Sesi suai kenal bermula sejak di Lapangan Terbang Antarabangsa P. Pinang lagi. Kami berkumpul di Bilik EOC untuk mendengar taklimat ringkas daripada guru yang sangat kami hormati, merangkap Pengarah ISDEV, Prof. Dr. Muhammad Syukri Salleh. Seorang demi seorang pelajar diperkenalkan. Para pensyarah juga memperkenalkan isteri masing-masing kepada kami. Tapi tahu sajalah. Keterujaan menaiki kapal terbang nyaris membuatkan kami tidak mampu mengingat nama-nama yang diperkenalkan. Tak mengapa, masih punya seminggu untuk lebih mengenali.
Tetapi tahukah kawan, Tuhan itu lebih mengetahui. Kalau saja bukan ini pengakhiran kita, maka sedasyat manapun penerbangan yang ditempuhi takkan ada ajal yang menjemput kalau bukan itu yang ditetapkanNya. Kami selamat tiba Bandara (bandar udara) Polonia hampir sejam kemudian dengan waktu tempatan pada waktu kami berlepas (waktu di Medan lewat hampir 1 jam dengan waktu di Malaysia).
Kami disambut dengan penuh ramah. Saya terharu melihat sambutan pelajar-pelajar ISDEV dari Medan menerima ketibaan kami sedangkan kami tidak pernah seramah itu kepada mereka. Setakat yang saya ketahui, mereka semua merupakan para dosen (pensyarah) di universitas-universitas yang banyak bertebaran di serata Sumatera Utara. Sombong? tidak sedikitpun muncul pada riak wajah mereka. Sedangkan mungkin perasaan itu yang sedang menakluki jiwa kecil kami dari Malaysia ini. Kenapa saya katakan begitu?
Jarak Penang ke Medan tidak jauh. Kata para pensyarah saya, jaraknya hampir sama dengan jarak ke Kuala Lumpur. Atau barangkali lebih dekat lagi. Tapi kedekatan ini tidak tergambar dengan gaya hidup yang kita lalui sehari-hari. Mana-mana kota pun pasti punya kelemahan. Tapi kelemahan itu tidak mampu menutup kelebihan kota Medan. Meski terasa gerun dijegil penjual di Parapat, hati tersenyum melihat keramahan peniaga di Pulau Samosir. Meski terganggu dengan anak kecil yang meminta sedekah di celahan kereta yang berhenti tatkala lampu merah sedang menyala, minda gembira menyaksikan anyaman raga yang penuh kreativiti pada motosikal si pengangkut barang (kreatif!). Kadang meremang melihat Si Ojek Beca (saya tidak tahu istilah ini betul atau tidak..ia seperti beca tapi menggunakan motosikal) mengangkut anak kecil berseragam sekolah dasar (sekolah rendah) dengan muatan berlebihan. Tetapi bila melihat ketabahan mereka bersekolah walau dengan fasiliti yang minimal, saya jadi tersentuh. Saya sendiri malas belajar. Apatah lagi ketika sekolah dulu. Ke sekolah cuma untuk bermain. Tiba-tiba teringat kes saya dipanggil menghadap GPK HEM ketika darjah 6. Sebab apa? hehe tak payah la tau. Tapi saya memang nakal dulu. Kalau tidak masakan dua kali perlu menghadap guru bermisai tebal itu.
Antara pelajar ISDEV di USM dengan pelajar ISDEV di Medan, memang tidak begitu rapat sebelum ini walaupun mereka kerap sekali menghadirkan diri ke USM. Tetapi hubungan antara kami menjadi begitu erat tatkala kunjungan ini dilakukan. Antara pelajar ISDEV dengan ahli bersekutu ISDEV juga tidak begitu rapat. Ikatan ini juga menjadi akrab sepanjang keberadaan kami di Medan. Bermusafir dalam kumpulan besar ini bukan hanya menjalinkan kasih sayang (opss jangan salah faham ya!) antara keluarga ISDEV di USM dengan mereka di Medan tetapi juga membuka ruang untuk kami ahli rombongan untuk saling mengenali, memahami dan menyayangi antara kami sendiri. Yang muda terasa dikasihi. Yang tua (hehe guru-guru yang dihormati dan dikasihi, jgn marah ya dengan istilah ini) dihormati. Malah disanjung dan lebih dicintai. Terbuka hijab antara dua generasi.
Antara kita mungkin ada perbezaan. Pasti ada perbezaan. Apatah lagi kita hadir dengan latar yang pelbagai, cara yang bermacam. Pemikiran dan gaya hidup juga berbeza ragam. Tapi yang pastinya, kehidupan bukan tentang menggali perbezaan tetapi mencari titik penyatuan agar kita dapat hidup bersama dalam kehidupan yang harmoni. Kebersamaan ini tambah indah saat ia dipasak dengan akidah dan keimanan yang teguh. Mempercayai bahawa kita semua datang dari Allah dan suatu hari nanti kita akan kembali jua kepadaNya. Persaudaraan dan ikatan antara kita yang diikat dan dijalin oleh Allah membuahkan kemanisan kasih sayang yang sungguh membahagiakan. Hingga akhirnya, perjalanan ini bukan hanya sekadar menghadiri seminar atau membentangkan kertas kerja berkenaan wakaf tetapi juga menghasilkan putik cinta ukhuwah dalam keluarga ISDEV juga cinta pandang pertama saya dengan bumi Medan (bukan dengan prianya ya!). InsyaAllah, jika diizinkan Allah, tanah Sumatera ingin sekali lagi saya jejaki.








