekad saya. Pemergian saya ke Medan sebagai seorang pelajar. Saya mahu belajar sebanyak mungkin. Sepanjang perjalanan, kantuk yang meraja tidak saya layan. Mata saya buka seluas-luasnya untuk melihat tanah orang. Saya simpan dahulu peranan saya sebagai pelakon pentas dunia yang punya masalah dan konflik kehidupan. Alhamdulillah, meski masalah timbul semula sekembalinya saya di Malaysia, masalah itu semakin lapang untuk saya depani.

Sebelum tidur, beliau katakan bahawa teman adalah orang yang mengenali diri kita. Tapi bagi diri saya, teman-teman bukanlah orang yang mampu mengenali diri kita sepenuhnya. Kerana teman itu hadirnya bersilih ganti. Datang dan pergi, sama seperti manusia lain yang hadir dalam kehidupan seorang anak manusia. Teman barangkali boleh menjadi refleksi diri, tapi biasanya hanya pada satu sisi.

Saya cuma manusia biasa. Diciptakan Allah dengan pelbagai perasaan, pelbagai emosi. Kadang-kadang terlepas laku. Seringkali pula terlepas kata. Keinginan dalam kehidupan selalu buat saya sendiri keliru. Mempersoalkan, siapa saya? Sejujurnya, saya juga tidak dapat mengenali diri saya sepenuhnya. Allah jua Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mengenali.

Wallahualam.